Friday, September 24, 2010

Sunnah dan kesilapan di hari Jumaat

Hari Jumaat, Hari Mulia
Sabda Nabi SAW: “Hari terbaik yang memancarkan sinar mataharinya ialah hari Jumaat. Padanya diciptakan Adam AS, padanya dimasukkan dia ke dalam syurga dan padanya dikeluarkan dia darinya. Dan tidak akan berlaku hari Kiamat kecuali pada hari Jumaat.” (Sahih Muslim: 854 )

Sunnah-sunnah di hari Jumaat

1)-Mandi dan berwangi-wangian (lelaki sahaja). Rasulullah SAW berkata: “Mandi pada hari Jumaat itu wajib bagi setiap orang yang sudah baligh. Hendaklah dia menggosok gigi dan memakai wangian jika mempunyainya.” (Sahih, al-Bukhari:880, Muslim:846)

2)-Membanyakkan selawat kepada Rasulullah SAW. Kata Nabi SAW: “Sesungguhnya sebaik-baik hari ialah hari Jumaat, maka perbanyakkanlah selawat keatas ku pada hari tersebut. Sesungguhnya selawat kalian akan diperlihatkan kepadaku.” (Sahih, Abu Daud:1047, disahihkan oleh al-Arnaouth)

3)-Membanyakkan berdoa terutama diakhir waktu asar. “Pada hari Jumaat terdapat dua belas jam, pada waktu itu tidaklah seorang hamba Muslim memohon sesuatu kepada Allah melainkan Dia akan mengabulkannya. Oleh itu, carilah ia diakhir waktu setelas asar.” (Sahih, Abu Daud: 1048, di sahihkan oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, an-Nawawi dan al-Albani)

4)-Membaca surah al-Kahfi. Rasulullah SAW berkata: “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.” (Sahih, al-Hakim:3392, disahihkan oleh al-Albani)

5)-Berjalan kaki dan bersegera ke masjid. Kata Nabi SAW: “Sesiapa yang memandikan atau mandi pada hari Jumaat, kemudian bersegera dengan berjalan kaki, tidak menaiki kenderaan, dan mendatangi imam lalu mendengar (khutbah) dan tidak bermain-main, maka adalah baginya setiap langkah (bersamaan) amalan puasa dan solat selama setahun.” (Sahih:Sunan Abi Daud: 345, al-Albani mensahihkannya)

Kesilapan-Kesilapan di hari Jumaat.
1)-Datang lewat ke masjid. Kata Rasulullah SAW: “Pada hari Jumaat para malaikat duduk di pintu-pintu masjid, bersama mereka lembaran-lembaran catatan. Mereka mencatat (orang-orang yang datang shalat), apabila imam telah keluar (untuk memberi khutbah), maka lembaran-lembaran itu ditutup.” (Hasan, Ahmad:21756, dinilai Hasan oleh al-Albani)

2)-Membaca al-Quran atau memasang rakaman bacaan al-Quran dengan kuat. Kata Nabi SAW: “Ketahuilah sesungguhnya kalian semua bermunajat kepada Tuhan. Oleh itu, janganlah sebahagian kalian mengganggu sebahagian yang lainnya, dan janganlah sebahagian mengangkat suara atas yang lainnya dalam membaca al-Quran”, atau baginda berkata “di dalam solat.” (Sahih, Abu Daud:1332, disahihkah oleh Ibn Abdil Barr dan al-Albani)

3)-Tidak memenuhkan saf hadapan. Kata Nabi SAW: “Jika kalian atau mereka mengetahui apa yang terdapat dihadapan saf paling hadapan, nescaya akan dilakukan undian. [bagi mendapatkan saf hadapan]” (Sahih, Muslim:439)

4)-Bermain tasbih, bersiwak dan lain-lain ketika mendengar khutbah. “Barangsiapa memegang batu kerikil [ketika khutbah], maka dia telah berbuat hal yang sia-sia.” (Sahih, Muslim:857)

5)-Tidak melakukan solat tahiyatul masjid apabila tiba ketika imam berkhutbah. Kata Nabi SAW: “ Jika salah seorang daripada kalian tiba (di masjid) pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah, maka solatlah dua rakaat dan ringkaskanlah solat tersebut.” (Sahih, Muslim:875)

6)-Masih melakukan urusan keduniaan apabila azan telah berkumandang. Firman Allah: “Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui ” (Surah al-Jumuah:9)

7)-Bercakap ketika khutbah. Rasulullah SAW berkata: “Jika engkau berkata kepada teman engkau “Diam” pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah, maka engkau telah membuat sesuatu yang sia-sia.” (Sahih,al-Bukhari:934, Muslim:851)

8)- Bersandar ke dinding dan tidak menghadap khatib. Kata Ibn Mas’ud r.a: “Jika Rasulullah SAW sudah berdiri tegak di atas mimbar, maka kami menghadapkan wajah kami ke arah beliau.” (Hasan, at-Tirmizi:509, disahihkan oleh al-Albani)

Saturday, September 18, 2010

Adab ketika ziarah lambang ketinggian tamadun, peribadi

ANTARA amalan terpuji yang menjadi budaya umat Islam di negara ini ketika Aidilfitri ialah ziarah atau kunjung mengunjung antara satu sama lain. Amalan ini memberi manfaat besar dalam konteks persaudaraan dan perpaduan ummah.


Amalan ziarah membolehkan yang jauh menjadi dekat, renggang menjadi rapat, bersengketa menjadi damai dan susah menjadi mudah. Maka dengan amalan ziarah akan terbentuklah ikatan kasih sayang yang mengeratkan sesama insan.

Asal keturunan manusia berpunca daripada ibu bapa yang sama iaitu Nabi Adam AS dan Hawa. Sebab itulah Islam mengajak manusia saling mengenali, menghormati, bekerjasama dan memahami sesama insan.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, oleh itu, damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujuraat, ayat 10)

Islam mempunyai sistem cara hidup yang sempurna merangkumi bidang politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Oleh itu, ketika mengadakan ziarah, bertamu dan makan pun mempunyai adab tertentu melambangkan tamadun, keperibadian dan tama’ninah seseorang.

Berdasarkan al-Quran dan amalan Rasulullah SAW, antara peraturan serta adab perlu diberi perhatian ketika berziarah dan bertamu ialah berniat baik di atas kunjungannya, jangan dibezakan antara orang kaya atau miskin, terimalah undangan untuk menggembirakan pihak yang mengundang serta mengelak daripada terbabit aktiviti syubhat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah engkau makan melainkan makanan orang yang bertakwa dan jangan pula makan makananmu itu melainkan yang membawa kepada takwa.” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
Semasa berkunjung, hendaklah memilih waktu yang sesuai dan cuba elakkan berkunjung pada awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaan waktu itu tuan rumah ingin beristirahat atau membuat persiapan keperluan keluarga.

Selaku tetamu, sangat digalakkan supaya berjabat tangan dengan tuan rumah seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak ada dua orang Muslim yang bertemu, lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah SWT sebelum berpisah.”

Walaubagaimanapun, amalan berjabat tangan mestilah dilakukan mengikut lunas Islam. Sebagai tetamu juga, tidak sepatutnya bebas melakukan apa saja di rumah orang lain kerana perbuatan itu akan mengganggu dan tidak disenangi tuan rumah.

Manakala bagi pihak tuan rumah, Islam turut menggariskan beberapa adab yang perlu dipelihara serta dihayati antaranya menghormati dan memuliakan tetamunya. Pada masa sama, tuan rumah juga disarankan menghidangkan jamuan yang terbaik mengikut kadar kemampuan.

Janganlah ada maksud untuk berbangga-bangga tetapi tujuannya adalah merapatkan seluruh kawan serta memberikan kegembiraan dalam jiwa tetamu. Memuliakan dan melayan tetamu dengan baik adalah amalan para nabi dan rasul terdahulu.

Satu lagi adab penting yang ada kaitan dengan ziarah ialah menjaga adab makan-minum seperti memulakan makan dengan membaca Bismillah, mengakhiri dengan Alhamdulillah serta menghindari diri daripada kenyang yang melampau batas.

Justeru, dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, ahli keluarga jangan lupa mendidik anak memelihara adab ketika berziarah.

Sebagai peringatan, renungkanlah firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi, kecuali kamu diizin untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah; kemudian setelah kamu makan maka hendaklah kamu bersurai dan janganlah dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu mengganggu Nabi sehingga ia merasa malu kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran.” (Surah al-Ahzab, ayat 53)

Muadz bin Jabal cendekiawan Muslimin

MUADZ bin Jabal termasuk dalam golongan pertama yang masuk Islam. Beliau merupakan seorang pemuda yang mempunyai wajah yang berseri-seri, berperwatakan yang menarik, bergigi putih bersih dan menarik perhatian apabila melihatnya serta ketenangan jelas terpancar di wajahnya.

Semasa Rasulullah mengambil bai'at dengan orang-orang Ansar pada Perjanjian Aqabah kedua, Muadz termasuk dalam ahli rombongan tersebut. Walaupun pada ketika itu usianya masih muda, namun kebijaksanaannya telah diakui dan amat menonjol terutama dalam bidang fikah. Rasulullah SAW sendiri juga pernah memuji kepintaran Muadz dan beliau juga mendapat pujian daripada para sahabat.

Ketika usianya masih muda lagi, Muadz telah dilantik sebagai pemimpin agama bagi masyarakat Yaman. Namun begitu, sebelum beliau dihantar ke sana, Rasulullah telah menguji kepintarannya. "Apa yang menjadi pedomanmu dalam mengadili sesuatu, wahai Muadz?" tanya Rasulullah. "Kitabullah," ujar Muadz.

"Jika tidak kamu temui dalam kitabullah?" Tanya Rasulullah lagi.

"Saya putuskan dengan sunnah Rasul," ujar Muadz. "Jika tidak kamu temui dalam sunnah Rasulullah?"

"Saya pergunakan fikiranku untuk berijtihad dan saya takkan berlaku sia-sia."

Maka berseri-serilah wajah Rasulullah dan baginda bersabda: "Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufik kepada utusan Rasulullah."

Rasulullah SAW amat berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Muadz. Sebab itulah Rasulullah tidak ragu-ragu untuk menghantar Muadz ke Yaman walaupun jauh daripadanya. Kecerdasan akal dan kebijaksanaannya amat meyakinkan hati baginda untuk memberi tunjuk ajar kepada penduduk Yaman.

Muadz bukanlah seorang yang banyak cakap. Beliau seorang yang pendiam dan gemar memerhati sahaja. Beliau hanya akan bercakap apabila diminta oleh hadirin.

Muadz akan menjadi sumber rujukan apabila sahabat menemui jalan buntu mengenai suatu hukum. Pengetahuan yang tinggi inilah menyebabkan beliau mendapat penghormatan daripada kaum muslimin sama ada ketika Rasulullah masih hidup mahupun selepas ketaatan baginda.

Muadz merupakan seorang sahabat yang pemurah. Ketika berada di Yaman, beliau menjadi seorang yang kaya raya. Pernah suatu ketika Saidina Umar meminta sebahagian daripada hartanya untuk didermakan ke jalan Allah. Pada mulanya beliau enggan kerana itu adalah hartanya sendiri yang diperolehi secara sah. Selepas itu Umar datang lagi ke rumahnya. Melihat Umar, Muadz pun meluru dan memeluk Umar sambil menangis.

Katanya: "Semalam aku bermimpi masuk kolam yang airnya sangat dalam dan aku hampir-hampir lemas. Nasib baiklah kamu datang untuk menyelamatkan aku." Selepas kejadian itu, Muadz kemudiannya memberi sebahagian hartanya untuk jalan Allah.

Muadz meninggal dunia pada usia 33 tahun. Hingga di saat kematiannya pun dia masih bermunajat kepada Allah."Ya Allah, sesungguhnya selama ini aku takut kepada-Mu tetapi hari ini aku mengharapkan-Mu…Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa aku tidaklah mencintai dunia demi untuk mengalirkan air sungai atau menanam kayu-kayan, tetapi hanyalah untuk menutup haus di kala panas dan menghadapi saat-saat yang gawat serta untuk menambah ilmu pengetahuan, keimanan dan ketaatan…"

Sunday, September 12, 2010

Berfikir daripada apa kita dicipta

SYED Qutub berkata, setelah menyentuh hakikat yang menghubungkan jiwa manusia dengan alam, maka Allah menyentuh pula hakikat perencanaan dan pentadbirannya iaitu hakikat yang dimuliakan dengan sumpah demi langit dan bintang yang muncul di waktu malam.

Asal mula kejadian itulah menunjukkan hakikat pentadbiran ini, dan menyarankan bahawa manusia tidak dibiarkan sia-sia dan percuma.

Firman Allah SWT: (Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan, daripada apa ia diciptakan.

Sheikh al-Maraghi berkata: “Hendaklah manusia itu berfikir dan merenung permulaan kejadiannya agar menjadi jelas baginya betapa besar kuat Zat Yang Maha Pemberi itu.

“Apabila Dia berkuasa mencipta manusia daripada benda-benda yang tidak hidup, maka pasti Dia akan lebih berkuasa untuk menghidupkan semula selepas mati.

“Oleh itu hendaklah engkau beramal dengan perbuatan-perbuatan yang menggembirakan ketika datangnya saat hidup semula.”

Firman Allah SWT: Ia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim) yang keluar dari ‘tulang sulbi’ lelaki dan ‘tulang dada’ perempuan.

Sheikh al-Maraghi berkata: “Anak itu terjadi daripada sperma yang dipancarkan oleh orang lelaki. Dalam sperma itu terdapat sel mani yang hidup lagi halus yang hanya dapat dilihat menggunakan mikroskop.

“Sel mani terus bergerak sehingga bertemu dengan sel mani wanita yang disebut telur atau ovum. Apabila sel mani dan sel telur bertemu maka terbentuklah janin (embrio).”

Firman Allah SWT: Sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk mengembalikannya (hidup semula sesudah mati).

Ibn Kathir berkata, mengenai ayat ini ada dua pendapat.

Pertama: iaitu kuasa yang mengembalikan air mani yang terpancar itu ke tempatnya semula, tempat di mana ia pertama kali keluar, dan Dia sangat mampu untuk melakukan hal tersebut. Demikian yang dikemukakan oleh Mujahid, Ikrimah dan lain-lain.

Kedua: Kuasa yang mengembalikan manusia yang diciptakan dari air mani yang terpancar itu, iaitu mengembalikan dan membangkitkan ke alam akhirat, maka Dia sangat mampu melakukan hal tersebut.

Sebabnya Rabb yang mampu mengawal penciptaan maka pasti akan sanggup untuk mengembalikannya. Dan Allah SWT menyebut dalil ini di beberapa tempat dalam al-Quran. Pendapat ini dikemukakan oleh al-Dahhaq dan Ibn Jarir.

Firman Allah SWT: Pada hari didedahkan segala yang terpendam di hati (daripada iktikad, niat, dan lain-lainnya).

Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir menyebut: “Akan diuji segala rahsia antara hamba dan Tuhannya sehingga zahir kebaikannya daripada kejahatan. Begitu juga yang menunaikannya daripada yang mengabaikannya.

“Ini kerana manusia tersembunyi di dunia tidak diketahui sama ada beliau solat atau tidak? Mengambil wuduk atau sebaliknya?

“Tetapi jika sekiranya pada hari kiamat Allah menzahirkan setiap yang tersembunyi. Maka ia sama ada membawa kebaikan pada mukanya atau kehinaan dengan sebab amalan yang dilakukan.”

Ibn Qutaibah berkata, mereka akan diuji secara rahsia yang terdapat dalam hati.

Firman Allah SWT: Maka (pada saat itu) tidak ada bagi manusia sebarang kekuatan (untuk membela diri), dan tidak ada penolong (yang dapat memberikan pertolongan).

Ibnu Kathir berkata: “Yakni tidak ada seorang pun yang sanggup mengeluarkan darinya. Dengan pengertian lain, tidak ada yang sanggup untuk menyelamatkan dirinya dari azab dan tidak juga ada seorang pun yang dapat memberi pertolongan kepadanya”.

Kekuatan yang dipergunakan manusia untuk melindungi dirinya itu adakala datang daripada dirinya sendiri.

Pada hari kiamat kekuatan yang datang daripada dirinya sendiri itu dihapuskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: Tidak ada baginya suatu kekuatan pun. Adakala kekuatannya itu datang dari luar dirinya.

Kekuatan terakhir ini juga disangkal oleh Allah SWT dengan firman-Nya yang bermaksud: Dan tidak pula ada penolong.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita kekuatan dalam mentaati-Nya dan menjadi khalifah di muka bumi yang akhirnya layak menghuni syurga-Nya. Amin.

Kematian Saidina Hamzah

KETIKA peperangan begitu sengit di antara tentera Muslimin dengan tentera Quraisy, semangat tentera-tentera Muslimin semakin memuncak sehingga mereka terus menerkam ke arah tentera Quraisy bagaikan ombak melanda pantai sambil melaungkan amit, amit iaitu “matilah! Matilah!”

Pada masa yang sama, kelihatan Hamzah bin Abdul Muttalib sedang melawan dan menerkam semua serangannya bagaikan seekor singa yang garang.

Beliau meluru ke tengah-tengah barisan tentera Quraisy dalam gerak kilat yang tiada bandingannya.

Tentera-tentera Quraisy pula mengelak daripada libasan pedangnya umpama daun-daun kering yang dipukul oleh angin.

Ketika Hamzah sedang bergelut dengan pihak musuh, tiba-tiba datang kepadanya Wahsyi bin Harb iaitu budak suruhan Jabir bin Mut’im secara sembunyi-sembunyi untuk membunuh beliau.

Bapa saudara Jabir telah dibunuh dalam Perang Badar. Oleh yang demikian, Jabir mengupah Wahsyi dan dijanji akan dibebaskan sekiranya berjaya membunuh Hamzah kerana ingin menuntut bela ke atas kematian bapa saudaranya itu.

Wahsyi menyertai perang itu dengan tekad untuk membunuh Sayidina Hamzah. Dia mengekori Hamzah dicelah-celah orang ramai. Wahsyi bersembunyi di sebalik batu di tepi sepohon kayu.

Ketika Sayidina Hamzah sibuk berlawan dengan tentera-tentera Quraisy, Wahsyi lalu mengambil kesempatan melontarkan lembingnya ke arah Sayidina Hamzah secara curi-curi.

Lembing itu terkena dada Hamzah hingga menembusi badannya. Beliau cuba menerpa ke arah Wahsyi tetapi rebah tersungkur.

Setelah Hamzah menemui ajalnya, datanglah Hindun binti Utbah iaitu isteri Abu Sufyan pemimpin tentera Quraisy lalu menoreh dada Hamzah untuk mengeluarkan hati dan jantungnya yang masih panas dan bergerak-gerak itu, Hindon cuba menggigit hati dan jantung Saidina Hamzah untuk melepaskan sakit hatinya.

Setelah perang selesai dan kaum Quraisy telah kembali ke Mekah, Rasulullah menghadapi kemurungan dan kesedihan apabila melihat keadaan jenazah bapa saudaranya. Lalu baginda meminta Allah melaknat pemuka-pemuka Quraisy itu.

Sesudah baginda memohon laknat untuk orang-orang itu, datanglah ayat daripada Allah yang berbunyi: “Tiada satu pun bagimu sama ada Allah hendak menerima taubat mereka, ataupun Dia hendak mengazab mereka, lantaran mereka itu adalah orang-orang yang zalim.”

Baginda dan orang-orang Islam yang lain juga berazam untuk mencacatkan setiap mayat tentera Quraisy dalam peperangan akan datang sebagai membalas dendam.

Sehubungan dengan itu, Allah telah menurunkan Surah an-Nahl di atas.

Friday, September 3, 2010

11 jenis manusia yang didoa malaikat

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."

5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.

"Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?"

Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'"

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...' "

10. Orang yang sedang makan sahur.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."

Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama.