Saturday, June 12, 2010

PAS Pusat diminta desak mufti hadir demontrasi

KOTA BHARU, 12 Jun: PAS Pusat diminta menghantar surat kepada mufti-mufti di seluruh negara untuk mendesak mereka turun padang membantah judi bola sepak yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada perhimpunan 3 Julai ini.

Perwakilan Teberau, Shamsul Bakri berkata, semua pihak termasuk mufti perlu hadir pada demontrasi itu sebagai menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan meluluskan lesen judi terbabit.

"Kita juga perlu tetapkan diri hadir pada demontrasi yang diadakan badan-badan Islam biar pun bukan dikendalikan di bawah PAS.

"Kita kena bertindak secara berterusan bagi memansuhkan semua jenis judi di negara ini," katanya ketika menyokong usul Dewan Pemuda PAS Pusat yang mendesak kerajaan memansuhkan judi sukan.

Usul itu mendesak kerajaan Malaysia memansuhkan judi sukan, mengetatkan penguatkuasaan terhadap undang-undang judi dan mendidik rakyat membenci judi.

Pada 3 Julai depan himpunan 100,000 mansuhkan judi bola akan diadakan di Kuala Lumpur bagi menyerah memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Shamsul berkata, gerakan membantah judi akan dimobilisasi secara berterusan pada bila-bila masa sahaja bagi memberi kefahaman lebih jelas kepada rakyat.

"Kita akan turun sekali lagi bagi menentang kelulusan lesen judi-judi lain. Tidak kiralah judi nombor ekor, judi di laut, judi di atas gunung," katanya sambil menyokong penuh usul tersebut.

Perwakilan Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Fadzli Saari turut meminta semua rakyat turun membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak pada 3 Julai ini.

Katanya, ketika demontrasi itu diadakan perlawanan bola sepak Piala Dunia baru masuk pusingan suku akhir.

Tuesday, June 8, 2010

Ingatan bagi pelupa: Manusia harus bijak manfaat pemberian Ilahi

DARIPADA Abu Hurairah, katanya Rasulullah bersabda maksudnya: “Allah menjadikan Adam pada permulaan kejadiannya ialah seperti rupanya di bumi, tingginya 60 hasta. Selepas dia tercipta, Allah berfirman kepadanya: Pergilah kepada kelompok malaikat yang sedang duduk. Dengarkan jawapan mereka menjawab salammu. Begitulah cara kamu dan cara anak cucumu nanti memberi salam (penghormatan).

Maka pergilah Adam kepada kelompok malaikat itu, lalu diucapkannya salam: Assalamualaikum (selamat sejahtera ke atasmu). Jawab malaikat: Assalamualaika warahmatullah (selamat sejahtera ke atas kamu juga dan beroleh rahmat Allah).
Firman Allah: Setiap orang yang masuk syurga bentuknya seperti Adam. Tingginya 60 hasta, sekalipun makhluk kemudian semakin pendek hingga sekarang.” (Hadis riwayat Muslim) Allah menciptakan manusia dengan sempurna iaitu diberikan bentuk tubuh yang baik, akal fikiran dan nafsu, kemudian manusia itu sendiri menentukan mampu atau tidak menggunakan pemberian Allah dengan baik.

Roh adalah penggerak yang menghidupkan anggota badan.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya, kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya, kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.” (Surah al Bayyinah, ayat 4-6)

Monday, June 7, 2010

Serang ekonomi rejim zionis Israel

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa meminta kerajaan Malaysia melakukan serangan ekonomi ke atas rejim zionis Israel.

Malaysia, katanya perlu melakukan usaha kolektif bersama negara antarabangsa bagi melumpuhkan ekonomi Israel.

"Maka usaha kolektif perlu dilakukan bagi menyekat dan melumpuhkan ekonomi negara haram Yahudi," katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok semasa membahaskan usul mengecam tindakan rejim zionis Israel terhadap misi kemanusiaan ke Gaza di Dewan Rakyat, petang ini. Usul itu dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pagi tadi.

Kempen boikot juga, katanya perlu diperhalusi dan dijalankan secara sistematik dengan mengambil kira nasib pekerja negara ini di syarikat berkaitan.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar Malaysia memenuhi kebajikan pelajar Palestin di Malaysia seperti bantuan biasiswa dan kesihatan sebagai sokongan perjuangan rakyat Palestin.

"Bagaimana kita harus membantu rakyat Palestin khasnya golongan muda. Saya ingin mendapatkan penjelasan berapa banyakkah biasiswa atau kemudahan pelajaran yang diberikan kepada rakyat Palestin yang datang belajar di Malaysia," katanya.

Tambahnya, pintu sempadan Rafah yang kini dibuka perlu digunakan sebaik mungkin menyalurkan bantuan perubatan seperti dibuat kepada negara Bosnia.

Beliau juga menggesa agar kerajaan Malaysia menjadikan isu Palestin sebagai agenda kerajaan dan memperhebat program kesedaran kepada rakayat.

Menurutnya, kerajaan juga perlu mengurangkan program hiburan agar anak muda tidak lupa isu Palestin ini.

"Anak muda di sana dibunuh dengan peluru, di sini dengan hiburan," ujarnya

nama yang cukup indah..'Khaulah Al-Azwar', seiring dengan peribadinya yag tangkas dan penuh semangat dalam memastikan kemenangan Islam. ya muslimat! r

Ummah perlu berani, tolak kepentingan diri, ikhlas halang penindasan terhadap rakyat Palestin

KEKEJAMAN rejim Zionis tidak lagi berselindung. Terbaru, serangan terhadap konvoi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, penjara terbesar di dunia, iaitu Mavi Marmara, sebuah kapal Turki dan antara satu daripada konvoi kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza diserang dan mengakibatkan 19 kematian. Aktivis dibawa ke penjara dan kemudian dibebaskan.

Acap kali kekejaman rejim Zionis dilakukan maka tampil kecaman dan demonstrasi membantah kekejaman itu di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Namun Israel sudah lali dengan itu semua. Ia tidak sedikitpun menakutkan mereka yang berselindung di belakang kuasa besar dunia. Oleh kerana umat Islam berpecah belah dan terlalu mementingkan diri, kita tidak berupaya mempertahankan saudara seagama kita di Gaza. Bumi Palestin sentiasa dibasahi darah para syuhada demi mempertahankan kedaulatan negara dan agama.
Sudah tiba masanya bertindak dan tidak hanya menyuarakan kecaman semata-mata. Kemungkaran besar yang dilakukan rejim Zionis ini perlu ditangani mengikut tatacara seperti yang diajarkan Rasulullah seperti sabda baginda yang bermaksud: “Barang siapa yang melihat kemungkaran hendaklah mencegahnya dengan tangan (kekuasaan) jika sekiranya dia tidak berkemampuan maka hendaklah dia mencegahnya dengan lidah (suara) dan sekiranya masih tidak berkemampuan maka hendaklah dia mencegahnya dengan hati (menyatakan kekesalan), dan ia adalah selemah-lemah iman.”

Oleh demikian, piawaian yang digunakan Rasulullah dalam mencegah kemungkaran adalah berbeza mengikut kemaslahatan dan tahap keimanan kita. Jika kekejaman Zionis ini kita hanya merasakan tidak puas hati maka iman kita berada di dalam status paling lemah. Namun jika dengan bersuara membuat kecaman dan berdemonstrasi maka tahap keimanan sedikit meningkat dari tahap pertama tadi. Tetapi yang terbaiknya ialah seseorang Muslim itu mencegah kemungkaran menerusi kekuasaan yang ada.

Dalam konteks kekejaman rejim Zionis ini, tahap kedua sudah tidak lagi berkesan kerana mereka langsung tidak mengendahkannya. Apatah lagi kuasa besar yang melindungi mereka kelihatan kebal dan tidak dapat dipatahkan.

Umat Islam perlu bersatu membentuk pasukan yang kuat bagi menggunakan semua kelebihan yang ada untuk menolak kemungkaran. Umat Islam perlu berani, menolak kepentingan diri dan ikhlas walaupun menongkah arus tidak seiring dengan kuasa besar.

Tindakan rejim Zionis adalah jenayah terhadap keamanan dan kemanusiaan (crime against peace and humanity). Serangan yang dilakukan di perairan antarabangsa terhadap kapal yang mengibarkan bendera beberapa negara berdaulat yang mana Israel tidak berperang dengan negara itu seperti Turki, Greece dan Amerika Syarikat adalah peperangan terhadap negara berkenaan.
Perkara 6 ‘Charter Provisions of Nuremburg Trials’ mentafsirkan jenayah terhadap keamanan bermakna ‘merancang, menyediakan, memulakan atau melaksanakan suatu peperangan atau penindasan, atau peperangan yang melanggar perjanjian atau triti antarabangsa ataupun menyertai dalam rancangan bersama atau konspirasi untuk mencapai apa yang dimaksudkan tadi’. Jenayah terhadap kemanusiaan pula adalah ‘pembunuhan… deportasi dan sebarang perbuatan tidak berperikemanusiaan terhadap orang awam sebelum atau semasa peperangan..’

Peraturan Konvensyen Hague 1907 Bab II pula menyebut kapal yang melaksanakan misi keagamaan, sains dan pilantropi mestilah dikecualikan daripada tahanan.

Oleh itu, Israel tidak mempunyai kuasa yang sah untuk menyerang Mavi Marmara secara ketenteraan, tidak boleh menaiki kapal itu secara paksa dan menahannya apatah lagi menyerang penumpang yang tidak bersenjata, membunuh, mencederakan dan memenjarakan mereka. Barangan peribadi aktivis keamanan ini juga dirampas daripada pegangan mereka.

Untuk rekod bersama, enam kapal yang terbabit ialah Mavi Marmara (kapal penumpang Turki); Sofia (kapal kargo Greece); Gaza 1 (kapal kargo Turki); Gaza II (kapal kargo Turki); Spendoni (kapal penumpang Greece); dan Challenger I (kapal penumpang Amerika Syarikat).

Misi keamanan itu sebenarnya disertai masyarakat antarabangsa termasuk rakyat Britain, Australia, Greece, Kanada, Malaysia, Algeria, Serbia, Belgium, Ireland, Norway, Sweden, Kuwait dan Amerika Syarikat. Malah tiga orang ahli Parlimen Jerman, seorang ahli Parlimen Malaysia, dua Ahli Parlimen Israel (Knesset) berketurunan Palestin dan penulis Sweden, Henning Menkell juga menyertai misi keamanan itu.

Berbalik kepada tindakan yang perlu kita lakukan, masyarakat Islam khususnya dan masyarakat antarabangsa tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit perlu mengheret Israel ke muka pengadilan atas jenayah yang dilakukan rejim Zionis itu. Mahkamah antarabangsa perlu memutuskan perkara ini.

Keadilan perlu dilakukan, kekejaman zionis perlu dihapuskan. Barulah keamanan dunia akan dikecapi. Sudah sampai masanya kita tidak hanya mencegah kemungkaran dengan suara saja tetapi menggunakan kekuasaan dan akal fikiran kita bagi mendatangkan keamanan sejagat. Kezaliman dan kekejaman Zionis perlu diberhentikan. Sekutu Israel perlu menilai sokongan terhadap rejim Zionis itu kerana mereka sendiri tidak mengambil endah nyawa dan keselamatan rakyat sekutunya sendiri.

Tindakan tentera laut Israel pada Subuh 31 Mei lalu ini adalah manifestasi yang jelas betapa Israel hanya mementingkan diri sendiri dan langsung tidak mengambil kira hak orang lain. Matlamat Israel ialah membina sebuah negara Israel yang besar, selagi matlamat ini tidak tercapai, selagi itulah penindasan dan kezaliman terhadap rakyat Palestin akan terus berlaku.

Kemenangan islam makin menghampiri Mujahid & Mujahidah!

nama yang cukup
indah..'Khaulah Al-Azwar', seiring dengan peribadinya yag tangkas dan
penuh semangat dalam memastikan kemenangan Islam. ya muslimat!
renungkanlah kisah seorang 'bidadari besi' yang prlu kita contohi dalam
mengharungi perjuangan yang pasti berkesudhn dgn kemenangan..takbir!

Khaulah
Al-Azwar merupakan seorang wanita yang hidup di zaman Sahabat RA.
Beliau adik kepada Zirar Al-Azwar yang kehandalannya di medan perang
sememangnya tidak asing bagi pencinta sirah Islam. Skil & teknik
bertempur ini turut diwariskan kepada Khaulah oleh ayahnya Al-Azwar.
Khaulah lantas menjadi seorang wanita yang mahir berpedang dan berkuda.
Malah, pada ilmu saya, barangkali beliau merupakan wanita yang paling
handal berlawan dalam sejarah Islam.Episod-episod penglibatan
Khaulah dalam perang-perang Islam tercatat dalam Maghazi Rasulillah
hasil kompilasi Muhammad bin Umar Al-Waqidi Al-Aslami. Dalam perang
Yarmuk, perang utama yang menjadi pembuka Syam, beliau menjadi salah
seorang yang menonjol atau memimpin kaum wanita yang turut serta
terlibat. Bahkan, beliau turut mengalami kecederaan di kepala dalam
peperangan yang sangat bersejarah itu.Namun, kisah kehandalannya
bertempur yang paling masyhur adalah dalam satu operasi tentera
Muslimin untuk menyelamatkan saudaranya Zirar yang telah ditawan
tentera Rom sewaktu satu penggempuran di sekitar Damascus. Lantas,
Khaulah telah turut serta dalam operasi tersebut. Dengan berpakaian
hitam, serban hijau dan menggunakan skarfnya sebagai topeng, beliau
yang menyertai pasukan Khalid bin Al-Waleed meluncur laju ke arah
musuh, bertempur dengan handal dan cermat; membantu tentera Muslimin
yang ketika itu sudah keletihan berlawan. Raafe bin Umaira, panglima
skuad sebelum ketibaan Khalid mengungkapkan ketakjubannya , ”Beliau
berlawan seperti Khalid, namun jelas beliau bukan Khalid”.Khaulah
mempamerkan kehandalannya berkuda dan bertempur dengan tombak. Beliau
meluncur laju ke arah barisan Rom, membunuh seorang dengan tombaknya,
lalu meluncur ke arah barisan Rom di bahagian lain dan mencederakan
atau membunuh tentera Rom yang lain. Pertempurannya secara solo itu
ibarat menjadi satu pertunjukan kepada tentera Muslimin yang lain di
samping membangkitkan semangat mereka untuk terus berjuang. Beliau
akhirnya mendedahkan identitinya yang pasti mengejutkan sesiapa yang
mengetahui (dicatatkan Khalid hampir-hampir terjatuh dari kudanya).
Akhirnya, tentera Muslimin, bersama Khaulah berjaya membebaskan
panglima Zirar dalam satu operasi serangan berikutnya di Beit Lahiya,
Gaza, Palestin. Keberanian
Khaulah sekali lagi terbukti apabila beliau dan beberapa mujahidah lain
ditawan dalam peperangan Sahura. Mereka dikurung an dikawal rapi selame
beberapa hari. Walaupun agak mustahil untuk melepaskan diri, namun
Khaulah tidak mahu menyerah kalah kerana jiwanya sentiasa hidup. Beliau
sering mengeluarkan kata-kata semangat kepada rakan-rakannya."Wahai
sahabat-sahabatku yang sedang berjuang di di jalan Allah, apakah
saudari semua sanggup menjadi tukang-tukang picit orang Rom? Apakah
saudari sanggup menjadi hamba orang-orang kafir yang dilaknati? Relakah
saudari dihina dan dicaci maki oleh bangsa Rom yang durjana itu?
Dimanakah letaknya harga diri saudari sebagai seorang pejuang yang
rindukan syurga Allah? Dimanakah letaknya kehormatan saudari sebagai
seorang Islam yang bertaqwa? Sesungguhnya mati itu lebih bagi kita
daripada menjadi hamba-hamba orang Rom."Khaulah terus menerus
membakar semangat rakan-rakannya. Akhirnya mereka sebulat suara
mnentang pengawa-pengawal yang mengawal mereka. Khaulah dan
rakan-akannya rela mati syahid jika gagal melarikan diri. Mereka semua
bertaubat dan berdoa bersungguh-sungguh agar datangnya bantuan. Sebelum
mara Khaulah menyampaikan maklumat kepada rakan-rakannya: "Janganlah
saudari sekali-sekali gentar dan takut. Kita semua harus bersatu dalam
perjuangan dan jangan ada yang terkecuali. Patahkan tombak mereka,
hancurkan pedang mereka, perbanyakkan takbir serta kuatkan hati.
Insya"Allah pertolongan Allah sudah dekat."Berkat keyakinan, mereka berjaya menghapuskan pengawal-pengawal dan melepaskan diri dari kurungan tersebut. begitulah
kisah seorang serikandi yang ana amat kagumi.. moga2 semangat,
kekuatan,keberanian yang ada dalam dirinya mengalir dalam tubuh ana.
insyaAllah..ameen.:)

Friday, June 4, 2010

PENGENALAN KEPADA 2 KARYA HADIS

1. MENUJU KEBAHAGIAAN SEJATI: KOLEKSI HADITH SERTA SANAD RIWAYAT
TUAN GURU HJ. ABDULLAH BIN AL-MARHUM TUAN GURU HJ. ABDURRAHMAN

Pendahuluan

Pengajian Hadis pada zaman ini amat jarang sekali memberi penekanan terhadap kaedah periwayatan hadis tersebut. Apabila sesebuah hadis itu dibacakan kebiasaannya ia dibaca secara umum tanpa menyebutkan sanadnya. Di dunia Melayu kini amat kurang sekali karya-karya hadis yang disertakan dengan sanad serta sejarah perawi. Kehadiran karya ini yang merupakan himpunan atau koleksi hadis bersanad yang telah diriwayatkan oleh al-Marhum Tuan Guru Hj. Abdullah bin al-Marhum Tuan Guru Hj. Abdurrahman, amat dihargai sekali dan mudah-mudahan dapat menambahkan lagi karya hadis yang menekankan kaedah bersanad pada sesuatu hadis tersebut.

Biografi Ringkas Tuan Guru Hj. Abdullah bin al-Marhum Tuan Guru Hj. Abdurrahman

Tuan Guru Haji Abdullah Bin Haji Abdul Rahman dilahirkan pada 11 Februari 1933 di Kampung Lubuk Tapah , Pasir Mas , Kelantan.

Beliau telah menerima pendidikan awal daripada ayahandanya sendiri iaitu Tuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Che Wan semenjak dari kecil hingga berumur 20 tahun. Kemudian beliau melanjutkan pengajiannya ke Mekah selama 14 tahun iaitu semenjak tahun 1953 hingga tahun 1966. Guru-gurunya semasa beliau belajar di Mekah dari kalangan ulama-ulama nusantara terdiri daripada :

1. Al- Syeikh Ismail Bin Abdul Qadir Al- Fatani(dikenali sebagai Pa Da Ail)
2. Al- Syeikh Abdul Qadir Bin Abdul Muttalib Al-Mandili.
3. Al- Syeikh Muhammad Daud Bin Sulaiman Al- Kalantani.
4. Al- Syeikh Mokhtar Afnan.
5. Al-Syeikh Soleh Idris Al-Kalantani
6. Al-Syeikh Haji Abdul Rahman Daud Al-Fatani
7. Al-syeikh Engku Abdul Jalil Al-Indonisi
8. Al Syeikh Muhammad Yaasin Al-Padani
9. Al-Syeikh Soleh Saika
10. Al-Syeikh Sulaiman Ambon Al-Indonisi
11. Al-Syeikh Zakaria Al-Indonisi

manakala guru-gurunya yang terdiri daripada ulama-ulama Arab pula terdiri daripada :

1. Al-Syeikh Hasan Muhammad Al-Massyat
2. Al-Syeikh Sayyid A’lawi Sayyid Abbas
3. Al-Syeikh A’rabi Al-Idris Al-Maghribi
4. Al-Syeikh Muhammad Noor Al-bahraini
5. Al-Syeikh Abdullah Al-Lahhaji
6. Al-Syeikh Muhammad Amin
7. Al-Syeikh Sayyid Al-Yamani

Tuan Guru Haji Abdullah semasa hidupnya juga adalah merupakan salah seorang Anggota Jemaah Ulamak Majlis Agama Islam Negeri Kelantan semenjak tahun 1969. Beliau juga rapat dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Aziz bin Nik Mat. Kitab karangan beliau ialah:
Persediaan Bagi Sekalian Mukallaf – kitab kecil membicarakan tentang ilmu tauhid,ulasan hakikat mustahil dan himpunan beberapa amalan doa-doa, dikarangnya sekembali beliau daripada Mekah pada tahun 1967.

Risalah Doa-Doa – Termuat didalamnya beberapa amalan doa-doa. Ditulis semasa beliau di Mekah pada tahun 1965.


Sultan Kelantan,Sultan Ismail Petra berkenan untuk menganugerahi beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Kelantan 1426H sempena dengan Majlis Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1426 H / 2005 M pada 9 Februari 2005 di Dewan Besar Balai Islam Lundang, Kota Bharu.


Mengenai Pengarang Buku

Buku atau kitab ini telah dikarang oleh Ustaz Mohd Zaidi Abdullah, beliau adalah meupakan salah seorang daripada anak murid Tuan Guru Haji Abdullah, selain daripada buku ini beliau juga telah mengarang 2 buah buku lain yang bertajuk, Nafas Baru HIKMAH AL-ISYRAQI, Manifesto Intisari dan Rahsia dalam pemikiran dan Pengamalan Islami dan juga Pegangan Sejati Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Penulisan-penulisan beliau juga ada tersiar di dalam akhbar Utusan Malaysia. Beliau juga merupakan Ketua Penyelidik Akademi ‘Ulum Pondok dan Pencerahan Tamadun.


Hadis-Hadis Yang Terdapat Di Dalam Buku Ini.

Terdapat 50 hadis bersanad yang dimuatkan di dalam buku / kitab ini antaranya ialah Penghulu Istighfar, riwayat al-adab al-Mufrad karya Imam al-Bukhari, Jaminan Allah S.W.T. Kepada Penuntut Ilmu-Ilmu Islam riwayat Musnad Abu Hanifah dan lain-lain lagi.


Kelebihan Buku / Kitab Ini

Pengajian ilmu hadis secara bersanad merupakan tradisi para ulama’ dahulu kala dan pada zaman ini walaupun kaedah pengajian Ilmu hadis secara bersanad telah berkurangan namun masih ada kelompok ulama’ dan para ustaz mengamalkannya. Pengajian hadis secara bersanad membolehkan para pelajar mengetahui secara jelas susur galur dari mana datangnya hadis tersebut dan siapakah perawi-perawi hadis itu ini secara tidak langsung akan menjaga keautoritian sesebuah hadis disamping pelajar akan mengenali ulama-ulama yang terlibat di dalam bidang hadis pada masa dahulu.

Pada hemat saya di Malaysia inilah satu-satunya kitab / buku yang membicarakan mengenai hadis secara bersanad. Apa yang menariknya ialah kitab / buku ini ditulis di dalam bahasa Melayu maka secara tidak langsung memudahkan para pelajar di dalam bidang hadis lebih memahami isi kandungannya malahan sangat bagus bagi orang awam yang baru berjinak-jinak untuk mempelajari ilmu hadis memiliki kitab / buku ini sebagai pengenalan kepada memahami ilmu-ilmu hadis.


2. HADIS-HADIS PERINGATAN BUAT UMUR INSAN

Mengenai Pengarang Buku

Buku ini telah dikarang oleh seorang tokoh agama yang terkenal iaitu Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Beliau adalah merupakan bekas pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dari segi akademik beliau telah mendapat Ijazah di dalam bidang Syariah dari Universiti Madinah, kemudian melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (Master) di Syiria. Setelah itu beliau menyambungkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah di Universiti Sains Malaysia.

Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri juga adalah merupakan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan. Selain buku ini beliau juga ada mengarang karya-karya penulisan yang lain antaranya Syarah al-Hikam dan A-Z Tentang Tasawuf Tapi Anda Tiada Tempat Untuk Bertanya.

Pengisian Buku
Buku ini telah diterbitkan oleh syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd. pada tahun 2008. Ia mempunyai 251 halaman. Sedikit ulasan mengenai buku Hadis-Hadis Peringatan Buat Umur Insan ini, bagi saya ianya adalah satu himpunan hadis-hadis untuk mendidik rohani dengan melakukan akhlak-akhlak terpuji dan juga pengenalan kepada perkara-perkara yang mendatangkan dosa-dosa besar. Dimasukkan juga hadis yang menyentuh mengenai kepentingan zikir yang telah dikupas oleh pengarang pada halaman 27, bab 54 iaitu bab ‘Melazimi Zikir’.

Antara bab-bab yang terdapat di dalam buku ini ialah: Mencari Ilmu Manfaat (bab 55), Sifat Pemaaf (bab 59), Mencari Keredhaan Allah (bab 66) dan Akhirat Hidup Yang Hakiki (bab 69).


Kelebihan Buku Hadis-Hadis Peringatan Buat Umur Insan

Buku ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri berbanding sebahagian buku-buku penulisan hadis yang lain yang diterbitkan pada zaman ini. Antara keistimewaan buku ini ialah, selain terdapatnya matan dan juga pengajaran (syarah) sesuatu hadis tersebut, pengarang juga memasukkan takhrij hadis pada hadis-hadis itu, ini amat jarang kita temui di dalam buku-buku hadis moden di zaman ini.

Selain itu juga apa yang menarik minat saya ialah, bagi sesetengah hadis, pengarang buku turut memasukkan munaqib atau riwayat hidup perawi hadis. Sebagai contoh, di dalam bab 58 (halaman 63) iaitu ‘Bab Mengikut Sunnah’ pengarang telah memasukkan munaqib perawi hadis ini iaitu Abu Muhammad, Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As R.A. Dengan adanya sedikit kisah pengenalan mengenai perawi hadis, ia membolehkan pembaca menjadi lebih menghayati dan mengenali hadis itu dengan lebih berkesan lagi. Selain itu juga huraian mengenai hadis yang terdapat di dalam buku ini disokong dengan ayat-ayat al-Quran, ini menjadikan huraian tersebut menjadi lebih mudah mantap serta mudah difahami. Buku ini juga mempunyai ilustrasi yang menarik sebagai hiasan di bahagian tepi buku, ini juga berperanan untuk menarik minat pembaca untuk membaca buku ini.

Akhirnya bagi saya ia adalah merupakan sebuah karya hadis yang baik dan menarik sesuai untuk bacaan semua peringkat umur dan insyaallah ia dapat memberikan manafaat yang besar kepada pembacanya.

Thursday, June 3, 2010

Allah tegah judi

PERJUDIAN adalah sejenis permainan pertaruhan yang mana pihak yang menang akan meraih wang pertaruhan mereka yang kalah. Tidak dinamakan perjudian jika kedua-dua pihak mencapai kemenangan. Itulah sifat perjudian yang diharamkan di dalam undang-undang Islam, malah turut dilarang agama lain.

Oleh itu, secara peribadi saya terperanjat (malah ramai yang lain juga) membaca kenyataan seorang timbalan menteri yang menyatakan pertimbangan dibuat untuk meluluskan lesen perjudian bola sepak sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia yang akan datang.


HUJAH BELIAU Beliau dirakam oleh akhbar tempatan sebagai berkata: “Ada beberapa perkara penting untuk dikaji, sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).” BANTAHAN DAN RASIONAL Pengeluaran lesen atas alasan untuk mengawal dan mengetahui jumlah wang pertaruhan adalah tertolak di sisi Islam. Sesebuah kerajaan dan pemimpin mesti lebih kreatif dan bertanggungjawab dalam mencari jalan mengawal perjudian gelap.


Kawalannya bukan dengan memberi lesen kerana itu hanya akan lebih memakmurkan gejala itu, tetapi KAWALAN adalah dengan memperkenalkan teknik banteras, hukuman lebih keras dan tahap efisiensi yang lebih kemas bagi memerangkap mereka yang terbabit dengannya.


ANALOGI Ia seolah-olah kerana kerajaan ingin membenarkan perkara yang tidak benar. Bolehkah atas alasan mengetahui jumlah sebenar dan mengawal MAT REMPIT yang merempit secara haram, KERAJAAN MEMPERTIMBANGKAN PEMBERIAN LESEN MEREMPIT kepada mat rempit di atas JALAN RAYA AWAM.


Semua mat rempit mesti mendaftar dan membayar yuran untuk merempit. Bukan LESEN UNTUK merempit di trek lumba dan IA IBARAT memberi LESEN untuk terus merempit di JALAN RAYA.


Merempit di jalan raya awam banyak mudaratnya kepada mat rempit dan juga orang awam. Demikian juga kesnya membenarkan perjudian bola sepak ‘gelap’ untuk dijadikan ‘terang’ tetapi tetap di atas laluan yang memudaratkan orang awam.


JUSTERU Kerajaan yang bertanggungjawab MESTILAH sentiasa mengurangkan aktiviti negatif di kalangan rakyat, bukan meraikan dan meluluskannya. Sedarilah, perjudian hanya akan menjerumuskan rakyat di dalam: l Kancah hutang dan masalah kewangan lebih serius. Kita bimbang kecenderungan masyarakat Malaysia yang sukakan skim cepat kaya yang sering diserbu selain diharamkan oleh kerajaan. Namun peliknya, kini kerajaan seolah-olah ingin membenarkan skim terbabit, perjudian adalah satu daripada jenis skim cepat kaya yang sering membawa kepada kayap; l Seterusnya membawa kepada masalah dan krisis rumah tangga. Pergaduhan suami isteri, anak mencuri duit ibu ayah untuk berjudi, suami curi duit isteri dan sebagainya; l Kita bimbang, hasil lesen yang diberi, kanak-kanak akan turut serta dalam perjudian, khususnya secara dalam talian, dan tiada sesiapa boleh menghalang kerana lesen diberi oleh kerajaan manakala perbuatan itu tidak lagi dianggap satu kesalahan; l Masyarakat tidak progresif kerana menjadi lalai untuk meneka dan bertaruh serta menonton bola sepak secara berlebihan. Kalau dulu penonton hanya gembira untuk melihat pasukan yang disokong. Kini, bakal menjadi taksub dan tertekan kerana keputusan perlawanan membabitkan wang pertaruhan l Mendorong rakyat memfokus kepada perolehan keuntungan secara cepat tanpa teknik, namun akhirnya kerugian saja yang lebih kerap menjelma. Masakan tidak, dalam perjudian, peratusan pihak yang menang sentiasa lebih kecil berbanding yang kalah; l Kesan buruk kekalahan boleh menyebabkan kemarahan, memandu berbahaya di jalan raya, pergeseran rumah tangga, kesan psikologi di tempat kerja, mungkin dikejar lintah darat dan banyak lagi; l Pemberian lesen itu seolah-olah menjolok sarang syaitan kerana kemungkinan ada individu yang tidak terdorong untuk berjudi kerana ia adalah aktiviti gelap dan salah di sisi undang-undang. Namun akibat lesen itu, dorongannya semakin kuat dan dipermudah.


NASIHAT Sedarilah tegahan Allah SWT: “Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada kedua-duanya itu ada dosa besar dan beberapa manfaat kecil bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (al-Baqarah: 219) Dan juga larangan selanjutnya: “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji, termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu supaya kamu mendapat keberuntungan.” (al-Maidah: 90) Justeru, saya berharap pihak berkuasa agama dapat segera memberi panduan dalam hal ini. Jika pihak berkuasa agama sependapat dengan Timbalan Menteri Kewangan, kami selaku ahli akademik sangat ingin mendengar dan membaca justifikasi dan dalil serta hujah keharusan itu.


Perlu difahami, hujah maslahat TIDAK BOLEH digunakan sama sekali dalam hal yang JELAS BERTENTANGAN dengan teks al-Quran dan hadis. Tiada maslahat dan tidak termasuk di dalam Maqasid al-Shariah dalam mengharuskan perjudian untuk masyarakat.


Oleh kerana isu perjudian adalah isu Qat’ie di dalam Islam, saya AMAT BERHARAP pihak Salafi, Wahabi, Ahbash, Tradisional Pondok, Tarekat Sufi, Syiah, ahli akademik universiti, tabligh dan semua pihak tampil menyatakan pandangan dan bantahan mereka.

Paling minimum di blog dan laman web rasmi mereka. Jangan hanya berselisih dan berdebat bertahun-tahun dengan begitu kreatif tetapi SENYAP SUNYI tanpa kenyataan umum dalam hal sebegini.


Disebutkan di dalam kaedah Fiqhiyyah yang dicatatkan oleh Al-Imam As-Sayuti Al-Shafi’i: “Tidak diingkari dalam hal yang diperselisihkan (ijtihad ulama) namun sesungguhnya keingkaran (bantahan) adalah pada perkara yang disepakati (haramnya).” (al-Asbah wa al-Nazair, kaedah no 35, hlm 292) Tanpa syak lagi, perjudian adalah tergolong di dalam perkara yang disepakati secara ijma’ berkenaan pengharamannya. Justeru, bantahan kita dan ulama terhadapnya adalah SANGAT PERLU.


Jangan biarkan hanya orang politik berkata-kata kerana apabila orang politik melakukannya, mereka akan sering dilihat sebagai bermotif politik.


Kita perlu mereka yang lain juga supaya bersuara, supaya Allah SWT meredai usaha kita.