Thursday, August 19, 2010

Kepentingan ilmu Usul Fiqh

ILMU Usul Fiqh telah lama berkembang dalam dunia kesarjanaan Islam. Teori pembangunan Usul Fiqh telah bermula sejak kewafatan baginda Rasulullah SAW sehingga ke hari ini.

Ini kerana, semasa hayat baginda, tidak memerlukan kepada ilmu Usul Fiqh kerana memadai Rasulullah sebagai pemutus dalam segala permasalahan yang berlaku semasa itu.

Namun, setelah Rasulullah wafat, sahabat-sahabat perlu berijtihad dalam mengeluarkan hukum mengikut garis panduan yang telah diajar oleh Rasulullah semasa hayat baginda.

Didikan dan tunjuk ajar Rasulullah terhadap sahabat-sahabat untuk berijtihad dapat kita perhatikan melalui sebuah hadis tentang dialog Rasulullah dengan Muadz bin Jabal r.a: "Dari Muadz ibn Jabal r.a. bahawa Nabi SAW ketika mengutusnya ke Yaman, Nabi bertanya: "Bagaimana kamu jika dihadapkan permasalahan hukum? Dia berkata: "Saya berhukum dengan kitab Allah".

Nabi berkata: "Jika tidak terdapat dalam kitab Allah?" Dia berkata: "Saya berhukum dengan sunnah Rasulullah SAW". Nabi berkata: "Jika tidak terdapat dalam sunnah Rasul SAW?" Dia berkata: "Saya akan berijtihad dan tidak berlebih (dalam ijtihad)".

Maka Rasulullah SAW memukul ke dada Muadz dan berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah sepakat dengan utusannya (Muadz) dengan apa yang diredai Rasulullah SAW." (riwayat al-Thabrani)

Melalui hadis tersebut, kita dapat memahami bahawa terdapat sahabat-sahabat yang diberikan mandat untuk berijtihad sewaktu hayat baginda lagi khususnya yang berada jauh daripada Nabi. Ini disebabkan ketinggian ilmu yang ada dan kesukaran untuk merujuk kepada baginda.

Justeru, selepas wafatnya nabi, para sahabat tidak memerlukan ilmu Usul Fiqh kerana jarak mereka yang hampir dengan zaman Rasulullah. Mereka juga memahami secara mendalam bahasa Arab serta mengetahui sebab nuzul Quran dan sebab wujud hadis.

Pada zaman tabi'in, telah mula perluasan kuasa kerajaan Islam. Masyarakat Islam mula dihantar untuk menjadi gabenor atau amir di negeri-negeri yang telah dibuka dalam melancarkan lagi proses berijtihad dalam membuat keputusan.

Namun, para tabi'in biasanya tidak mempunyai masalah untuk berijtihad kerana jarak masa mereka dengan Rasulullah tidak terlalu jauh. Mereka juga berguru dan meriwayatkan hadis-hadis daripada para sahabat.

Justeru, kefahaman mereka terhadap dalil-dalil yang terkandung dalam al-Quran atau hadis masih mendalam di samping kecekapan mereka dalam memahami bahasa Arab.

Keadaan itu berterusan sehingga zaman Tabi' Tabi'in. Pada zaman ini, berlakunya perluasan kuasa dengan lebih pesat lagi sehingga mereka yang dihantar ke negeri-negeri tersebut sukar untuk merujuk kepada ulama-ulama yang muktabar disebabkan mereka dipisahkan dengan jarak lokasi yang agak jauh. Maka pada waktu itu mereka memerlukan kepada kaedah tertentu untuk memudahkan mereka mencari penyelesaian kepada masalah-masalah yang berlaku terutamanya yang tidak disebut hukumnya dalam al-Quran dan hadis.

Menyedari tentang hakikat itulah, maka Imam Syafie atau nama sebenarnya Abu Abdullah Muhammad ibn Idris ibn Abas ibn Usman ibn Syafi' ibn 'Ubaid ibn Abdu Yazid ibn Hashim ibn Mutalib ibn Abdu Manaf (meninggal 820M) telah mengambil inisiatif menyusun ilmu Usul Fiqh sebagai disiplin ilmu yang tersendiri.

Dari usaha yang telah dibuat oleh beliau, maka terhasillah sebuah karya agung yang menjadi rujukan para ulama dalam berijtihad iaitu Al-Risalah.

Setelah itu, ilmu Usul Fiqh semakin berkembang dan menjadi satu kaedah yang membantu para ulama dalam membuat ketetapan hukum bagi sesuatu masalah yang berlaku di kalangan mereka. Ini untuk memastikan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh para ulama sejajar dengan maqasid Syariah iaitu untuk membuka maslahah (kebaikan) kepada manusia dan untuk menutup segala ruang kemudaratan (keburukan) daripada berlaku.

Bermula dari detik itulah, maka masyarakat awam mula berjinak dengan ilmu Usul Fiqh. Ia bukan lagi menjadi sebuah ilmu yang eksklusif untuk golongan yang bergelar ulama sahaja. Bahkan, ia dapat dihayati dan difahami oleh mereka yang mengkaji walaupun tidak mempunyai kelayakan untuk melakukan ijtihad.

Bertadarus di bulan Ramadan

BULAN Ramadan mengingatkan kita dengan turunnya wahyu yang pertama (al-'Alaq: 1-5) yang bermaksud: Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Dengan sebab itu digalakkan membaca al-Quran terutamanya pada bulan Ramadan. Ini kerana al-Quran digandingkan dengan puasa dan juga bulan Ramadan.

Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: Hai Tuhanku, aku menegahnya daripada makan dan syahwat pada siang hari. Maka berilah syafaatku padanya. Al-Quran pula berkata: Tuhanku, aku tegahkannya daripada tidur malam, maka berilah syafaat kepadaku padanya. Kemudian kedua-duanya diberi syafaat." (riwayat Ahmad dengan sanad sahih)

Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam bukunya Mausu'ah Qadaya Islamiah Mu'asirah 1/328 berkata: "Sesungguhnya al-Quran adalah kalam Allah, dan sesiapa yang mahu berbicara dengan Tuhannya, maka hendaklah membaca al-Quran. Ini kerana al-Quran merupakan hidangan Allah yang diturunkan-Nya kepada hamba-hamba-Nya untuk dinikmati dan dikecapi."

Sebuah hadis riwayat al-Hakim dan beliau mensahihkannya menyebut: Daripada Abdullah bin Mas'ud, daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya al-Quran merupakan hidangan Allah, maka terimalah hidangan-Nya semampu kamu. Sesungguhnya al-Quran ini tali Allah, cahaya yang nyata, penyembuh yang bermanfaat, penyelamat bagi siapa yang berpegang dengannya, kesejahteraan bagi siapa yang mengikutinya. Tidaklah ia menyeleweng, pasti diperbetulkan dan sesat pasti ditunjukkan keajaibannya tidak putus-putus. Ia tidak binasa dengan sebab banyaknya dibaca. Bacalah al-Quran kerana Allah menggandakan kepada kamu pahala pada setiap bacaannya. Setiap huruf dengan sepuluh kebajikan. Adapun sesungguhnya aku tidak berkata ali lam mim satu huruf tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf."

Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam berhimpun untuk membaca al-Quran dan bertadarus. Baginda menjelaskan kepada mereka kelebihannya antaranya: Diturunkan sakinah dan tama'ninah serta ketenangan, rahmat dan pelbagai lagi kelebihan kepada yang cintakan al-Quran.

Sebuah hadis riwayat al-Turmuzi daripada Abi Sa'id bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Firman Allah SWT dalam hadis Qudsi, siapa yang disibukkannya oleh al-Quran daripada memohon kepadaku, nescaya aku kurniakannya yang lebih afdal daripada yang aku kurniakan kepada orang yang meminta. Dan kelebihan kalam Allah SWT berbanding dengan semua kalam sama seperti kelebihan Allah atas segala makhluknya."

Monday, August 16, 2010

Jangan jadi manusia rugi

SEMACAM menjadi suatu tradisi pada setiap kali Ramadan, kita akan fikirkan tentang apa juadah yang akan dihidangkan waktu berbuka dan sewaktu bersahur dengan kecurnya air liur.

Tidak hairanlah kalau pasar Ramadan tumbuh macam cendawan selepas hujan sepanjang Ramadan manakala setiap gerai pula rata-rata dikerumuni pelanggan macam semut mengerumuni gula.

Juallah apa sahaja, termasuk celur pucuk ubi kayu atau pucuk ubi keledek, acar pisang butir banyak, celur jantung pisang, ikan kering bakar dan pelbagai jenis makanan yang dianggap lekeh dan tidak munasabah untuk diniagakan pada bulan-bulan biasa, semuanya laris pada bulan puasa.

Sekali gus bulan Ramadan umpama bulan bonus atau bulan durian runtuh bagi para peniaga juadah. Ada peniaga yang yang kata berniaga sebulan bulan Ramadhan boleh menampung keperluan hidup keluarga untuk tempoh setahun.

Pagi-pagi lagi di ruang-ruang pejabat atau bila dua sahabat bertemu di mana-mana sahaja, paling lazim yang menjadi tajuk utama percakapan ialah tentang apa yang mahu dijadikan juadah berbuka. Juga juadah untuk bersahur.

Kononnya sekian-sekian juadah mesti kena ada sewaktu berbuka atau bersahur di samping akan diceritakan kedai mana yang paling bagus untuk berbuka, untuk bersantai sementara tunggu mata mengantuk dan juga kedai yang mampu membuka selera ketika bersahur.

Jarang yang bertanya atau berbincang tentang berapa surah daripada 114 surah al-Quran, berapa juzuk daripada 30 juzuk kitab suci itu dan berapa ayat daripada 6,236 ayat keseluruhan al-Quran dengan 4,780 daripadanya diturunkan di Mekah dan dinamakan surah/ayat Makkiyyah manakala 1,456 ayat lagi diturunkan di Madinah dan dinamakan surah/ayat Madaniyyah yang sudah dibaca dihayati.

Juga jarang ditanya pada malamnya pula apakah diisi dengan sembahyang sunat terawih, dilipatgandakan sembahyang sunat tahajud, sunat tasbih dan macam-macam sembahyang sunat atau masih kekal pada bulan-bulan Ramadan yang lepas-lepas, banyak masa dihabiskan dengan bersantai di warung-warung menikmati pelbagai hidangan santai ketika rakan-rakan yang lain di masjid, surau atau madrasah, berterawih.

Pada siang harinya pula apakah ditukar tabiat daripada bercakap tentang hal-hal keduniaan yang bersifat mengumpat individu-individu tertentu, kepada membanyakkan berzikir dan beristighfar dan juga menyambung bacaan al-Quran yang dibaca pada malam hari atau menjelang pagi serta selepas sembahyang subuh supaya cepat khatam.

Memang diperakukan bahawa Ramadan memang bulan pesta, bulan bonus, bulan Mega sales dan aneka macam mega tetapi bukan dalam bentuk pesta melambakkan pelbagai juadah di meja makan, lebih-lebih lagi hingga sampai ke tatap menyumbang kepada pembaziran.

Sebaliknya, Ramadan adalah bulan Allah SWT melelong, membuat Mega sales dan memberi bonus pahala berganda kepada hamba-hamba-Nya yang mengambil kesempatan daripada berkatnya Ramdaan untuk bertaubat nasuha dan memperbanyakan ibadah dengan ganjaran berganda berbanding dengan bulan-bulan biasa.

Selain para penjual mendapat laba hasil larisnya jualan juadah berbuka dan bersahur, kita tidak akan dapat laba apa sepanjang Ramadan kalau kekalkan tabiat menjadikan ia sebagai pesta juadah sedangkan dari sudut amal ibadahnya tidak meningkat pun dan tetap juga kekal pada tahap biasa.

Apatah lagi jika yang berdosa membiarkan diri kekal dengan dosa tanpa bertaubat nasuha. Semalas mana pun kita, kena usahakan juga supaya khatam al-Quran sekali dalam bulan puasa yang mana kalau bulan-bulan biasa setiap ayat yang dibaca akan dibayar dengan 10 kebajikan oleh Allah dan jika dibaca keseluruhan ayat al-Quran yang mengandungi 1.2 juta huruf dibaca kita akan dapat 12 juta kebajikan, bila al-Quran dibaca pada bulan puasa, maka jumlah kebajikannya tentulah berlipat kali ganda lagi.

Demikian juga dengan amalan-amalan lain termasuk bersedekah, sembahyang sunat, berzikir, beristighfar, memulakan penghidupan baru yakni meninggalkan kehidupan mungkar kepada kehidupan yang diredai-Nya akan diberi juga pahala yang berganda.

Rugi benar kalau kita tidak rebut peluang yang Allah sediakan sepanjang Ramadan.

Syaitan diikat?

ALHAMDULILLAH, Ramadan tiba lagi yang mempunyai pelbagai kelebihan di mana antara kelebihan tersebut al-Quran diturunkan seperti nas (al-Baqarah: 185) yang bermaksud: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

Ibn al-Jauzi berkata: Ada tiga pendapat:

  • Diturunkan sekali gus, iaitu pada malam Qadar ke Bait al-'Izzah dari langit dunia seperti kata Ibn Abbas.
  • Diturunkan al-Quran dengan kefarduan puasa seperti riwayat daripada Mujahid dan al-Dahhaq.
  • Permulaan al-Quran dengan turunnya kepada Nabi Muhammad SAW pada bulan Ramadan seperti pendapat Ibn Ishak dan Abu Sulaiman al-Dimasyqi.
  • Berkenaan dengan hadis syaitan ditambat, penerangannya seperti berikut:

    Daripada Abu Hurairah r.a, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila menjelmanya Ramadan, nescaya dibuka pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Fath al-Bari 4/132 tidak menyebut sebarang komentar ketika dikemukakan hadis ini.

    Dalam Faidh al-Bari 'ala Sahih al-Bukhari oleh Sheikh Anwar al-Kashmiri 3/327 menyebut: Di sisi riwayat Tirmidzi iaitu yang dirantai ialah jin yang ganas. Justeru, tidak lazim bahawa dirantai keseluruhannya.

    Begitu juga sebab berlakunya maksiat bukan hanya terbatas dengan godaan syaitan semata-mata, tetapi di sana ada sebab yang lain seperti pengaruh hawa nafsu yang juga antara sebesar-besar musuh manusia. Apa yang dapat diperhatikan sedikitnya maksiat dan banyaknya ketaatan dilakukan pada bulan Ramadan ini tanpa syak.

    Dengan sebab itu, Saidina Uthman r.a memberi nilai tambah daripada segi amalan dua kali ganda berbanding bulan lain. Lihat juga penjelasan yang dikemukakan oleh al-Tahawi.

    Ibn Hajar al-Haitami dalam Ittihafu Ahlu al-Islam bi Khususiyat al-Siyam menyebut: "Diambil daripada hadis ini bahawa pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup mengikut hakikatnya. Ini untuk menggambarkan kepada malaikat dan lainnya berkenaan bulan Ramadan dan pahalanya".

    Ikatan dan belenggu syaitan pula termasuk hakikat demikian pada kebanyakan masa atau secara majaz kinayah daripada menahan perbuatan jahat dan tipu daya kepada manusia. Hal ini ada kebenarannya.

    Dalam Ahkam al-Siyam, oleh Dr. Muhammad Uqlah menyebut: "Iaitu maksud tambatan atau ikatan ialah kurang godaan dan menyakiti mereka".

    Semoga kita mengambil semangat Ramadan ini yang memberi 1,001 macam kebaikan untuk menambahkan lagi amalan ketaatan sehingga kita mendapat rahmat, keampunan dan dimerdekakan daripada api neraka Allah SWT. Amin.

    Monday, August 9, 2010

    Bangun Pagi Ramadhan Dalam Keadaan Berjunub


    عَنْ عَائِشَةَ وَأُمِّ سَلَمَةَ رضي الله عنهما : (( أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ كَانَ يُدْرِكُهُ الْفَجْرُ وَهُوَ جُنُبٌ مِنْ أَهْلِهِ ثُمَّ يَغْتَسِلُ وَيَصُومُ ))
    Daripada Aisyah dan Ummu Salamah Radiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam pernah masuk ke dalam waktu fajar dalam keadaan beliau berjunub kerana bersetubuh dengan isterinya. Kemudian baginda sallallahu ‘alaihi wassalam terus mandi dan berpuasa.
    Sahih Al-Bukhari: 1925, Sahih Muslim: 1109, dan Sunan at-Tirmizi: 779
    Faedah hadis:

    a) Seandainya kita masuk ke dalam fajar dalam keadaan junub, belum mandi wajib. Puasa kita tetap sah.
    b) Dibolehkan untuk melewatkan mandi wajib asalkan ia tidak menyebabkan kita meninggalkan solat.
    c) Seandainya bertembung sahur dan mandi wajib [contohnya masa tinggal 10 minit sahaja sebelum masuk waktu Subuh], maka diutamakan bersahur. Mandi wajib boleh dilakukan selepas sahur walau sudah masuk waktu Subuh.
    d) Oleh kerana hadis di atas berkaitan dengan orang yang junub kerana bersetubuh, maka, mereka yang bangun pagi dalam keadaan junub kerana mimpi basah, lebih awla untuk menerima kemudahan di atas. Jadi jika kita bangun pagi dalam keadaan junub kerana mimpi, dan telah masuk waktu Subuh, atau tinggal sedikit sahaja masa yang cukup untuk sahur, maka boleh mandi selepas masuk Subuh dan puasa sah.
    e) Hadis di atas berlaku ke atas semua jenis puasa, tidak kira ia puasa Ramadhan, Nazar, sunat dan lain-lain.
    f) Bolehnya melakukan hubungan seksual pada malam Ramadhan. Yang terlarang hanyalah pada siang Ramadhan.
    g) Keutamaan dan kebaikan isteri-isteri Nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam kerana menceritakan kisah di atas sehingga ia menghilangkan kekeliruan dan memudahkan urusan umat Islam.

    عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه عَنْ النَّبِيِّ قَالَ : (( مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ . فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ , فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ . فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ ))
    Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda: Sesiapa yang terlupa sedangkan ketika itu dia sedang berpuasa, lalu dia makan atau minum. Maka sempurnakanlah puasanya. Sesungguhnya Allahlah yang memberi dia makan dan minum.

    Sahih al-Bukhari: 6669, Sahih Muslim: 1155, Sunan Ibn Majah: 1366
    Faedah hadis:
    a) Kemudahan yang Allah berikan untuk umat Islam yang melakukan sesuatu dalam keadaan lupa.
    b) Majoriti ulama’ menyatakan jika melakukan hal yang membatalkan puasa kerana lupa, maka dia hendaklah meneruskan puasanya, dan puasanya sah.
    c) Bagaimana pula jika seseorang bersetubuh pada siang Ramadhan kerana terlupa dia sedang berpuasa? Ulama’ khilaf di dalam isu ini.

    Imam Ahmad: Puasa tetap batal walaupun hubungan seks dilakukan dalam keadaan lupa. Hujahnya kerana hadis di atas hanya menyebutkan makan dan minum sahaja, dan tidak menyebutkan bersetubuh. Walaupun demikian, Imam Ahmad menyatakan hanya puasanya sahaja batal, pelakunya tidak berdosa kerana dia lupa.

    Manakala jumhur seperti Imam Abu Hanifah, Imam asy-Syafie, Daud az-Zahiri dan Ibn Taimiyyah berpegang bersetubuh kerana lupa di siang Ramadhan tidak membatalkan puasa. Pendapat jumhur diperkuat dengan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah radiallahu anhu:

    من أفطر في رمضان ناسيا ، فلا قضاء عليه و لا كفارة

    Barangsiapa yang berbuka (melakukan hal yang membatalkan puasa kerana lupa), maka tiada qadha dan kafarah ke atasnya (puasanya sah) [Al-Baihaqi di dalam as-Sunan al-Kubra. Beliau berkata: تفرد به محمد بن عبد الله الأنصاري عن محمد بن عمرو، وكلهم ثقات
    Muhammad Bin Abdullah al-Ansori bersendirian meriwayatkan daripada Muhammad Bin ‘Amr. Dan kesemua perawinya thiqah. Shaikh al-Albani menyatakan hadis ini hasan di dalam Sahih al-Jami’: 6070]
    Riwayat di atas menyebutkan secara umum sesiapa yang melakukan perkara membatalkan puasa kerana lupa tanpa dispesifikkan makan dan minum sahaja.

    d) Hal ini juga terpakai untuk mereka yang tersilap waktu berbuka, boleh jadi terawal kerana menyangka sudah masuk waktu Maghrib, puasanya tetap sah.

    e) Ia juga terpakai untuk kes mereka yang masih makan kerana menyangka belum masuk waktu Subuh sebagaimana kes Adi Bin Hatim radiallahu anhu.


    عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : (( بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ النَّبِيِّ إذْ جَاءَهُ رَجُلٌ . فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ , هَلَكْتُ . قَالَ : مَا أَهْلَكَكَ ؟ قَالَ : وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي , وَأَنَا صَائِمٌ – وَفِي رِوَايَةٍ : أَصَبْتُ أَهْلِي فِي رَمَضَانَ – فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ : هَلْ تَجِدُ رَقَبَةً تُعْتِقُهَا ؟ قَالَ : لا . قَالَ : فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ ؟ قَالَ : لا . قَالَ : فَهَلْ تَجِدُ إطْعَامَ سِتِّينَ مِسْكِيناً ؟ قَالَ : لا

    Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, beliau menceritakan: Ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam lalu datang seorang lelaki kepada Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wassalam. Kemudian, lelaki itu terus berkata: Ya Rasulullah, celakalah aku. Maka Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bertanya: Apa yang terjadi kepada kamu? Lelaki itu menjawab: Aku telah menyetubuhi isteri aku sedangkan aku dalam keadaan berpuasa- di dalam riwayat lain- aku telah menyetubuhi isteriku di bulan Ramadhan. Maka Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam berkata: Apakah engkau boleh mendapatkan seorang hamba perempuan untuk engkau bebaskan? Jawab lelaki tersebut: Tidak. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bertanya lagi: Apakah engkau mampu untuk berpuasa selama dua bulan berturut-turut? Jawab lelaki itu: Tidak. Tanya baginda Sallallahu ‘Alaihi Wassalam lagi: Apakah engkau boleh mendapatkan makanan untuk enam puluh orang miskin. Jawab lelaki itu: Tidak.

    . قَالَ : فَمَكَثَ النَّبِيُّ فَبَيْنَا نَحْنُ عَلَى ذَلِكَ أُتِيَ النَّبِيُّ بِعَرَقٍ فِيهِ تَمْرٌ – وَالْعَرَقُ : الْمِكْتَلُ – قَالَ : أَيْنَ السَّائِلُ ؟ قَالَ : أَنَا . قَالَ : خُذْ هَذَا , فَتَصَدَّقَ بِهِ . فَقَالَ الرَّجُلُ : عَلَى أَفْقَرَ مِنِّي : يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ فَوَاَللَّهِ مَا بَيْنَ لابَتَيْهَا - يُرِيدُ الْحَرَّتَيْنِ - أَهْلُ بَيْتٍ أَفْقَرَ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي . فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ . ثُمَّ قَالَ : أَطْعِمْهُ أَهْلَكَ )) .

    Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam terus terdiam. Ketika kami di dalam keadaan tersebut, datang seorang lelaki dengan sekerangkang kurma. Lalu kata Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam: Di mana lelaki yang bertanya tadi? Jawab lelaki tersebut: Saya. Lalu Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda: Ambillah ini (kurma tersebut), dan engkau bersedekahlah dengannya. Lalu jawab lelaki tersebut” Apakah ada manusia yang lebih miskin daripada aku wahai Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam? Demi Allah, tidak wujud di antara kedua batuan hitam ini keluarga yang lebih miskin daripada keluargaku. Lalu Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wassalam tertawa sehingga kelihatan gigi taringnya. Kemudian baginda Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda: Berilah kurma ini sebagai makanan untuk ahli keluarga kamu.
    Sahih al-Bukhari: 6709, 6711, 1936, Sahih Muslim: 1111, Sunan Abu Daud: 2390, Sunan at-Tirmizi: 724, Sunan Ibn Majah: 1364

    Faedah hadis:
    a) Hikmah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassalam yang jelas kerana tidak memarahi orang yang telah mengaku melakukan kesilapan dengan bersetubuh di siang Ramadhan.
    b) 1 kerangkang: 15 sa’
    1 sa’: 2.042 kg.
    15 sa’: lebih 30 kg.
    Lelaki tersebut mendapat lebih daripada 30 kilogram kurma.

    c) Ulama’ bersepakat wajibnya kafarah bagi mereka yang bersetubuh di siang Ramadhan dengan sengaja. Mereka berbeza pendapat bagi kes orang yang bersetubuh kerana lupa sedang berpuasa. Yang benar di sisi al-Fadhil Ustaz Subhan, ialah tidak perlu kafarah jika bersetubuh kerana lupa sebagaimana telah disebutkan sebelum ini.

    d) Khilaf jua apakah bentuk hukuman adalah pilihan, atau perlu mengikut tertib sebagaimana hadis di atas. Jumhur seperti Imam ast-Syafie dan Abu Hanifah berpandangan perlu mengikut tertib.

    e) Hadis ini menunjukkan bersetubuh di siang Ramadhan merupakan perbuatan yang keji.

    Wednesday, August 4, 2010

    Tajwid memelihara kesucian al-Quran

    MUKJIZAT al-Quran dalam bentuk perundangan dan susunan bahasanya amat tinggi dan tidak dapat di atasi selama-lamanya walaupun jin dan manusia berkumpul bersama untuk mencabarnya.

    Al-Quran dijaga oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. (al-Hijr: 9)

    Satu keistimewaan al-Quran yang perlu disedari bersama ialah pembaca mestilah membacanya dengan bertajwid.

    Tajwid bermaksud menyebut huruf al-Quran dengan sebutan, tepat dan sahih.

    Perkara ini tidak berlaku pada semua kalam atau perkataan makhluk kecuali kalam Allah SWT sahaja iaitu al-Quran.

    Ulama bersepakat dalam memberi pandangan bahawa wajib membaca al-Quran secara bertajwid. Dalil dari al-Quran yang menunjukkan perkara tersebut ialah firman AllahSWT dalam surah al-Muzzamil ayat 4 bermaksud: Bacalah al-Quran secara tartil.

    Ali Ibn Abi Talib r.a menafsirkan tartil bermaksud memperelok sebutan huruf dan mengetahui wakaf.

    Bacaan al-Quran dari surah al-Fatihah hingga surah al-Nas iaitu 30 juzuk yang dibaca pada hari ini diterima secara bersambung sanadnya hingga kepada Rasulullah SAW.

    Membaca huruf izhar secara izhar, huruf idgham diidghamkan, membaca huruf ikhfa' secara ikhfa', hukum iqlab dibaca dengan iqlab adalah bacaan yang dibaca oleh Rasulullah SAW. Begitu juga dengan hukum mad (panjang) dan hukum tajwid yang lain.

    Pernah satu ketika Abdullah Ibn Masud r.a mengajar seorang membaca al-Quran. Ketika lelaki itu membaca kalimah al-Fuqara' dalam surah al-Taubah ayat 60 dengan memendekkan suaranya, Abdullah Ibn Masud menegurnya dengan berkata bukan begitu caranya Rasulullah mengajar aku membaca al-Quran.

    Lelaki itu bertanya: "Bagaimana Rasulullah mengajar kamu wahai Ibn Masud?" Beliau menjawab "memanjangkanya."

    Teguran Ibn Masud kepada lelaki tersebut yang membaca dengan kadar harakat yang tidak cukup pada kalimah fuqara' memberi faham kepada kita bahawa ia adalah satu perkara yang diambil perhatian oleh Rasulullah SAW ketika mengajar para sahabat membaca al-Quran.

    Walaupun sebenarnya panjang dan pendek suara pada kalimah fuqara' tidak memberi kesan kepada perubahan makna.

    Objektif utama ilmu tajwid ialah menjaga lidah dari membuat silap ketika membaca al-Quran. Ini menunjukkan bahawa tajwid menjaga nas al-Quran itu dibaca dengan bentuk yang tepat dan sahih semenjak ia diturunkan hinggalah ke hari kiamat.

    Ibn al-Jazari menyatakan bahawa tidak syak bahawa memahami makna al-Quran dan perundanganya adalah satu ibadat. Turut dipanggil ibadat dalam berusaha memperbetulkan sebutan lafaz al-Quran dan sebutan hurufnya sebagaimana sifat yang diterima oleh imam-imam qiraat daripada Rasulullah saw.

    Al-Quran yang wujud di pasaran begitu banyak, hiasan dalamannya dan bentuk khatnya amat menarik perhatian. Namun apakah kita membacanya dengan tajwid yang betul?

    Jika bacaan kita menepati ilmu tajwid kita bersyukur kepada Allah SWT dan sebaliknya jika belum menepati hukum tajwid berusahalah mempelajarinya daripada guru-guru al-Quran yang berada berhampiran dengan kita.

    Qari Mesir, qariah Pakistan johan tilawah antarabangsa

    JOHAN Qari dan Qariah Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-52, Hani Abdel Aziz dari Mesir (kanan) dan Samia Khanan dari Pakistan bersama hadiah dimenangi di PWTC, malam tadi.
    JOHAN Qari dan Qariah Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-52, Hani Abdel Aziz dari Mesir (kanan) dan Samia Khanan dari Pakistan bersama hadiah dimenangi di PWTC, malam tadi.
    Peserta Malaysia, Brunei, Filipina dapat tempat kedua, ketiga

    KUALA LUMPUR: Qari dari Mesir, Hani Abdel Aziz Ahmed dan qariah dari Pakistan, Samia Khanan masing-masing muncul johan qari dan qariah majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-52, yang berakhir malam tadi. Hani memperoleh markah 91.46 peratus, manakala Samia mendapat 91.08 peratus markah.

    Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM33,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

    Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

    Tempat kedua bahagian qari dimenangi Wan Ainuddin Abdullah dari Malaysia yang mendapat 90.75 peratus markah dan ketiga, Abdul Wadoud K Esmail dari Filipina yang memperoleh 89.63 peratus markah.

    Tempat kedua bahagian qariah pula dimenangi Dayang Nurfaezah Emran dari Brunei yang mengumpul 90.17 peratus markah, manakala tempat ketiga Monaifah A Bogabong Alawi dari Filipina yang mendapat 88.75 peratus markah.
    Qariah Malaysia, Nur Azrah Ayub menduduki tempat keempat dengan memperoleh 88.71 peratus markah.

    Naib johan kedua-dua kategori membawa pulang wang tunai berjumlah RM23,100 (AS$7,000), cenderamata dan sijil penyertaan, manakala pemenang tempat ketiga menerima wang tunai RM13,200 (AS$4,000), cenderamata dan sijil penyertaan.

    Semua peserta lain menerima hadiah sagu hati berjumlah RM4,950 (AS$1,500), cenderamata dan sijil penyertaan.

    Seramai 72 peserta dari 45 negara mengambil bahagian dalam tilawah tahun ini bertemakan ‘Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah’ yang berlangsung selama lapan hari bermula 27 Julai lalu.

    Jumlah penyertaan tahun ini meningkat berbanding 66 peserta dari 43 negara tahun lalu. Empat negara yang pertama kali menghantar peserta ialah Kazakhstan, Surinam, Zambia dan Djibouti.