Sunday, September 12, 2010

Berfikir daripada apa kita dicipta

SYED Qutub berkata, setelah menyentuh hakikat yang menghubungkan jiwa manusia dengan alam, maka Allah menyentuh pula hakikat perencanaan dan pentadbirannya iaitu hakikat yang dimuliakan dengan sumpah demi langit dan bintang yang muncul di waktu malam.

Asal mula kejadian itulah menunjukkan hakikat pentadbiran ini, dan menyarankan bahawa manusia tidak dibiarkan sia-sia dan percuma.

Firman Allah SWT: (Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan, daripada apa ia diciptakan.

Sheikh al-Maraghi berkata: “Hendaklah manusia itu berfikir dan merenung permulaan kejadiannya agar menjadi jelas baginya betapa besar kuat Zat Yang Maha Pemberi itu.

“Apabila Dia berkuasa mencipta manusia daripada benda-benda yang tidak hidup, maka pasti Dia akan lebih berkuasa untuk menghidupkan semula selepas mati.

“Oleh itu hendaklah engkau beramal dengan perbuatan-perbuatan yang menggembirakan ketika datangnya saat hidup semula.”

Firman Allah SWT: Ia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim) yang keluar dari ‘tulang sulbi’ lelaki dan ‘tulang dada’ perempuan.

Sheikh al-Maraghi berkata: “Anak itu terjadi daripada sperma yang dipancarkan oleh orang lelaki. Dalam sperma itu terdapat sel mani yang hidup lagi halus yang hanya dapat dilihat menggunakan mikroskop.

“Sel mani terus bergerak sehingga bertemu dengan sel mani wanita yang disebut telur atau ovum. Apabila sel mani dan sel telur bertemu maka terbentuklah janin (embrio).”

Firman Allah SWT: Sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk mengembalikannya (hidup semula sesudah mati).

Ibn Kathir berkata, mengenai ayat ini ada dua pendapat.

Pertama: iaitu kuasa yang mengembalikan air mani yang terpancar itu ke tempatnya semula, tempat di mana ia pertama kali keluar, dan Dia sangat mampu untuk melakukan hal tersebut. Demikian yang dikemukakan oleh Mujahid, Ikrimah dan lain-lain.

Kedua: Kuasa yang mengembalikan manusia yang diciptakan dari air mani yang terpancar itu, iaitu mengembalikan dan membangkitkan ke alam akhirat, maka Dia sangat mampu melakukan hal tersebut.

Sebabnya Rabb yang mampu mengawal penciptaan maka pasti akan sanggup untuk mengembalikannya. Dan Allah SWT menyebut dalil ini di beberapa tempat dalam al-Quran. Pendapat ini dikemukakan oleh al-Dahhaq dan Ibn Jarir.

Firman Allah SWT: Pada hari didedahkan segala yang terpendam di hati (daripada iktikad, niat, dan lain-lainnya).

Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir menyebut: “Akan diuji segala rahsia antara hamba dan Tuhannya sehingga zahir kebaikannya daripada kejahatan. Begitu juga yang menunaikannya daripada yang mengabaikannya.

“Ini kerana manusia tersembunyi di dunia tidak diketahui sama ada beliau solat atau tidak? Mengambil wuduk atau sebaliknya?

“Tetapi jika sekiranya pada hari kiamat Allah menzahirkan setiap yang tersembunyi. Maka ia sama ada membawa kebaikan pada mukanya atau kehinaan dengan sebab amalan yang dilakukan.”

Ibn Qutaibah berkata, mereka akan diuji secara rahsia yang terdapat dalam hati.

Firman Allah SWT: Maka (pada saat itu) tidak ada bagi manusia sebarang kekuatan (untuk membela diri), dan tidak ada penolong (yang dapat memberikan pertolongan).

Ibnu Kathir berkata: “Yakni tidak ada seorang pun yang sanggup mengeluarkan darinya. Dengan pengertian lain, tidak ada yang sanggup untuk menyelamatkan dirinya dari azab dan tidak juga ada seorang pun yang dapat memberi pertolongan kepadanya”.

Kekuatan yang dipergunakan manusia untuk melindungi dirinya itu adakala datang daripada dirinya sendiri.

Pada hari kiamat kekuatan yang datang daripada dirinya sendiri itu dihapuskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: Tidak ada baginya suatu kekuatan pun. Adakala kekuatannya itu datang dari luar dirinya.

Kekuatan terakhir ini juga disangkal oleh Allah SWT dengan firman-Nya yang bermaksud: Dan tidak pula ada penolong.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita kekuatan dalam mentaati-Nya dan menjadi khalifah di muka bumi yang akhirnya layak menghuni syurga-Nya. Amin.

Kematian Saidina Hamzah

KETIKA peperangan begitu sengit di antara tentera Muslimin dengan tentera Quraisy, semangat tentera-tentera Muslimin semakin memuncak sehingga mereka terus menerkam ke arah tentera Quraisy bagaikan ombak melanda pantai sambil melaungkan amit, amit iaitu “matilah! Matilah!”

Pada masa yang sama, kelihatan Hamzah bin Abdul Muttalib sedang melawan dan menerkam semua serangannya bagaikan seekor singa yang garang.

Beliau meluru ke tengah-tengah barisan tentera Quraisy dalam gerak kilat yang tiada bandingannya.

Tentera-tentera Quraisy pula mengelak daripada libasan pedangnya umpama daun-daun kering yang dipukul oleh angin.

Ketika Hamzah sedang bergelut dengan pihak musuh, tiba-tiba datang kepadanya Wahsyi bin Harb iaitu budak suruhan Jabir bin Mut’im secara sembunyi-sembunyi untuk membunuh beliau.

Bapa saudara Jabir telah dibunuh dalam Perang Badar. Oleh yang demikian, Jabir mengupah Wahsyi dan dijanji akan dibebaskan sekiranya berjaya membunuh Hamzah kerana ingin menuntut bela ke atas kematian bapa saudaranya itu.

Wahsyi menyertai perang itu dengan tekad untuk membunuh Sayidina Hamzah. Dia mengekori Hamzah dicelah-celah orang ramai. Wahsyi bersembunyi di sebalik batu di tepi sepohon kayu.

Ketika Sayidina Hamzah sibuk berlawan dengan tentera-tentera Quraisy, Wahsyi lalu mengambil kesempatan melontarkan lembingnya ke arah Sayidina Hamzah secara curi-curi.

Lembing itu terkena dada Hamzah hingga menembusi badannya. Beliau cuba menerpa ke arah Wahsyi tetapi rebah tersungkur.

Setelah Hamzah menemui ajalnya, datanglah Hindun binti Utbah iaitu isteri Abu Sufyan pemimpin tentera Quraisy lalu menoreh dada Hamzah untuk mengeluarkan hati dan jantungnya yang masih panas dan bergerak-gerak itu, Hindon cuba menggigit hati dan jantung Saidina Hamzah untuk melepaskan sakit hatinya.

Setelah perang selesai dan kaum Quraisy telah kembali ke Mekah, Rasulullah menghadapi kemurungan dan kesedihan apabila melihat keadaan jenazah bapa saudaranya. Lalu baginda meminta Allah melaknat pemuka-pemuka Quraisy itu.

Sesudah baginda memohon laknat untuk orang-orang itu, datanglah ayat daripada Allah yang berbunyi: “Tiada satu pun bagimu sama ada Allah hendak menerima taubat mereka, ataupun Dia hendak mengazab mereka, lantaran mereka itu adalah orang-orang yang zalim.”

Baginda dan orang-orang Islam yang lain juga berazam untuk mencacatkan setiap mayat tentera Quraisy dalam peperangan akan datang sebagai membalas dendam.

Sehubungan dengan itu, Allah telah menurunkan Surah an-Nahl di atas.

Friday, September 3, 2010

11 jenis manusia yang didoa malaikat

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."

5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.

"Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?"

Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'"

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...' "

10. Orang yang sedang makan sahur.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."

Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama.

Monday, August 30, 2010

Al-Quran tetap terpelihara

SHEIKH al-Maraghi berkata: "Setelah Allah SWT menerangkan kisah dan keadaan Ashab al-Ukhdud dan menggambarkan bagaimana mereka menganiayai orang-orang yang beriman, seterusnya Allah SWT menyambungkan dengan keterangan tentang perilaku orang kafir pada setiap masa dan tingkah laku mereka terhadap para nabi dan sahabat-sahabatnya seperti cara ini.

Iaitu mereka menyeksa orang-orang yang beriman dan selalu memusuhinya. Allah SWT tidak mengutuskan seorang nabi melainkan pasti menghadapi kaumnya seperti yang dialami nabi-nabi dahulu dengan kaumnya. Tujuan kisah ini adalah untuk menghiburkan hati Nabi SAW dan para sahabat baginda, meneguhkan kemahuan mereka bersabar menghadapi tentangan. Dan memberitahu bahawa kaumnya yang kafir akan mengganggunya sebagaimana yang telah dilakukan oleh para penguasa yang mempunyai tentera seperti Firaun dan Thamud.

Firman Allah SWT: Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal (kebinasaan yang telah menimpa) kaum-kaum yang menentang (Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka)?

Sheikh al-Maraghi berkata: "Ayat ini bermaksud bahawa berita mereka itu sudah sampai kepadamu dan engkau tahu apa yang engkau perbuatan dan bagaimana seksaan Tuhanmu kepada mereka.

"Justeru, peringatkanlah kaummu terhadap hari-hari seksaan Allah SWT dan berilah kepada mereka ancaman bahawa mereka akan menerima seksaan orang dahulu yang sesat."

Firman Allah SWT: (Dan Mereka itu ialah kaum) Firaun, dan Thamud (kaum Nabi Soleh).

Syed Qutub berkata: "Kebinasaan kaum-kaum itu merupakan dua kebinasaan yang berlainan dari segi bentuk dan kesannya, dan menyembunyikan di sebalik keduanya cahaya-cahaya yang jauh bersama peristiwa parit api itu. Pada akhirnya, dijelaskan kedudukan orang-orang kafir dan kepungan Allah yang ketat terhadap mereka, sedangkan mereka tidak sedar.

Firman Allah SWT: (Kaummu Wahai Muhammad, bukan sahaja menolak ajaranmu), bahkan orang-orang yang kafir itu terus tenggelam dalam keadaan mendustakan kebenaran, sedang Allah, dari belakang mereka, melingkungi mereka (dengan kekuasaan-Nya)!

Ibnu Kathir berkata: "Maksudnya mereka selalu dalam keraguan, kekufuran dan pembangkangan. Seterusnya beliau berkata lagi: "Yakni Dia berkuasa atas mereka, Maha Perkasa, tidak ada yang dapat terlepas dari seksaan-Nya, serta mereka tidak juga dapat membuat-Nya lemah.

Firman Allah SWT: (Sebenarnya apa yang Engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah al-Quran yang tertinggi kemuliaannya, (lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz.

Syed Qutub berkata: "Adakah lagi yang lebih mulia, lebih tinggi dan lebih luhur dari ayat Allah yang Maha Besar? Al-Quran itu tertulis di Luh Mahfuz. Kita tidak tahu hakikat Luh Mahfuz, kerana ia dari urusan alam ghaib yang hanya diketahui oleh Allah sahaja".

Kita hanya dapat memahami dari bayangan ayat ini dan daripada ilham yang ditinggalkan dalam hati kita bahawa al-Quran tetap dipelihara kukuh. Keterangannya merupakan sumber rujukan muktamad dala segala perkara yang dibicarakannya.

Segala kata-kata yang lain akan hilang, hanya ayat-ayat al-Quran sahaja yang terkawal dan terpelihara. Al-Quran telah pun memberi penjelasannya tentang peristiwa parit api dan hakikat yang wujud di sebaliknya, dan penjelasan itu merupakan penjelasan yang muktamad.

Berhemah di Ramadan

KITA sudah memasuki pertengahan Ramadan yang merupakan bulan pentarbiah diri seluruh umat Islam agar mencari seberapa banyak pahala dari pengisian ibadat yang amat unik dan istimewa ini.

Salah satu hikmat kedatangan Ramadan adalah menganjurkan umat Islam agar bersederhana dalam berbelanja terutama untuk persiapan berbuka dan bersahur.

Dalam situasi ekonomi negara yang masih lagi berdepan dengan harga minyak yang masih tinggi dan harga barangan keperluan yang telah meningkat, maka pada bulan inilah kita perlu mempraktikkan sikap berhemah ketika berbelanja.

Jika sebelum Ramadan, kita makan empat kali sehari, pada bulan ini kita hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk dua kali makan sahaja iaitu waktu berbuka dan bersahur.

Namun, bagi segelintir daripada kita, perkara sebaliknya pula yang berlaku. Perbelanjaan dapur meningkat berganda berbanding hari-hari biasa.

Ramai yang tunduk pada nafsu hingga menyebabkan kepelbagaian juadah berbuka yang disediakan berlebihan sehingga berlaku pembaziran.

Makanan adalah sesuatu yang amat bernilai kerana ia adalah rezeki Allah yang harus dihargai. Semua agama di dunia ini menolak penganutnya dari boros dan melakukan pembaziran.

Menurut kajian, pada tahun 2006, lebihan makanan membentuk hampir separuh buangan pepejal di negara ini.

Daripada hampir 20,000 tan buangan pepejal yang dihasilkan setiap hari, 45 peratus terdiri daripada makanan yang dibuang.

Juadah berbuka

Jika difikirkan menyediakan sendiri juadah berbuka di rumah lebih menjimatkan.

Buat apa lagi kita membeli makanan di Bazar Ramadan yang harganya mahal.

Bagi yang berkeluarga berbuka puasa di rumah dapat mengeratkan lagi hubungan sesama ahli keluarga.

Sesedap mana makanan itu sekalipun, yang penting ialah keredaan Allah kepada kita dalam menjalani ibadah puasa secara keseluruhannya.

Pada bulan puasa ini juga terdapat segelintir daripada kita terutama yang tinggal di bandar-bandar besar menjadikan amalan berbuka puasa di hotel dan restoran mewah sebagai gaya hidup sungguhpun bayaran bufet Ramadan mencecah RM128 bagi orang dewasa di sebuah hotel lima bintang.

Tidak salah berbuka puasa di luar, sekiranya dirancang dengan sebaik-baiknya. Ini termasuklah memilih tempat berpatutan harganya, ingin mengubah selera pada hari-hari tertentu dan yang penting juga ia menyediakan kemudahan untuk bersembahyang.

Ramadan juga bukan setakat menyediakan juadah berbuka dan sahur. Ia bukan untuk kita bermuhasabah diri.

Tidak akan lengkap sekiranya kita tidak membuat penilaian terhadap perbuatan atau perilaku yang dilakukan sehari-harian dalam bulan Ramadan.

Aspek yang perlu kita tanyakan kepada diri kita ialah sejauh mana amalan nilai-nilai murni telah meresap dalam jiwa seterusnya menjadi amalan perlakuan seharian.

Muhasabah pemikiran yang paling mudah ialah berfikir sama ada kita telah memenuhi tuntutan dalam menghargai nikmat yang diperolehi dan bersyukur dengan apa yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT.

Puasa di bulan Ramadan mengajar kita merenungi bahawa betapa banyak nikmat yang telah kita terima selama hayat ini dan sejauh mana kita telah bersyukur dengan kenikmatan tersebut.

Secara mudah, dalam melaksanakan ibadah puasa sendiri, kita dapat melaksanakannya tanpa terlalu banyak rintangan fizikal yang dilalui.

Bahkan suasana bulan Ramadan di Malaysia menunjukkan betapa damai dan melimpahnya rezeki, sehingga kadang-kala timbulnya pembaziran.

Ini berbeza dengan suasana Ramadan di kalangan umat Islam di negara-negara yang terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah bencana alam, pergolakan dan krisis dan keamanan.

Wednesday, August 25, 2010

Puasa suburkan akhlak terpuji

ALAH satu matlamat difardukan puasa Ramadan adalah untuk menjana akhlak yang terpuji dan seterusnya mencapai kemuncak darjat ketakwaan yang sebenar kepada Allah Taala.

Dalam satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan semata-mata kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan pahala daripada-Nya, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu."

Ramadan adalah bulan meningkatkan kuantiti dan kualiti ibadat bagi setiap umat Islam yang ingin mencapai hasrat tersebut. Ini kerana dengan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat sahajalah, maka akan lebih mudah proses taqarrub seseorang untuk berserah diri kepada Allah SWT dalam banyak hal.

Dengan itu juga akan lebih mudah pula seseorang mukmin itu untuk membezakan sesuatu yang hak dan batil.

Sabda Rasulullah SAW yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud: "Umatku diberi Allah setiap Ramadan lima perkara yang tidak diberikan kepada umat sebelumnya, iaitu bau mulut orang yang berpuasa lebih harus di sisi Allah daripada bau kasturi. Malaikat memohon ampun untuk orang yang berpuasa hingga waktu berbuka. Syaitan dibelenggu sehingga mereka tidak bebas seperti biasa."

Bertitik tolak dari itu, setiap umat Islam digalakkan menyimpan niat menjalani ibadat puasa pada setiap hari di bulan Ramadan sebagai manifestasi untuk melaksanakannya mengikut apa yang dikehendaki oleh syarak.

Puasa adalah suatu ibadat tazkiyah al-nafs iaitu proses penyucian jiwa dan nurani dari segala penyakit rohani yang boleh mengkerdilkan kesempurnaan ibadat seseorang. Melalui ibadat puasa diharapkan akan lahir sifat-sifat terpuji seperti amanah dan jujur dengan diri sendiri, bertanggungjawab, bertakwa dan bersabar.

Apa jua kesederhanaan dan sedikit kekuatan yang dituntut sepanjang menjalani ibadat puasa ini mencerminkan ibadat puasa adalah bersifat sosial yang dikatakan boleh menjana deria keprihatinan dan keinsafan terhadap nasib umat Islam yang kurang bernasib baik.

Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada segala yang haram. Jauhilah daripada suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama." (riwayat Bukhari).

Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah SAW itu dapat kita laksanakan dengan syumul, perkara utama yang harus dahulukan adalah menyiapkan diri untuk memulakan penghidupan yang lebih bermutu dan bernilai sepanjang berada dalam bulan penuh kemuliaan dan keberkatan ini. Antaranya ialah:

lMenjaga ibadat puasa dari terbatal dan kurang pahalanya kerana kelalaian dalam menjaga anggota badan.

lMemperbanyakkan membaca al-Quran dan merenungi pengajaran di sebalik pengertian ayat yang dibaca.

lMengurangkan tidur pada siang hari bulan Ramadan.

lBeriktikaf dalam masjid terutamanya pada sepuluh malam terakhir Ramadan

lMemperbanyakkan bersedekah terutama kepada fakir miskin kerana bersedekah akan menyucikan jiwa manusia dari sifat takbur dan kembali menyemai sensitiviti sesama umat Islam.

lJangan terlalu boros dengan melakukan pembaziran dalam penyediaan makanan.

Melihat kepada betapa besarnya fadilat yang bakal diperoleh oleh semua umat muslimin pada sepanjang bulan yang barakah ini, Rasulullah SAW telah memberi penekanan dengan menjelaskan kemuliaan Ramadan melalui satu khutbah baginda iaitu: "Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan di mana Allah telah jadikan puasa adalah kefarduan dan qiyam pada malamnya adalah satu tambahan. Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardu di bulan yang lain.

"Bulan Ramadan adalah bulan untuk memberi pertolongan dan Allah akan menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan dari api neraka."

Secara jelasnya menikmati kehadiran Ramadan dan fadilat yang terselindung di sebalik tabir kemunculannya menjadi tumpuan setiap umat Islam yang mahukan keberkatan dan pahala yang berlipat ganda daripada Allah SWT.

Usah jadikan Ramadan sebagai bulan untuk berlumba-lumba menyajikan makanan yang pelbagai sehingga melakukan pembaziran atau puasa sebagai alasan produktiviti menurun.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila datangnya malam pertama Ramadan, diikatlah segala jin dan syaitan yang jahat serta ditutup pula pintu neraka, dan tiada dibuka walaupun satu pintu neraka. Akan dibuka pintu syurga.

"Pada setiap malam akan ada malaikat yang menyeru 'Wahai manusia yang inginkan kebaikan, bersegeralah kamu. Wahai manusia yang inginkan kejahatan, berhentilah kamu dan bagi Allah orang yang dibebaskan dari api neraka."

Tuesday, August 24, 2010

Puasa bukan sekadar lapar dahaga

PUASA Ramadan adalah ibadah yang menjadi kewajipan setiap Muslim. Kewajipan puasa ini sabit dengan nas Ilahi dalam surah al-Baqarah pada ayat 183. Dalam menjaga agar puasa tidak rosak, keprihatinan masyarakat Muslim dalam menanyakan perkara yang membatalkan puasa amat dihargai.

Ada soalan yang sudah lazim dan biasa. Namun ada soalan-soalan yang masih baru di mana ia tidak wujud pada zaman Nabi SAW dan zaman awal Islam.

Biasanya ia merujuk kepada puasa dan aspek perubatan. Contohnya penggunaan inhaler ketika berpuasa, penggunaan rawatan dialisis bagi pesakit buah pinggang, suntikan insulin, bius dan sebagainya.

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama dalam masalah ini. Banyak buku boleh dikaji. Antaranya buku yang mudah untuk kefahaman ialah buku Soal Jawab Remeh-Temeh Tentang Puasa.

Persoalan yang diajukan itu memberi tanda yang positif. Ia satu penanda aras tahap kefahaman segelintir masyarakat Muslim dalam memahami hukum-hakam puasa. Namun sedikit malang apabila persoalan yang amat penting juga dalam ibadah puasa sedikit terabai.

Contohnya segelintir masyarakat Muslim tidak melihat akhlak yang buruk sebagai perkara yang membatalkan puasa atau membatalkan pahala ibadah puasa.

Maka waktu senggang yang asalnya diisi dengan makan digunakan untuk mengumpat, bercakap bohong, berbual perkara yang lagha atau sia-sia secara keterlaluan.

Oleh itu, amat wajar untuk direnungi suatu sabda Nabi SAW maksudnya: Sesiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta dan amalan dengannya maka tiadalah Allah berhajat baginya untuk dia meninggalkan makan dan minum. (riwayat al-Bukhari).

Mengikut tafsiran hadis ini sebagaimana dalam Fath al-Bari - satu karya yang menghuraikan Sahih al-Bukhari. Hadis ini menggambarkan bahawa amalan puasa ini tidak diterima oleh Allah.

Alangkah ruginya puasa yang dilakukan dengan kelaparan dan kehausan namun ia tidak diterima. Perit-jerih bangun bersahur pada awal pagi hanya menjadi amalan yang sia-sia.

Maka menjauhi perkara yang sia-sia sebenarnya merupakan dasar bagi seorang mukmin.

Tidakkah al-Quran menjelaskan ciri-ciri golongan mukmin yang berjaya. Antaranya ialah menjauhi perkara yang sia-sia sebagaimana firman Allah mafhumnya: Sesungguhnya orang mukmin telah berjaya. Mereka ialah golongan yang khusyuk dalam solat mereka. Dan golongan yang berpaling menjauhi daripada perkara lagha (sia-sia). (al-Mukminun: 1-3).

Puasa bukanlah sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga semata-mata. Walaupun definisi puasa ialah imsak iaitu menahan diri daripada makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar hinggalah terbenam matahari, namun hikmah puasa yang sebenar ialah bagi menjana nilai takwa dalam diri insan. Firman Allah mafhumnya: Wahai orang yang beriman! Difardukan ke atas kamu puasa sebagaimana difardukan kepada umat sebelum kamu moga-moga kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Oleh itu, ada beberapa riwayat hadis yang menggesa agar akhlak dijaga dengan baik ketika berpuasa. Antaranya sabda Nabi SAW maksudnya: ...maka apabila hari puasa seseorang kamu, maka janganlah dia melakukan maksiat dan janganlah dia melakukan perbuatan orang jahil (seperti berkelahi, bertegang lidah dan sebagainya). Maka jika seseorang mencacinya atau melawannya maka hendaklah dia berkata bahawa saya adalah orang yang berpuasa. (riwayat al-Bukhari).

Hari ini, manusia tidak kisah untuk memfitnah, mencaci dan berkata dusta. Ada juga yang dihalalkan atas nama kebenaran. Entah benar atau tidak, Islam ada garis panduannya. Namun nampaknya garis panduan tersebut sudah tidak diendahkan. Akhirnya, ia hakikatnya satu fitnah, cacian dan pendustaan. Oleh itu, adalah amat wajar tempoh sebulan Ramadan ini diisi dengan perkara yang boleh menjana nilai takwa.

Saya yakin ramai umat Islam mampu berpuasa dengan erti menahan diri daripada makan dan minum. Pelajar sekolah rendah pun nampaknya boleh memahami makna puasa sebegitu. Mungkin ada yang sembunyi-sembunyi makan dan minum, itu di luar kemampuan kita. Namun bagi Muslim yang sudah lama berpuasa, bilakah puasa kita akan meningkat maju?

Ada juga isu yang dibangkitkan bagi memberikan kefahaman yang lebih baik berkaitan amal ibadah dalam bulan Ramadan. Antaranya isu rakaat solat Terawih dan isu waktu imsak di mana dalam jadual takwim ada dicatat waktu imsak sepuluh minit sebelum waktu Subuh. Tidak mengapa jika ia dibangkitkan dan dibicarakan dalam suasana ilmu dan harmoni jauh daripada keji-mengeji dan sebagainya. Apalah gunanya dibicarakan isu sebegini jika akhlak kita makin jauh daripada tuntutan sunnah Nabi SAW.

Antara slogan yang perlu disematkan dalam kotak pemikiran kita ialah bagaimana hendak mewujudkan akhlak keikhlasan dalam beribadat. Keikhlasan beribadat ini pula didasarkan dengan pedoman al-Quran dan as-Sunnah. Seterusnya ia dilanjutkan dengan kekuatan semangat istiqamah.

Ingatlah bahawa banyak orang mampu berpuasa namun puasanya itu tidak ke mana. Hanya sekadar lapar dan dahaga. Bangkitlah untuk menjadikan puasa kita lebih berkualiti.