Thursday, October 7, 2010

Usah salahkan orang lain jika gagal

SETIAP orang pasti mengalami pengalaman menghadapi kegagalan. Tidak kiralah gagal dalam peperiksaan, gagal dalam bercinta atau gagal dalam pertandingan. Selalunya apabila gagal, kita pasti akan mencari pelbagai alasan.

Jika gagal dalam peperiksaan, kita mungkin mengatakan guru tidak pandai mengajar, cikgu tidak mahir subjek berkenaan, sekolah tidak bagus, ayah ibu tidak ambil peduli, peralatan belajar kurang dan pelbagai alasan lagi. Jarang kita mengatakan pada diri, 'memang aku malas belajar', atau 'memang aku tidak berusaha dari awal lagi', atau 'aku malas berusaha'. Memang sudah menjadi sifat semula jadi manusia, gemar mencari dan memberi alasan dalam setiap perkara. Kelemahan sendiri jarang pula dilihat, apatah lagi hendak mengakui punca kegagalan kerana kelemahan diri sendiri. Namun, mencari alasan tidak akan menyelesaikan masalah. Malah, memberi alasan bererti kita berusaha melindungi sebab sebenar sesuatu masalah itu.


Kita lebih selamat dengan menyalahkan pihak lain tetapi sebenarnya itu tidak membantu untuk memperbaiki diri sendiri.


Jangan pula menjadi seperti bangau dalam lagu 'Bangau Oh Bangau', meletakkan kesalahan pada si ikan yang tidak timbul apabila dirinya kurus, begitu juga si ikan yang meletakkan kesalahan pada pihak lain pula dan begitulah seterusnya, seolah-olah masing-masing tidak pernah buat salah, yang tahu hanya menyalahkan orang lain. Jelas, apabila seseorang itu sedar dirinya bermasalah atau masalah itu berpunca daripada kelemahan dirinya sendiri, dia akan berusaha keras untuk memperbaiki kelemahannya. Jika dia masih berbangga dengan keupayaannya mencari alasan, masalah tidak akan selesai. Allah juga ada mengingatkan hambanya bahawa sesuatu perkara itu tidak akan berubah sekiranya manusia itu sendiri tidak mahu berusaha mengubah dirinya. (Maksud surah Ar-Ra'd ayat 11). Berusahalah mengatasi kelemahan diri dengan cara positif. Jangan salahkan orang lain sebelum mencari kelemahan sendiri.


Orang lain mungkin bersalah tapi itu bukan alasan untuk kita terus gagal. Jika kita terjatuh di jalanan kerana tersepak batu, wajarkah kita menyalahkan batu kerana ada di situ, cuba renungkan mengapa orang lain yang melalui jalan itu tidak jatuh? Mengapa hanya kita? Mungkin kerana kita kurang berhati-hati atau terlebih cuai. Jadi, sewajarnya kita tidak mencari alasan untuk gagal atau mencari alasan apabila sudah gagal kerana setiap usaha keras dan keyakinan yang mantap terhadap diri sendiri akan membuahkan hasil setimpal. Masih belum terlambat untuk kita bermuhasabah diri atas setiap masalah dihadapi, mencari kelemahan dan kekurangan kita, agar dapat mencari titik permulaan untuk mengorak langkah ke arah kehidupan positif dan cemerlang.

Sayangi ibu, bapa, mentua sama rata

JIKA Allah menurunkan hidayah, segeralah bertaubat tetapi apa caranya jika orang tua sudah meninggal dunia sedangkan ketika hidupnya kita pernah menderhaka kepada mereka?

Maka ziarahilah pusara ibu bapa dan bacakan ayat suci untuknya. Jumpa kembali kawan baik ibu bapa atau jiran yang masih ada dan berbuat baik kepada mereka. Sedekahkan kepada masjid atas nama ibu bapa. Walaupun ibu bapa sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga mereka berdua reda dan Allah mengampunkan dosa. Allah Maha Pengampun dan luas rahmat-Nya tetapi jangan pula mengambil kesempatan untuk berbuat jahat, kemudian baru hendak bertaubat. Hidup tidak tenteram atau bala akan diterima. Cuba kita perhatikan kemalangan yang berlaku setiap hari. Contohnya, tayar kereta pecah, jangan lihat dengan mata kasar, tetapi cuba selidiki kesalahan yang kita lakukan hari ini. Pertama, bagaimana hubungan kita dengan Allah? Jika semuanya baik, turun ke peringkat kedua, bagaimana pula hubungan kita dengan ibu bapa? Pastikan hubungan kita dengan ibu bapa sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi menjalin hubungan baik kerana hayat mereka bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita. Lazimnya dalam hubungan ini, ibu yang dilebihkan sedangkan bapa menjeruk perasaan kerana tidak dipedulikan anak. Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, Rasulullah meminta ibu didahulukan. Tiga kali ibu memanggil, barulah sekali kepada bapa. Bagaimanapun, sebaik-baiknya kasih sayang dan perhatian biar sama agar kedua-duanya tidak berkecil hati. Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan di depan mereka. Sebenarnya, golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak mengambil kira kata-kata mereka, kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua. Mentua juga mesti dimuliakan seperti kita menghormati orang tua sendiri. Jika mereka berkecil hati, samalah seperti tersinggung hati ibu bapa kita. Kita sayang anaknya, jadi mengapa tidak turut menyayangi orang yang melahirkannya? Saya tahu, ada menantu berkecil hati dan memendam rasa terhadap mentua yang terlalu mengambil berat terhadap anaknya. Bersabarlah dan jalin hubungan baik kerana taraf mereka sama seperti ibu bapa kandung. Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah, kedua kepada Rasul dan ketiga kepada ibu dan ibu mentua manakala keempat bapa dan bapa mentua. Kelima barulah isteri. Jadi, isteri kena faham jika suami sayang dan melebihkan ibu bapa kerana itu memang wajar. Sebaliknya, anak perempuan, yang pertama Allah, kedua Rasul dan ketiga suami. Jalan pintas ke syurga bagi anak selain Allah adalah ibu bapanya. Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu. Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail. Suatu hari Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di rumah. Isterinya pun tidak mengenali mentuanya. Menantunya berkasar, menyebabkan Nabi Ibrahim berkecil hati tetapi sebelum pulang, Nabi Ibrahim berpesan kepada menantunya itu, meminta suaminya menukar alang rumah kepada yang baru. Apabila Nabi Ismail pulang ke rumah, isterinya menggambarkan rupa lelaki berkenaan yang menyampaikan pesanan. Nabi Ismail sedar, itu adalah bapanya. Nabi Ismail insaf di sebalik simbolik kata-kata bapanya bahawa isterinya bukan daripada kalangan wanita yang berakhlak, lalu diceraikan. Kemudian Nabi Ismail berkahwin kali kedua dan bapanya masih tidak mengenali menantu. Sekali lagi Nabi Ibrahim melawat dan menantunya melayan dengan bersopan santun walaupun tidak kenal siapa baginda. Nabi Ibrahim tertarik dan sebelum pulang, baginda berpesan lagi, dengan mengatakan alang rumah anaknya sudah cukup baik dan jangan ditukar kepada yang lain.

Wednesday, October 6, 2010

Abdul Rahman mengagumi dua budak Ansar

ABDUL Rahman bin Auf adalah seorang sahabat Nabi Muhammad yang berbangsa Quraisy. Nama sebenar beliau ialah Abdul rahman bin Auf bin al-Haris bin Zahrah. Beliau tergolong dalam golongan yang awal memeluk agama Islam.

Beliau tidak terkecuali daripada menyertai Perang Badar dan siri peperangan yang lain. Beliau juga dalah salah seorang daripada 10 10 orang yang dijamin masuk syurga. Beliau meninggal dunia pada tahun 32 Hijrah bersamaan 652 Masihi. Jenazah beliau dikebumikan di tanah perkuburan Baqi'.

Semasa Perang Badar, Abdul Rahman bin Auf bertempur dengan tentera musuh. Dalam kesibukan melawan musuh, dua orang budak Ansar datang kepadanya. Mereka ialah Muaz bin Amar bin Jamuh dan Muaz bin Afra.

Salah seorang budak Ansar itu memegang tangannya. Dia bertanya kepada Abdul Rahman, "Adakah pakcik kenal Abu Jahal?"

Kemudian Abdul Rahman menjawab, "Pakcik kenal Abu Jahal. Mengapa anak bertanya mengenai Abu Jahal kepada pakcik?"

Budak Ansar itu berkata lagi, "Abu Jahal adalah orang yang mencari dan mengeji Nabi Muhammad. Dia adalah musuh kita yang utama. Sekiranya saya dapat menangkap Abu Jahal, saya tidak mahu melepaskannya. Saya akan bunuh dia biarpun nyawa saya terancam!"

Seorang lagi budak Ansar yang berada di sebelah rakannya juga ebrsetuju dengan kata-kata kawannya itu.

Abdul Rahman bin Auf terkejut melihat semangat dua orang budak Ansar itu.

Semasa Abdul Rahman dan dua orang budak Ansar itu ebrbual-bual, tiba-tiba Abdul Rahman terlihat Abu Jahal menunggang kudanya dalam keadaan mundar-mandir. Abu Jahal yang angkuh cuba melawan tentera Islam.

Kemudian Abdul Rahman menjerit memberitahu kepada dua orang budak Ansar tadi, "Itu Abu Jahal."

Keduadua orang budak Ansar itu berlari ke tempat Abu Jahal. Di tangan mereka terdapat pedang yang tajam. Pedang itu adalah bagi membunuh Abu Jahal.

Salah seorang daripada budak Ansar itu memotong kaki kuda Abu Jahal. Sementara seorang lagi menyerang Abu Jahal. Abu Jahal terjatuh daripada kudanya.

Abu Jahal masih belum mati. Pada masa itu Ikramah, tentera musuh turut berada di sana mengawal Abu Jahal.

Apabila Ikramah melihat Abu Jahal diapa-apakan oleh dua budak Ansar itu, Ikramah menyerang balas, lalu memotong tangan Muaz bin Amar bin Jamuh. Muaz cuba melawan dalam keadaan tangannya yang berlumuran darah.

Namun, beliau tidak berjaya kerana pergerakan badannya terbatas. Kemudian Muaz bin Afra cuba melawan Abu Jahal menggunakan pedangnya.

Melihat keadaan itu, Abdullah bin Mas'ud datang menyerang menggunakan pedangnya yang tajam. Abdullah bin Mas'ud menyerang Abu Jahal sehingga kepala Abu Jahal terputus daripada badannya. Abu Jahal tewas dan akhirnya mati terbunuh.

Kesungguhan dua orang budak Ansar itu membuatkan Abdul Rahman bin Auf berasa terharu. Berkat usaha, kerjasama dan cita-cita yang tinggi bagi mengalahkan lawannya itu akhirnya tercapai. Semangat mereka yang tinggi bagi menegakkan agama terbukti usia bukan penghalang walaupun mereka masih kecil.

Kisah Abdullah Salam

BUKU Sirah Nabawiyyah juga ada menceritakan sikap Yahudi yang tidak mungkin akan menerima perubahan sekalipun ada kalangan daripada mereka yang berpengaruh besar akhirnya memeluk Islam.

Ini apabila kita mengikuti kisah Abdullah bin Salam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al Bukhari. Abdullah adalah seorang pendeta Yahudi yang paling alim dan berpengaruh besar di kalangan penduduk Yahudi di Yathrib.

Apa yang beliau lakukan dan apa sahaja yang keluar daripada mulutnya akan diikuti dan didengar oleh para pengikut Yahudi yang lain.

Apabila Abdullah sendiri mendengar mengenai kehadiran Nabi Muhammad SAW ke Yathrib di kampung Bani An Najjar di Madinah, beliau tergesa-gesa hendak menemui baginda.

Apabila Abdullah dapat bertemu dengan Nabi Muhammad, beliau pun mengajukan pelbagai persoalan mengenai soal kenabian sebagaimana yang Abdullah ketahui sebagai pendita Yahudi.

Ini kerana tidak semua orang mengetahui perkara tersebut kecuali golongan yang tertentu sahaja.

Lalu dijawab oleh baginda akan segala persoalan yang dikemukakan oleh Abdullah sehingga si Yahudi ini begitu berpuas hati kerana ia menepati sebagaimana yang beliau ketahui selama ini dan dapat menyaksikan sendiri tanda yang terdapat pada tubuh baginda yang disebut sebagai khatamun nubuwwah, pengakhir zaman kenabian.

Tanpa banyak bicara, Abdullah pun memeluk Islam tanpa sebarang ragu-ragu lagi di hadapan baginda kerana beliau meyakini bahawa bagindalah nabi akhir zaman yang disebut-sebutkan dalam kitab Taurat.

Selepas mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan baginda, Abdullah pun berkata: "Sesungguhnya kaum Yahudi adalah kaum yang suka mengada-adakan cerita. Kalaulah mereka tahu keislamanku sebelum kamu tanyakan mereka sudah tentu mereka kan menuduh yang bukan-bukan mengenai diriku kepada kamu."

Lalu baginda pun mengutuskan wakil untuk menjemput kalangan para pemimpin dan pengikut kaum Yahudi supaya hadir menemui baginda.

Apabila mereka hadir dan berkumpul di hadapan baginda Rasulullah, pemimpin mereka Abdullah Salam pun masuk ke belakang, menyembunyikan diri.

Baginda pun menyampai seruan dakwah terhadap kaum Yahudi di hadapan baginda itu dengan meminta mereka mengakui keesaan Allah dan diri baginda sebagai pesuruh-NYA.

Namun usaha baginda itu, tidak mendapat sambutan sehinggalah baginda kemudiannya bertanya kepada mereka; "Baiklah kamu tidak dapat menerima seruan dakwah saya, tetapi siapakah lelaki di kalangan kamu yang bernama Abdullah bin Salam?"

Mereka pun menjawab; "Dia adalah pemimpin kami yang paling kami hormati, kerana dialah yang paling alim dan paling kuat beramal di kalangan kami. Dia juga yang terbaik."

Dengan lain perkataan Abdullah Salam sering dipandang tinggi dan mulia di kalangan para pengikutnya dan pastinya apa pun perubahan yang berlaku pada Abdullah pasti akan diterima dengan baik.

Lalu baginda berkata lagi; "Apa pandangan kamu jika aku katakan bahawa pemimpin kamu itu, Abdullah bin Salam telah memeluk Islam?"

Lalu mereka menjawab berulang kali sambil bersorak: "Kami berlindung kepada Allah dari yang demikian!" Kami berlindung kepada Allah dari yang demikian! Kami berlindung kepada Allah dari yang demikian!"

Mendengarkan itu, lalu Abdullah pun keluar daripada persembunyiannya lalu berkata di hadapan para pengikutnya itu: "Aku bersaksikan bahawa tiada tuhan selain Allah dan aku juga bersaksikan bahawa Muhammad ini adalah pesuruh Allah!"

Lantas mereka pun menjawab dengan nada yang sungguh marah dan tidak puas hati: "Oh tidak! Abdullah adalah orang yang paling jahat di kalangan kami dan dia juga sebenarnya adalah anak orang yang paling jahat!"

Mereka pun terus menuduh yang bukan-bukan terhadap Abdullah namun Abdullah berkata: "Hai sekalian kaum Yahudi, bertakwalah kamu terhadap Allah. Demi Allah yang tiada tuhan selain-Nya dan kamu benar-benar tahu bahawa Muhammad ini adalah Rasulullah yang datangnya untuk membawa kebenaran kepada kita semua,"

Lalu mereka pun menjawab: "Kamu pembohong besar!"

Terbukti tidak sampai beberapa minit mereka terus berubah apabila berhadapan dengan perkara yang mengancam kepentingan mereka. Pemimpin yang mereka sanjung selama ini pun terus tidak lagi mendapat tempat di hati mereka apabila sudah tidak sealiran lagi, apatah lagi terus memeluk Islam.

Friday, September 24, 2010

Sunnah dan kesilapan di hari Jumaat

Hari Jumaat, Hari Mulia
Sabda Nabi SAW: “Hari terbaik yang memancarkan sinar mataharinya ialah hari Jumaat. Padanya diciptakan Adam AS, padanya dimasukkan dia ke dalam syurga dan padanya dikeluarkan dia darinya. Dan tidak akan berlaku hari Kiamat kecuali pada hari Jumaat.” (Sahih Muslim: 854 )

Sunnah-sunnah di hari Jumaat

1)-Mandi dan berwangi-wangian (lelaki sahaja). Rasulullah SAW berkata: “Mandi pada hari Jumaat itu wajib bagi setiap orang yang sudah baligh. Hendaklah dia menggosok gigi dan memakai wangian jika mempunyainya.” (Sahih, al-Bukhari:880, Muslim:846)

2)-Membanyakkan selawat kepada Rasulullah SAW. Kata Nabi SAW: “Sesungguhnya sebaik-baik hari ialah hari Jumaat, maka perbanyakkanlah selawat keatas ku pada hari tersebut. Sesungguhnya selawat kalian akan diperlihatkan kepadaku.” (Sahih, Abu Daud:1047, disahihkan oleh al-Arnaouth)

3)-Membanyakkan berdoa terutama diakhir waktu asar. “Pada hari Jumaat terdapat dua belas jam, pada waktu itu tidaklah seorang hamba Muslim memohon sesuatu kepada Allah melainkan Dia akan mengabulkannya. Oleh itu, carilah ia diakhir waktu setelas asar.” (Sahih, Abu Daud: 1048, di sahihkan oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, an-Nawawi dan al-Albani)

4)-Membaca surah al-Kahfi. Rasulullah SAW berkata: “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.” (Sahih, al-Hakim:3392, disahihkan oleh al-Albani)

5)-Berjalan kaki dan bersegera ke masjid. Kata Nabi SAW: “Sesiapa yang memandikan atau mandi pada hari Jumaat, kemudian bersegera dengan berjalan kaki, tidak menaiki kenderaan, dan mendatangi imam lalu mendengar (khutbah) dan tidak bermain-main, maka adalah baginya setiap langkah (bersamaan) amalan puasa dan solat selama setahun.” (Sahih:Sunan Abi Daud: 345, al-Albani mensahihkannya)

Kesilapan-Kesilapan di hari Jumaat.
1)-Datang lewat ke masjid. Kata Rasulullah SAW: “Pada hari Jumaat para malaikat duduk di pintu-pintu masjid, bersama mereka lembaran-lembaran catatan. Mereka mencatat (orang-orang yang datang shalat), apabila imam telah keluar (untuk memberi khutbah), maka lembaran-lembaran itu ditutup.” (Hasan, Ahmad:21756, dinilai Hasan oleh al-Albani)

2)-Membaca al-Quran atau memasang rakaman bacaan al-Quran dengan kuat. Kata Nabi SAW: “Ketahuilah sesungguhnya kalian semua bermunajat kepada Tuhan. Oleh itu, janganlah sebahagian kalian mengganggu sebahagian yang lainnya, dan janganlah sebahagian mengangkat suara atas yang lainnya dalam membaca al-Quran”, atau baginda berkata “di dalam solat.” (Sahih, Abu Daud:1332, disahihkah oleh Ibn Abdil Barr dan al-Albani)

3)-Tidak memenuhkan saf hadapan. Kata Nabi SAW: “Jika kalian atau mereka mengetahui apa yang terdapat dihadapan saf paling hadapan, nescaya akan dilakukan undian. [bagi mendapatkan saf hadapan]” (Sahih, Muslim:439)

4)-Bermain tasbih, bersiwak dan lain-lain ketika mendengar khutbah. “Barangsiapa memegang batu kerikil [ketika khutbah], maka dia telah berbuat hal yang sia-sia.” (Sahih, Muslim:857)

5)-Tidak melakukan solat tahiyatul masjid apabila tiba ketika imam berkhutbah. Kata Nabi SAW: “ Jika salah seorang daripada kalian tiba (di masjid) pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah, maka solatlah dua rakaat dan ringkaskanlah solat tersebut.” (Sahih, Muslim:875)

6)-Masih melakukan urusan keduniaan apabila azan telah berkumandang. Firman Allah: “Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui ” (Surah al-Jumuah:9)

7)-Bercakap ketika khutbah. Rasulullah SAW berkata: “Jika engkau berkata kepada teman engkau “Diam” pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah, maka engkau telah membuat sesuatu yang sia-sia.” (Sahih,al-Bukhari:934, Muslim:851)

8)- Bersandar ke dinding dan tidak menghadap khatib. Kata Ibn Mas’ud r.a: “Jika Rasulullah SAW sudah berdiri tegak di atas mimbar, maka kami menghadapkan wajah kami ke arah beliau.” (Hasan, at-Tirmizi:509, disahihkan oleh al-Albani)

Saturday, September 18, 2010

Adab ketika ziarah lambang ketinggian tamadun, peribadi

ANTARA amalan terpuji yang menjadi budaya umat Islam di negara ini ketika Aidilfitri ialah ziarah atau kunjung mengunjung antara satu sama lain. Amalan ini memberi manfaat besar dalam konteks persaudaraan dan perpaduan ummah.


Amalan ziarah membolehkan yang jauh menjadi dekat, renggang menjadi rapat, bersengketa menjadi damai dan susah menjadi mudah. Maka dengan amalan ziarah akan terbentuklah ikatan kasih sayang yang mengeratkan sesama insan.

Asal keturunan manusia berpunca daripada ibu bapa yang sama iaitu Nabi Adam AS dan Hawa. Sebab itulah Islam mengajak manusia saling mengenali, menghormati, bekerjasama dan memahami sesama insan.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, oleh itu, damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujuraat, ayat 10)

Islam mempunyai sistem cara hidup yang sempurna merangkumi bidang politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Oleh itu, ketika mengadakan ziarah, bertamu dan makan pun mempunyai adab tertentu melambangkan tamadun, keperibadian dan tama’ninah seseorang.

Berdasarkan al-Quran dan amalan Rasulullah SAW, antara peraturan serta adab perlu diberi perhatian ketika berziarah dan bertamu ialah berniat baik di atas kunjungannya, jangan dibezakan antara orang kaya atau miskin, terimalah undangan untuk menggembirakan pihak yang mengundang serta mengelak daripada terbabit aktiviti syubhat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah engkau makan melainkan makanan orang yang bertakwa dan jangan pula makan makananmu itu melainkan yang membawa kepada takwa.” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
Semasa berkunjung, hendaklah memilih waktu yang sesuai dan cuba elakkan berkunjung pada awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaan waktu itu tuan rumah ingin beristirahat atau membuat persiapan keperluan keluarga.

Selaku tetamu, sangat digalakkan supaya berjabat tangan dengan tuan rumah seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak ada dua orang Muslim yang bertemu, lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah SWT sebelum berpisah.”

Walaubagaimanapun, amalan berjabat tangan mestilah dilakukan mengikut lunas Islam. Sebagai tetamu juga, tidak sepatutnya bebas melakukan apa saja di rumah orang lain kerana perbuatan itu akan mengganggu dan tidak disenangi tuan rumah.

Manakala bagi pihak tuan rumah, Islam turut menggariskan beberapa adab yang perlu dipelihara serta dihayati antaranya menghormati dan memuliakan tetamunya. Pada masa sama, tuan rumah juga disarankan menghidangkan jamuan yang terbaik mengikut kadar kemampuan.

Janganlah ada maksud untuk berbangga-bangga tetapi tujuannya adalah merapatkan seluruh kawan serta memberikan kegembiraan dalam jiwa tetamu. Memuliakan dan melayan tetamu dengan baik adalah amalan para nabi dan rasul terdahulu.

Satu lagi adab penting yang ada kaitan dengan ziarah ialah menjaga adab makan-minum seperti memulakan makan dengan membaca Bismillah, mengakhiri dengan Alhamdulillah serta menghindari diri daripada kenyang yang melampau batas.

Justeru, dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, ahli keluarga jangan lupa mendidik anak memelihara adab ketika berziarah.

Sebagai peringatan, renungkanlah firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi, kecuali kamu diizin untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah; kemudian setelah kamu makan maka hendaklah kamu bersurai dan janganlah dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu mengganggu Nabi sehingga ia merasa malu kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran.” (Surah al-Ahzab, ayat 53)

Muadz bin Jabal cendekiawan Muslimin

MUADZ bin Jabal termasuk dalam golongan pertama yang masuk Islam. Beliau merupakan seorang pemuda yang mempunyai wajah yang berseri-seri, berperwatakan yang menarik, bergigi putih bersih dan menarik perhatian apabila melihatnya serta ketenangan jelas terpancar di wajahnya.

Semasa Rasulullah mengambil bai'at dengan orang-orang Ansar pada Perjanjian Aqabah kedua, Muadz termasuk dalam ahli rombongan tersebut. Walaupun pada ketika itu usianya masih muda, namun kebijaksanaannya telah diakui dan amat menonjol terutama dalam bidang fikah. Rasulullah SAW sendiri juga pernah memuji kepintaran Muadz dan beliau juga mendapat pujian daripada para sahabat.

Ketika usianya masih muda lagi, Muadz telah dilantik sebagai pemimpin agama bagi masyarakat Yaman. Namun begitu, sebelum beliau dihantar ke sana, Rasulullah telah menguji kepintarannya. "Apa yang menjadi pedomanmu dalam mengadili sesuatu, wahai Muadz?" tanya Rasulullah. "Kitabullah," ujar Muadz.

"Jika tidak kamu temui dalam kitabullah?" Tanya Rasulullah lagi.

"Saya putuskan dengan sunnah Rasul," ujar Muadz. "Jika tidak kamu temui dalam sunnah Rasulullah?"

"Saya pergunakan fikiranku untuk berijtihad dan saya takkan berlaku sia-sia."

Maka berseri-serilah wajah Rasulullah dan baginda bersabda: "Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufik kepada utusan Rasulullah."

Rasulullah SAW amat berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Muadz. Sebab itulah Rasulullah tidak ragu-ragu untuk menghantar Muadz ke Yaman walaupun jauh daripadanya. Kecerdasan akal dan kebijaksanaannya amat meyakinkan hati baginda untuk memberi tunjuk ajar kepada penduduk Yaman.

Muadz bukanlah seorang yang banyak cakap. Beliau seorang yang pendiam dan gemar memerhati sahaja. Beliau hanya akan bercakap apabila diminta oleh hadirin.

Muadz akan menjadi sumber rujukan apabila sahabat menemui jalan buntu mengenai suatu hukum. Pengetahuan yang tinggi inilah menyebabkan beliau mendapat penghormatan daripada kaum muslimin sama ada ketika Rasulullah masih hidup mahupun selepas ketaatan baginda.

Muadz merupakan seorang sahabat yang pemurah. Ketika berada di Yaman, beliau menjadi seorang yang kaya raya. Pernah suatu ketika Saidina Umar meminta sebahagian daripada hartanya untuk didermakan ke jalan Allah. Pada mulanya beliau enggan kerana itu adalah hartanya sendiri yang diperolehi secara sah. Selepas itu Umar datang lagi ke rumahnya. Melihat Umar, Muadz pun meluru dan memeluk Umar sambil menangis.

Katanya: "Semalam aku bermimpi masuk kolam yang airnya sangat dalam dan aku hampir-hampir lemas. Nasib baiklah kamu datang untuk menyelamatkan aku." Selepas kejadian itu, Muadz kemudiannya memberi sebahagian hartanya untuk jalan Allah.

Muadz meninggal dunia pada usia 33 tahun. Hingga di saat kematiannya pun dia masih bermunajat kepada Allah."Ya Allah, sesungguhnya selama ini aku takut kepada-Mu tetapi hari ini aku mengharapkan-Mu…Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa aku tidaklah mencintai dunia demi untuk mengalirkan air sungai atau menanam kayu-kayan, tetapi hanyalah untuk menutup haus di kala panas dan menghadapi saat-saat yang gawat serta untuk menambah ilmu pengetahuan, keimanan dan ketaatan…"