Friday, April 30, 2010
Silaturahim terputus akibat dibelenggu sifat mazmumah
Hari ini pertelingkahan dan perbalahan menjadi adat dan norma kehidupan lantaran manusia mula mengetepikan rasa kasih dan sayang sesama insan. Mengejar impian fana, menggadai untung nyata, mempertaruhkan janji luar biasa lalu semangat persaudaraan digadai sebegitu saja adalah sikap yang tidak terjaga sedangkan Islam tidak hanya menganjurkan hubungan baik dengan Allah SWT semata-mata, tetapi juga sesama manusia dan makhluk Allah yang lain.
Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imran, ayat 112 yang bermaksud: “Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka kufur dengan ayat-ayat Allah dan sesudah para nabi tanpa alasan yang benar, yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas”.
Islam menjamin asas persaudaraan dengan menyediakan hikmah pembinaan silaturahim bukan saja melalui hubungan kekeluargaan yang bermula dengan ikatan perkahwinan dan keturunan malah juga kasih sayang antara sesama saudara seagama kerana ia memudahkan urusan dunia menuju ke akhirnya.
Asas persaudaraan dalam Islam adalah ikatan akidah yang teguh kepada keesaan-Nya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 10 maksudnya:
“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, oleh itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat”.
Justeru, ada hak yang perlu dipelihara oleh seseorang Muslim terhadap saudara seagama menunjukkan betapa Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna. Bahkan hak yang sama dikanunkan oleh manusia untuk dijadikan peraturan dan perundangan agar tiada sesiapa yang teraniaya.
Malah Barat juga turut mendakwa bahawa hak asasi manusia adalah sesuatu yang terbina daripada norma kehidupan sejak azali yang bermula melalui hubungan sosial secara tidak terancang. Kita dapat membayangkan betapa kalutnya dunia jika hak sebagai manusia tidak terbela, apatah lagi dunia hari ini tidak bersempadan, menjadikan fitnah dan buruk sangka mudah tersebar oleh sesiapa yang mengejar untung dunia.
Sebaliknya, Islam menitipkan hikmah persaudaraan agar tiada siapa dizalimi kerana kita semua adalah makhluk dan hamba yang tiada keistimewaan di sisi Dia melainkan yang bertakwa saja. Ancaman demi ancaman ke atas umat Islam yang semakin melampaui batas kesabaran sebenarnya patut ditepis dengan menonjolkan kekuatan persaudaraan sesama kita supaya kuantiti dan kualiti yang ada menjadi nilai tambah terhadap keperkasaan agama Islam itu sendiri, bukannya dilemahkan dengan perbezaan yang tidak membawa kebaikan dan lencongan yang sengaja dicari kerana ego sendiri.
Sifat mazmumah yang membelenggu diri seperti hasad dengki, buruk sangka, balas dendam, takbur dan riak, bongkak dan tidak reda dengan qada dan qadar Allah adalah punca putusnya silaturahim sesama Muslim sehingga menghalang musyawarah ke arah penyelesaian sedangkan itulah yang dianjurkan oleh al-Quran dan as Sunnah.
Bahkan umat Islam jauh terkebelakang berbanding bangsa lain yang mengejar peluang, bukan menjatuhkan sesama sendiri sehingga akhirnya tiada siapa yang menang malah diperolok dan dihina secara terang-terangan. Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: ‘Jauhilah kamu akan sifat dengki kerana sifat dengki akan memakan kebaikan kamu sepertimana api memakan kayu, atau memakan rumput’. – (Hadis riwayat Abu Daud)
Wednesday, April 28, 2010
Ganjaran solat sepertiga malam
SESEORANG dapat mendekatkan dirinya dengan Allah SWT menerusi solat. Antara solat sunat yang amat digalakkan ialah yang dilakukan pada sepertiga malam.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Israa, ayat 79: “Dan bangunlah sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” Dalam ayat itu Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW melaksanakan solat malam atau qiamullail, namun ramai antara kita memandang remeh perintah berkenaan.
Meskipun sifatnya ini khusus untuk Rasulullah SAW, ia adalah amalan sunat buat umatnya memandangkan kita dianjurkan mencontohi keperibadian baginda.
Maksud qiamullail ialah mendirikan (qiam) malam (lail) atau bahasa mudah, menghidupkan malam dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Selain itu ada juga beberapa solat malam seperti sunat istikharah, tahajud, taubat, tasbih dan sebagainya.
Selain melakukan solat sunat, kita digalakkan membaca al-Quran, berdoa, berzikir dan beristighfar untuk memohon keampunan daripada Allah SWT.
Membaca al-Quran juga adalah ibadat yang diberi ganjaran sangat besar kerana setiap huruf yang dibaca akan digandakan 10 kebajikan.
Sabda Rasulullah SAW: “Bacalah olehmu al-Quran kerana pada hari akhirat ia akan memberikan syafaat kepada pengamalnya.” (hadis Riwayat Muslim) Antara surah yang baik untuk dibaca ialah surah Yaasin kerana ia ibarat jantung al-Quran, al-Ala (surah yang sangat digemari Rasulullah SAW), al-Fatihah (pokok atau ibu al-Quran), al-Kahfi (tempat naungan pada hari akhirat), as-Sajadah (digemari Rasulullah SAW), al-Mulk (memberi syafaat di akhirat), an-Nas dan al-Falaq (memberi perlindungan pada hari akhirat).
Ada beberapa ayat dalam al-Quran mengesahkan betapa besar keutamaan solat malam itu. Allah SWT menjelaskan, mereka yang menjaga solat malam itulah sebenarnya yang berhak dan layak menerima kebaikan sebagaimana firman-Nya: “Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk bersembahyang) pada malam hari kecuali sedikit (daripadanya), (iaitu) seperduanya atau kurangilah daripada seperdua itu sedikit, atau lebih daripada seperdua itu sedikit. Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan.” (surah al-Muzzammil: 1-4) Saidatina Aisyah RA ada meriwayatkan: “Bahawa Rasulullah SAW bangun sebahagian daripada malam bersembahyang hingga bengkak kedua-dua kakinya, maka aku (Aisyah) berkata kepada baginda: “Mengapa Rasulullah lakukan itu semua, bukankah dosa tuan diampunkan oleh Allah SWT sama ada yang terdahulu atau yang terkemudian.” Baginda menjawab: “Salahkah aku menjadi hamba-Nya yang bersyukur.”
Suami bertanggungjawab boleh bentuk isteri, anak soleh
Firman Allah yang bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh daripada isteri serta zuriat keturunan kami, perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai imam bagi orang yang bertakwa.” (Surah al-Furqan, ayat 74)
Orang yang benar-benar berjaya adalah mereka yang membawa orang lain untuk berjaya bersamanya.
Suami seperti imam bertanggungjawab untuk memimpin keluarga ke mercu kejayaan. Kejayaan suami hanya akan terbukti apabila dia dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.
Suami yang bertanggungjawab terhadap isteri dan anak hingga menjadi isteri serta anak yang baik dan beriman, wajib ditaati hatta boleh sampai ke tahap disembah seperti disebutkan dalam hadis.
Namun hari ini mungkin hanya sedikit dalam kalangan lelaki bergelar suami yang layak dikategorikan sebagai imam kerana banyak pengabaian tanggungjawab dilakukan oleh mereka. Tidak dinafikan banyak kes kaki suami yang hinggap di pundak isteri mahupun anak tanpa perasaan belas kasihan.
Selalu benar seorang suami itu cenderung mencari kesalahan isterinya sedangkan hak isteri tidak dipenuhi.
Isteri solehah dan taatkan suami hanya akan terhasil jika suami juga seorang yang soleh dan bertanggungjawab. Mana mungkin suami mengharapkan ‘penyejuk mata’ melalui isteri dan anak tanpa terlebih dulu mereka berikhtiar mendidik isteri dan anak dengan cara yang betul.
Inilah punca terjadinya suami mahupun isteri berlaku curang. Sesungguhnya di sinilah letaknya soal kepemimpinan melalui teladan, mengajar melalui tingkah laku dan bukan dengan konsep ‘ketam berjalan’ yang menjadi amalan kebanyakan kita.
Cakap serupa bikin antara kunci kejayaan suami yang menjadi imam kepada makmum iaitu isteri serta anak dalam sebuah rumah tangga yang bertakwa.
Sunday, April 25, 2010
Ingat Allah hiburan golongan beriman
MANUSIA sukakan hiburan. Malah, ada ketikanya hiburan menjadi suatu keperluan bagi sesetengah orang seperti makanan dan minuman.
Alasannya, hiburan boleh mendatangkan ketenangan, mengurangkan tekanan dan menyegarkan emosi.
Benar, ketegangan dan kegersangan emosi boleh menyebabkan seseorang itu jadi pemarah, perengus, tertekan dan resah.
Menyuburkan emosi memang penting kerana dari situ akan timbul sikap kasih sayang, prihatin dan peka pada persekitaran sekeliling.
Tetapi apabila disebut hiburan bukanlah semata-mata yang mungkin difahami anak remaja kini iaitu nyanyian, konsert, pesta, karaoke, kelab malam atau berpeleseran saja. Malah, melihat keindahan alam, melancong, ekspedisi dan berkelah juga hiburan.
Ada tiga kategori hiburan: i- Bagi seorang mukmin ialah iman, amal ibadat, wirid dan zikir atau apa saja perbuatan yang membawa pahala daripada Allah adalah hiburan.
Ini kerana hasil daripada itu adalah ketenangan dan ketenteraman. Jiwa yang sentiasa hidup dan segar. Emosi pula terkawal.
Perkara inilah yang dimaksudkan Allah dalam al-Quran iaitu firman-Nya bermaksud: "Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati jadi tenang."
ii- Hiburan kategori kedua iaitu apa saja cara yang dapat menghilangkan keresahan dan kerunsingan yang tidak bertentangan dengan syariat serta akidah.
Malah, jika dihayati hiburan jenis ini dapat dijadikan cara untuk mendekatkan diri pada Allah. Umpamanya, jika berkelah atau berekspedisi di samping dapat menghilangkan bosan dapat juga merasai kehebatan ciptaan Allah, meresap di jiwa lalu timbul rasa gerun kepada-Nya.
Tetapi hakikatnya, ramai yang tidak menyedari hikmah di sebalik berhibur. Jadi, hiburan hanya sekadar hiburan, terhenti setakat itu saja.
Namun, hiburan kategori ini selagi tidak bercanggah dan tidak memberi kesan negatif, ia ibarat ubat mengurangkan kesakitan yang dapat menghilangkan keresahan buat seketika, tetapi tidak dapat menghapuskan punca keresahan itu.
iii- Hiburan kategori ketiga paling popular terutama muda-mudi. Konsert artis, nyanyian yang lalai, pesta, kelab malam dan berpasangan adalah menjadi hambatan hidup remaja kini.
Hiburan ini bukan saja tidak bersifat menyembuhkan, malah umpama penagihan dadah. Memang seronok, ibarat gula-gula, manis dan sedap tetapi tidak mengenyangkan.
Keseronokan itu bukan bererti kebahagiaan atau ketenangan. Malah, beransur-ansur membawa akibat buruk dan negatif pada jangka masa panjang.
Hiburan kategori ini mendatangkan kesan buruk pada hati yang tidak dapat dikesan. Hati menjadi keras, gelap, lalu terdinding daripada mendapat kelazatan mengingati Allah, malah sukar untuk menerima kebenaran.
Justeru, orang yang mendapat hiburan hakiki (sebenar) umpama mendapat hidangan dan makanan lazat lagi enak, tidak perlu lagi pada gula-gula yang tidak berkhasiat.
Selalunya hanya kanak-kanak yang amat gemar pada gula-gula, manakala golongan dewasa tidak kerana mereka lebih mengutamakan makanan mengenyangkan.
Friday, April 23, 2010
Arak, judi ubah sifat manusia normal
AMAT malang sekali jika ada di antara Muslim yang mengakui dirinya biasa mengambil alkohol dalam minuman dan menganggapnya tidak ada apa-apa yang perlu diulas. Apalagi kalau ia menjadi amalan berterusan dalam kehidupan sehingga hilang fokus kepada dosa yang disebut oleh agama. Lebih hina lagi apabila minuman syaitan itu dianggap sebagai pelengkap kepada imej profesional dibawanya yang dirasai hebat dan gah, setanding dengan budaya barat yang dipujanya.
Harus dijelaskan bahawa arak adalah sejenis alkohol dalam bentuk ‘ethyl alcohol’. Ia biasanya dihasilkan oleh sel-sel ragi atau ‘yeast cells’ yang bertindak ke atas karbohidrat yang ada di dalam buah-buahan dan biji-bijian. Dalam pasaran, ada tiga jenis arak yang popular iaitu bir yang diperbuat daripada biji-bijian dan mengandungi tiga hingga enam peratus alkohol, wain yang diperbuat daripada buah-buahan dan mengandungi 11 hingga 14 peratus alkohol dan minuman keras yang dikenali sebagai liquor.
Liquor dihasilkan dengan memeram atau mendidihkan bahan makanan sehingga menjadi arak dan ia mengandungi 40-50 peratus alkohol.
Peminum arak dan kaki judi tidak pernah memikirkan mudarat pembaziran harta benda. Mereka sanggup membazirkan apa saja bentuk harta benda semata-mata untuk mendapat hiburan dan kesenangan jiwa melalui arak dan judi yang mereka anggap lambang status sosial yang mesti dibanggakan.
Mereka yang terperangkap dengan gejala penagihan arak ini akan hilang karektor sebagai Muslim sejati. Individu seperti ini sukar akur dan patuh kepada perintah agama. Bahkan mereka yang tegar sebagai peminum arak ini memiliki sifat angkuh dan sombong kerana beranggapan berada pada status lebih tinggi.
Mereka juga tidak bersedia menerima teguran kerana beranggapan dirinya hebat. Sahsiah dan keperibadian Islam semakin hilang. Cahaya keimanan juga makin malap dalam diri individu ini. Karektor mereka sebagai individu Muslim berubah seperti berubahnya alkohol daripada bentuk asal.
Golongan peminum tegar ini tidak berupaya memberi manfaat kepada manusia keseluruhannya. Sesungguhnya mereka yang ketagih arak akan hilang maruah diri dan tidak diyakini lagi berkaitan keupayaan peribadinya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa yang amat besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 219)
Ibnu Abbas menyebut bahawa Islam mengharamkan arak kerana ia boleh menjadikan manusia rosak akal dan hilang maruah diri. Seterusnya ayat yang berkaitan dengan pengharaman arak dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menghampiri solat sedang kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan (baca).” (Surah an-Nisa’, ayat 43)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa yang minum khamr (arak) seteguk, Allah tidak menerima amal fardu dan sunatnya selama tiga hari. Siapa yang minum khamr segelas, Allah SWT tidak menerima solatnya selama 40 hari. Orang yang tetap minum khamr selayaknya Allah memberinya minum dari Nahrul Khabaal? Ketika ditanya: Ya Rasulullah apakah Nahrul Khabal itu? Baginda Rasul menjawab: Darah bercampur nanah ahli neraka.” (Hadis Riwayat at-Thabrani)
Dari Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dalam persoalan arak ada 10 orang yang dikutuk kerananya iaitu pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan hasil wangnya, pembayarnya dan pemesannya.” (Riwayat Tirmizi)
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?”(Surah Al-Maa’idah, ayat 91)
Arak dan judi adalah paksi segala kejahatan. Kedua-duanya adalah perosak akal, badan, jiwa dan harta benda. Seseorang yang mabuk arak, akalnya tidak akan dapat berfungsi seperti biasa dan segala tindak-tanduknya berubah menjadi luar biasa. Segala perasaan malu dan rasa hormat akan hilang ketika itu.
Seorang ilmuwan Barat, Profesor AJ Arberry, pernah menjelaskan; “peminum arak menghadapi bahaya penyakit darah beku dan pembekuan air hempedu, malah mereka akan merepek seperti orang gila dan mudah sekali mendapat angin ahmar atau lumpuh. Selain itu, seorang yang mabuk arak juga akan hilang pertimbangan akal. Secara tidak sedar dia akan membuka rahsia keburukan dirinya sendiri kepada orang lain.”
Pelbagai bentuk bencana yang akan terhasil daripada minuman keras dan judi. Kedua-duanya lebih cenderung ke arah memporak perandakan kehidupan manusia dan makhluk ciptaan Allah yang lain.
Bertambah buruk lagi kesan negatif yang bakal diterima jika seseorang individu itu kaki arak dan judi pada masa sama. Disamping itu, arak dan judi juga boleh menimbulkan permusuhan sesama manusia serta merosakkan maruah mereka, lantaran itu Islam mengharamkan arak dan judi.
Islam memperingatkan manusia bahawa syaitan mempergunakan al-Maisir atau perjudian itu sebagai tempat untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara manusia, juga menjadi penghalang pelakunya daripada mengingati Allah dan menunaikan sembahyang.
Harus diingatkan dalam diri bahawa berjudi itu kerja maksiat. Wang yang diperoleh daripada judi adalah haram, tidak boleh digunakan apatah lagi jika digunakan untuk makan minum anak isteri.
Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa setiap suap yang dimakan daripada sumber yang haram itu, api neraka adalah lebih utama baginya. Daripada Kaab bin Ujrat menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka api neraka lebih utama untuk membakarnya.
Wednesday, April 21, 2010
Tazkirah: Menguap
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi s.w.a., bahwasanya baginda bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah Ta'ala suka orang yang bersin, dan membenci orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu bersin, lalu dia mengucapkan 'Alhamdulillaah', maka adalah hak atas setiap Muslim yang mendengarnya mengucapkan 'Yarhamukallaah!'. Adapun menguap itu adalah daripada syaitan. Maka apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia menahannya sekadar termampu. Sebab sesungguhnya apabila seseorang kamu menguap, syaitan akan mentertawakannya.Diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Said Al-Khudri r.a., katanya : Telah bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia meletakkan tangannya pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk (melalui mulut yang terbuka).
Diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad dan At-Termizi daripada nabi s.a.w., katanya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang bersin, dan membenci orang-orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu menguap, jangan sampai berbunyi haaa haaa, kerana yang demikian itu daripada syaitan yang mentertawakanmu.
6 PERKARA ALLAH SEMBUNYIKAN
1-Allah menyembunyikan keredhaan dalam ketaatan. Allah tidak menzahirkan penerimaan atas amalan-amalan ketaatanyang kita persembahkan kepadaNya suapaya kita tidak kecewa diatas amalan tersebut dengan hikmah agar kita terus melakukan amalan tersebut,walaupun terdapat sedikit kecacatan yang kita tidak ketahui.
2-Allah menyembunyikan Kemurkaan diatas kemaksiatan kita. Allah tidak menarik nikmat dan kemewahan daripada seseorang, walaupun nikmat yang Allah anugerahkan kepadanya digunakan untuk kemaksiatan kerana Allah masih bersifat rahmat didunia.sedangkan sebenarnya Allah Murka kepada kita.sepatutnya kita gunakan peluang ini untuk bertaubat kepada Allah SWT.
3-Allah menyembunyikan kedatangan malam Lailatul Qadar pada tarikh tertentu agar hambaNya tidak melakukan ibadat pada malam tersebut sahaja dan berpesta maksiat pada malam-malam yang lain.Oleh itu Allah menghendaki hambaNya melakukan ketaatan sepanjang ramadhan dan sepanjang hayatnya.
4-Allah menyembunyikan wali-wali Allah atau hambanya yang dikasihi supaya manusia tidak menghina atau menyembah wali-wali tersebut. Sesungguhnya wali Allah akan dibenci oleh mereka yang bertuhankan hawa nafsu kerana wali-wali Allah tidak pernah menaruh hati sedikit pun pada tawaran-tawaran mereka.
5-Allah menyembunyikan tarikh kematian hambaNya dengan hikmah agar hambaNya sentiasa berhati-hati dalam menjalani kehidupan dan tidak melakukan kemaksiatan kerana mati akan tiba pada bila-bila masa sahaja.
Jika Allah zahirkan tarikh dan tempat kematiannya pasti hamba-hambanya tidak dapat menjalani kehidupan ini dengan lebih sempurna, lihatlah banduan yang berada dibilik Akhir sebelum dihukum gantung, mereka telah hilang akal dan melakukan perkara-perkara diluar akal kita kerana akal mereka sudah tidak berfungsi lagi.
6-Allah menyembunyi solat kita yang terbaik disisiNya dengan hikmah supaya kita terus beribadat dan solat kepadaNya sepanjang hayat.Jika Allah zahirkan penerimaan solat kita pasti kita akan bernegapmegah sesama manusia dan akan lalai serta mengambil peluang untuk melakukan maksiat.
Begitulah luasnya rahsia disisi Allah Yang Maha Esa.
