Friday, December 24, 2010

Lupa diri sendiri jika lupakan Allah

MANUSIA sering lupa. Ia menjadi kelemahan manusia yang menyebabkan hilang fokus terhadap amalan dan pekerjaan yang mereka lakukan.

Lupa juga berlaku kerana isteri ramai, asyik memikirkan cara untuk mengelak daripada dimarahi dan strategi sebagai penyelamat daripada diserang.

Namun, punca lupa yang paling menakutkan ialah apabila banyak lupa kepada Allah. Dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud: "Janganlah kamu menjadi seperti orang yang melupai Allah, nanti Allah akan membuatkan kamu lupa diri kamu sendiri."

Lupa diri sendiri menurut ulama antara maksudnya ialah lupa pada hari akhirat. Ada yang lupa amalan dosa yang dilakukan hingga tidak terasa untuk bertaubat.

Selain itu, mereka lupa tanggungjawab sebagai suami, isteri dan anak, sehinggakan lupa fungsi hidup, lupa sebagai seorang pekerja, lupa tugas, lupa tanggungjawab dan amanah, lupa pada janji dan sebagainya.

Disebabkan terlalu banyak lupa, kita mesti selalu mengingati Allah dengan memberi peringatan serta melakukan analisis (muhasabah) terhadap diri sendiri.

Nasihat Imam al-Ghazali yang sangat mendalam, semoga ia menjadi bahan muhasabah kita. Suatu hari, Imam al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya.

Imam al-Ghazali bertanya (pertama): "Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?" Murid-muridnya ada yang memberikan jawapan orang tua, guru, teman dan kerabatnya.

Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar, tetapi yang paling dekat dengan kita adalah 'mati'. Sebab itu sudah janji Allah setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Lihat Surah Ali-Imran ayat 185).

Lalu Imam al-Ghazali meneruskan pertanyaan kedua: "Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?" Murid-muridnya ada yang menjawab China, bulan, matahari dan bintang.

Imam al-Ghazali menjelaskan semua jawapan yang mereka berikan adalah benar, tetapi yang paling benar adalah 'masa lalu.'

Walau bagaimana hebat sekalipun kita, kita tidak boleh kembali kepada masa lalu. Oleh itu, kita perlu menjaga hari ini dan hari akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama.

Lalu Imam al-Ghazali meneruskan dengan pertanyaan ketiga: "Apa yang paling besar di dunia ini?" Ada muridnya yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar, kata Imam al-Ghazali.

Tetapi, katanya, yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah 'nafsu' (sila rujuk Surah al-A'raaf ayat 179). Oleh itu, kita perlu berhati-hati dengan nafsu, jangan sampai nafsu menjerumuskan diri ke lembah neraka.

Pertanyaan keempat: "Apa yang paling berat di dunia ini?" Ada yang menjawab baja, besi dan tidak kurang yang mengatakan gajah.

Imam al-Ghazali berkata semua jawapan itu namun yang paling berat adalah 'memegang amanah.' (lihat Surah al-Ahzab ayat 72).

Tumbuhan, haiwan, gunung malah malaikat juga semuanya tidak mampu ketika Allah t meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini.

Bagaimanpun, manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah sehingga ramai manusia masuk ke neraka kerana tidak dapat memegang amanahnya.

Pertanyaan yang kelima: "Apa yang paling ringan di dunia ini?" Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan dedaun. Semua itu benar, kata Imam al-Ghazali, tetapi yang paling ringan di dunia ini ialah 'meninggalkan solat.'

Gara-gara keletihan dengan tugasan seharian kita meninggalkan solat. Pertanyaan keenam ialah: "Apakah yang paling tajam di dunia ini?" Murid-muridnya menjawab dengan serentak iaitu pedang.

Benar kata Imam al-Ghazali, tetapi menurutnya yang paling tajam ialah 'lidah manusia.' Ini kerana melalui lidah manusia dengan mudah menyakiti hati dan melukai perasaan rakan sendiri.

Cinta Allah adalah cinta hakiki

CINTA monyet adalah asam garam yang pernah dilalui pada zaman remaja. Apabila sudah bercinta maka bermulalah episod saling merindui dan tanda seseorang itu sudah 'diserang' penyakit angau.

Untuk mendapat cinta, manusia berusaha apa saja cara tidak kira di mana dan masa asalkan sasaran cinta tercapai. Dalam mencari cinta sejati manusia, bukan hanya remaja, kadang-kadang tersasar dalam erti sebenar cinta.

Kita hanya bergelut mencari cinta manusia yang tidak bertahan lama dan hanya kadangkala bersifat lipstik. Lupa kepada cinta agung yang menjadi sumber segala cinta.

Cinta Allah adalah cinta hakiki. Kemuncak segala motivasi, samudera segala bekalan dan kesudahan segala keindahan. Cinta yang membawa kepada segala kebaikan dan berkesudahan menikmati dua syurga iaitu syurga dunia dan akhirat.

Jika Allah adalah cinta segala cinta, dunia akan bertenggek di menaranya. Yang patut diusaha dengan sekuat tenaga, bagaimana hendak dapat cinta Allah.

Sebagai panduan, di sini dijelaskan beberapa faktor dan resipi bagaimana hendak mendapatkan cinta agung Allah.

1. Dengan membaca al-Quran serta merenung dan memahaminya. Berinteraksi dengan al-Quran sama seperti berinteraksi dengan Allah. Sebab kitab ini adalah penghubung di antara makhluk dengan pencipta-Nya.

Dalam hadis Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah yang mempelajari al-Quran dan yang mengajarnya."

Kemudian dalam keterangan lain Rasulullah menjelaskan: "Bacalah al-Quran kerana ia akan memberi syafaat (pertolongan) kepada siapa sahaja yang membacanya pada hari akhirat kelak."

Di rumah sahabat dulu, biasanya tergantung al-Quran dan pedang. Kenapa dua-dua ini digantung? Sebabnya pedang digunakan untuk pertahanan dan membuka negeri manakala al-Quran untuk membuka hati.

Sekiranya kita boleh baca akhbar dan majalah, malah menghabiskan duit untuk mengumpul gambar penyanyi takkanlah tidak ada masa sebentar untuk baca al-Quran.

Hati yang tidak dihuni dengan al-Quran akan dipenuhi kemunafikan, khayalan gangguan dan kemurungan. Maka isilah hati kita dengan ayat al-Quran.

Kisah seorang sahabat bernama Ubay yang pernah namanya disebut Allah kerana suka membaca al-Quran. Apabila Nabi beritahunya, Ubay terus menangis.

Nabi uji Ubay dengan soalan, apakah ayat al-Quran yang paling agung. Beliau menjawab: "Ayat kursi." Banyakkanlah membaca ayat ini.

Selain itu, jika hendak dapat cinta Allah seseorang itu perlu solat malam (Qiyamullail). Kita memang biasa bangun malam atau berjaga malam.

Tapi bukan untuk solat, tetapi untuk tengok bola, menonton filem, berborak serta melepak. Qiyamullail tidak semestinya bangun pada jam tiga atau empat pagi.

Cukup sekadar sembahyang dua rakaat sebelum masuk waktu Subuh sudah memadai. Ketika menonton siaran bola sepak pula, ketika perlawanan berhenti pada waktu rehat kita ambil wuduk dan bersolat sunat dua rakaat.

Antara cara yang boleh dilakukan ketika Qiyamullail ialah:
1. Berniat untuk bangun solat malam dan berdoa.
2. Jangan melakukan dosa pada siang hari sebab dosa pada waktu siang hari akan ikat rohani kita daripada bangun malam.
3. Tidurlah awal sedikit. Jika tidur jam satu atau dua pagi kemudian hendak bangun Qiyamullail memang tidak jadi.
4. Tidur sekejap waktu tengah hari.

Justeru, hendak dapat cinta Allah ialah dengan merenung ayat Allah. Merenung ayat Allah maknanya merenung kejadian yang Allah ciptakan seperti kejadian langit yang tiada bertiang tetapi boleh tertegak dengan kukuhnya.

Allah sembunyikan malam dan datangkan cerah dan siang. Bagaimana Allah jadikan kita? Besarkan kita? Kemudian usia kita menginjak remaja, akhirnya menjadi tua.

Kemudian bagaimana Allah jadikan tumbuhan nampak sama, tetapi tidak serupa? Buah rambutan nampak serupa, tetapi tidak sama.

Semua ini akan mendekatkan kita kepada Allah. Kita perlu merasa betapa lemah dan kerdilnya diri kita terhadap keagungan Allah.

Maka jika kita cinta kepada Allah maka Allah pasti akan membalas semula cinta kita.


Thursday, December 16, 2010

GAMBAR KUALA LUMPUR BERSELAWAT