Saturday, September 18, 2010

Muadz bin Jabal cendekiawan Muslimin

MUADZ bin Jabal termasuk dalam golongan pertama yang masuk Islam. Beliau merupakan seorang pemuda yang mempunyai wajah yang berseri-seri, berperwatakan yang menarik, bergigi putih bersih dan menarik perhatian apabila melihatnya serta ketenangan jelas terpancar di wajahnya.

Semasa Rasulullah mengambil bai'at dengan orang-orang Ansar pada Perjanjian Aqabah kedua, Muadz termasuk dalam ahli rombongan tersebut. Walaupun pada ketika itu usianya masih muda, namun kebijaksanaannya telah diakui dan amat menonjol terutama dalam bidang fikah. Rasulullah SAW sendiri juga pernah memuji kepintaran Muadz dan beliau juga mendapat pujian daripada para sahabat.

Ketika usianya masih muda lagi, Muadz telah dilantik sebagai pemimpin agama bagi masyarakat Yaman. Namun begitu, sebelum beliau dihantar ke sana, Rasulullah telah menguji kepintarannya. "Apa yang menjadi pedomanmu dalam mengadili sesuatu, wahai Muadz?" tanya Rasulullah. "Kitabullah," ujar Muadz.

"Jika tidak kamu temui dalam kitabullah?" Tanya Rasulullah lagi.

"Saya putuskan dengan sunnah Rasul," ujar Muadz. "Jika tidak kamu temui dalam sunnah Rasulullah?"

"Saya pergunakan fikiranku untuk berijtihad dan saya takkan berlaku sia-sia."

Maka berseri-serilah wajah Rasulullah dan baginda bersabda: "Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufik kepada utusan Rasulullah."

Rasulullah SAW amat berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Muadz. Sebab itulah Rasulullah tidak ragu-ragu untuk menghantar Muadz ke Yaman walaupun jauh daripadanya. Kecerdasan akal dan kebijaksanaannya amat meyakinkan hati baginda untuk memberi tunjuk ajar kepada penduduk Yaman.

Muadz bukanlah seorang yang banyak cakap. Beliau seorang yang pendiam dan gemar memerhati sahaja. Beliau hanya akan bercakap apabila diminta oleh hadirin.

Muadz akan menjadi sumber rujukan apabila sahabat menemui jalan buntu mengenai suatu hukum. Pengetahuan yang tinggi inilah menyebabkan beliau mendapat penghormatan daripada kaum muslimin sama ada ketika Rasulullah masih hidup mahupun selepas ketaatan baginda.

Muadz merupakan seorang sahabat yang pemurah. Ketika berada di Yaman, beliau menjadi seorang yang kaya raya. Pernah suatu ketika Saidina Umar meminta sebahagian daripada hartanya untuk didermakan ke jalan Allah. Pada mulanya beliau enggan kerana itu adalah hartanya sendiri yang diperolehi secara sah. Selepas itu Umar datang lagi ke rumahnya. Melihat Umar, Muadz pun meluru dan memeluk Umar sambil menangis.

Katanya: "Semalam aku bermimpi masuk kolam yang airnya sangat dalam dan aku hampir-hampir lemas. Nasib baiklah kamu datang untuk menyelamatkan aku." Selepas kejadian itu, Muadz kemudiannya memberi sebahagian hartanya untuk jalan Allah.

Muadz meninggal dunia pada usia 33 tahun. Hingga di saat kematiannya pun dia masih bermunajat kepada Allah."Ya Allah, sesungguhnya selama ini aku takut kepada-Mu tetapi hari ini aku mengharapkan-Mu…Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa aku tidaklah mencintai dunia demi untuk mengalirkan air sungai atau menanam kayu-kayan, tetapi hanyalah untuk menutup haus di kala panas dan menghadapi saat-saat yang gawat serta untuk menambah ilmu pengetahuan, keimanan dan ketaatan…"

No comments:

Post a Comment