Wednesday, October 27, 2010

Beware! Awas! Statistik Kes Rogol Meningkat

Menurut statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM), kanak-kanak paling ramai menjadi mangsa jenayah rogol dan cabul kehormatan sejak tahun 2008 hingga Ogos tahun ini. Kira-kira 45 peratus mangsa serangan seksual adalah kanak-kanak sementara baki 64 peratus adalah wanita.

Menurut Akta Kanak-Kanak 2001, kanak-kanak adalah mereka yang berumur di bawah 18 tahun ke bawah. Sebanyak 6,963 kes rogol dan 2,506 kes cabul melibatkan kanak-kanak dilaporkan dari 2008 hingga Ogos lalu.

Statistik ini amat membimbangkan kerana telah kerap tersiar di dada akhbar mengenai kanak-kanak yang menjadi mangsa rogol dan cabul sehingga melibatkan kehilangan nyawa.

Ada di antara jenayah ini melibatkan kanak-kanak yang masih terlalu muda dan tidak mengerti apa-apa. Namun bagi penjenayah yang tidak berperikemanusiaan sanggup berbuat apa sahaja asalkan dapat memenuhi nafsu serakah mereka.

Dalam konteks ini, amatlah penting bagi ibu bapa menitikberatkan aspek keselamatan anak-anak dengan mengawasi pergerakan mereka serta mengambil langkah-langkah perlu bagi meminimumkan peluang penjenayah bertindak.

Usaha ini penting demi keselamatan diri sendiri dan pada masa yang sama membantu polis membanteras jenayah terhadap kanak-kanak. Kita mahu jenayah ke atas kanak-kanak dibanteras dan kerjasama semua pihak penting dalam menjayakannya.

Utusan Malaysia 25th October 2010

No comments:

Post a Comment