Thursday, June 3, 2010

Allah tegah judi

PERJUDIAN adalah sejenis permainan pertaruhan yang mana pihak yang menang akan meraih wang pertaruhan mereka yang kalah. Tidak dinamakan perjudian jika kedua-dua pihak mencapai kemenangan. Itulah sifat perjudian yang diharamkan di dalam undang-undang Islam, malah turut dilarang agama lain.

Oleh itu, secara peribadi saya terperanjat (malah ramai yang lain juga) membaca kenyataan seorang timbalan menteri yang menyatakan pertimbangan dibuat untuk meluluskan lesen perjudian bola sepak sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia yang akan datang.


HUJAH BELIAU Beliau dirakam oleh akhbar tempatan sebagai berkata: “Ada beberapa perkara penting untuk dikaji, sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).” BANTAHAN DAN RASIONAL Pengeluaran lesen atas alasan untuk mengawal dan mengetahui jumlah wang pertaruhan adalah tertolak di sisi Islam. Sesebuah kerajaan dan pemimpin mesti lebih kreatif dan bertanggungjawab dalam mencari jalan mengawal perjudian gelap.


Kawalannya bukan dengan memberi lesen kerana itu hanya akan lebih memakmurkan gejala itu, tetapi KAWALAN adalah dengan memperkenalkan teknik banteras, hukuman lebih keras dan tahap efisiensi yang lebih kemas bagi memerangkap mereka yang terbabit dengannya.


ANALOGI Ia seolah-olah kerana kerajaan ingin membenarkan perkara yang tidak benar. Bolehkah atas alasan mengetahui jumlah sebenar dan mengawal MAT REMPIT yang merempit secara haram, KERAJAAN MEMPERTIMBANGKAN PEMBERIAN LESEN MEREMPIT kepada mat rempit di atas JALAN RAYA AWAM.


Semua mat rempit mesti mendaftar dan membayar yuran untuk merempit. Bukan LESEN UNTUK merempit di trek lumba dan IA IBARAT memberi LESEN untuk terus merempit di JALAN RAYA.


Merempit di jalan raya awam banyak mudaratnya kepada mat rempit dan juga orang awam. Demikian juga kesnya membenarkan perjudian bola sepak ‘gelap’ untuk dijadikan ‘terang’ tetapi tetap di atas laluan yang memudaratkan orang awam.


JUSTERU Kerajaan yang bertanggungjawab MESTILAH sentiasa mengurangkan aktiviti negatif di kalangan rakyat, bukan meraikan dan meluluskannya. Sedarilah, perjudian hanya akan menjerumuskan rakyat di dalam: l Kancah hutang dan masalah kewangan lebih serius. Kita bimbang kecenderungan masyarakat Malaysia yang sukakan skim cepat kaya yang sering diserbu selain diharamkan oleh kerajaan. Namun peliknya, kini kerajaan seolah-olah ingin membenarkan skim terbabit, perjudian adalah satu daripada jenis skim cepat kaya yang sering membawa kepada kayap; l Seterusnya membawa kepada masalah dan krisis rumah tangga. Pergaduhan suami isteri, anak mencuri duit ibu ayah untuk berjudi, suami curi duit isteri dan sebagainya; l Kita bimbang, hasil lesen yang diberi, kanak-kanak akan turut serta dalam perjudian, khususnya secara dalam talian, dan tiada sesiapa boleh menghalang kerana lesen diberi oleh kerajaan manakala perbuatan itu tidak lagi dianggap satu kesalahan; l Masyarakat tidak progresif kerana menjadi lalai untuk meneka dan bertaruh serta menonton bola sepak secara berlebihan. Kalau dulu penonton hanya gembira untuk melihat pasukan yang disokong. Kini, bakal menjadi taksub dan tertekan kerana keputusan perlawanan membabitkan wang pertaruhan l Mendorong rakyat memfokus kepada perolehan keuntungan secara cepat tanpa teknik, namun akhirnya kerugian saja yang lebih kerap menjelma. Masakan tidak, dalam perjudian, peratusan pihak yang menang sentiasa lebih kecil berbanding yang kalah; l Kesan buruk kekalahan boleh menyebabkan kemarahan, memandu berbahaya di jalan raya, pergeseran rumah tangga, kesan psikologi di tempat kerja, mungkin dikejar lintah darat dan banyak lagi; l Pemberian lesen itu seolah-olah menjolok sarang syaitan kerana kemungkinan ada individu yang tidak terdorong untuk berjudi kerana ia adalah aktiviti gelap dan salah di sisi undang-undang. Namun akibat lesen itu, dorongannya semakin kuat dan dipermudah.


NASIHAT Sedarilah tegahan Allah SWT: “Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada kedua-duanya itu ada dosa besar dan beberapa manfaat kecil bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (al-Baqarah: 219) Dan juga larangan selanjutnya: “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji, termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu supaya kamu mendapat keberuntungan.” (al-Maidah: 90) Justeru, saya berharap pihak berkuasa agama dapat segera memberi panduan dalam hal ini. Jika pihak berkuasa agama sependapat dengan Timbalan Menteri Kewangan, kami selaku ahli akademik sangat ingin mendengar dan membaca justifikasi dan dalil serta hujah keharusan itu.


Perlu difahami, hujah maslahat TIDAK BOLEH digunakan sama sekali dalam hal yang JELAS BERTENTANGAN dengan teks al-Quran dan hadis. Tiada maslahat dan tidak termasuk di dalam Maqasid al-Shariah dalam mengharuskan perjudian untuk masyarakat.


Oleh kerana isu perjudian adalah isu Qat’ie di dalam Islam, saya AMAT BERHARAP pihak Salafi, Wahabi, Ahbash, Tradisional Pondok, Tarekat Sufi, Syiah, ahli akademik universiti, tabligh dan semua pihak tampil menyatakan pandangan dan bantahan mereka.

Paling minimum di blog dan laman web rasmi mereka. Jangan hanya berselisih dan berdebat bertahun-tahun dengan begitu kreatif tetapi SENYAP SUNYI tanpa kenyataan umum dalam hal sebegini.


Disebutkan di dalam kaedah Fiqhiyyah yang dicatatkan oleh Al-Imam As-Sayuti Al-Shafi’i: “Tidak diingkari dalam hal yang diperselisihkan (ijtihad ulama) namun sesungguhnya keingkaran (bantahan) adalah pada perkara yang disepakati (haramnya).” (al-Asbah wa al-Nazair, kaedah no 35, hlm 292) Tanpa syak lagi, perjudian adalah tergolong di dalam perkara yang disepakati secara ijma’ berkenaan pengharamannya. Justeru, bantahan kita dan ulama terhadapnya adalah SANGAT PERLU.


Jangan biarkan hanya orang politik berkata-kata kerana apabila orang politik melakukannya, mereka akan sering dilihat sebagai bermotif politik.


Kita perlu mereka yang lain juga supaya bersuara, supaya Allah SWT meredai usaha kita.

No comments:

Post a Comment