Persaudaraan Islam antara tonggak terpenting yang menyumbang ke arah kecemerlangan ummah. Sejarah Islam memahatkan episod gemilang generasi Rasulullah SAW yang mengangkat martabat Islam ke mercu tertinggi pada zaman permulaannya.
Prof Hamka menegaskan pentingnya berjemaah dalam kehidupan Muslim seperti dalam kesatuan kepemimpinan Rasulullah SAW, tiada lagi kebanggaan kabilah, tiada lagi kemuliaan Arab dengan bukan Arab, atau kulit putih atas kulit hitam, sebaliknya lebih mulia di sisi Allah yang lebih takwanya.
Selain itu, persaudaraan juga adalah satu nikmat dan anugerah Ilahi. Sebelum datangnya ajaran Islam, suku dengan suku kabilah berkelahi, dan akhirnya umat manusia disatukan di bawah naungan Islam.
Meninjau senario umat Islam kini, dapat dilihat jalinan persaudaraan begitu rapuh dan goyah hingga mudah digugah apabila badai krisis menghempas. Akibatnya, berlaku kemelut pertelagahan sesama sendiri dan perpecahan mula menjalari ke setiap ruang masyarakat Islam lantaran perbezaan pendirian atau fahaman politik.
Situasi amat menyedihkan ini sentiasa dinantikan musuh Islam yang tidak pernah berputus asa melancarkan serangan terhadap umatnya supaya lemah dan tersungkur dalam pertarungan sengit itu.
Lihat saja rentetan peristiwa demi peristiwa menyedihkan berlaku kepada umat Islam di Palestin, Afghanistan dan Iraq yang menyaksikan umat Islam begitu mudah ditindas dan dizalimi lantaran kepupusan rasa persaudaraan terjalin, juga longgarnya pegangan agama.
Islam mengajar satu-satunya ikatan penghubung antara umat Islam adalah ukhuwah Islamiah, bukan ikatan kesukuan, kebangsaan atau kepartian. Islam satu-satunya ikatan diwajibkan Allah dan kerana itu, menjadi kewajipan setiap Muslim meyakini mereka adalah bersaudara.