Thursday, January 27, 2011

Tafsir Ayat: Prinsip persaudaraan Islam tonggak kecemerlangan ummah

FIRMAN Allah bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu ketika jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu daripada neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah Ali Imran, ayat 103)

Persaudaraan Islam antara tonggak terpenting yang menyumbang ke arah kecemerlangan ummah. Sejarah Islam memahatkan episod gemilang generasi Rasulullah SAW yang mengangkat martabat Islam ke mercu tertinggi pada zaman permulaannya.

Masyarakat Islam berpaksikan pada prinsip persaudaraan dalam menghadapi pelbagai situasi seperti peperangan, perdamaian, penghijrahan dan perniagaan. Islam menganjurkan umat Islam membina persaudaraan sebagai mesej utama hendak disampaikan kepada umat Islam.
Biarpun berlainan bangsa, warna kulit, sempadan tempat dan bahasa, namun ia bukan batu penghalang besar ke arah itu dan Islam tetap menyatukan mereka atas dasar iman dan takwa kepada Allah.

Prof Hamka menegaskan pentingnya berjemaah dalam kehidupan Muslim seperti dalam kesatuan kepemimpinan Rasulullah SAW, tiada lagi kebanggaan kabilah, tiada lagi kemuliaan Arab dengan bukan Arab, atau kulit putih atas kulit hitam, sebaliknya lebih mulia di sisi Allah yang lebih takwanya.

Selain itu, persaudaraan juga adalah satu nikmat dan anugerah Ilahi. Sebelum datangnya ajaran Islam, suku dengan suku kabilah berkelahi, dan akhirnya umat manusia disatukan di bawah naungan Islam.

Meninjau senario umat Islam kini, dapat dilihat jalinan persaudaraan begitu rapuh dan goyah hingga mudah digugah apabila badai krisis menghempas. Akibatnya, berlaku kemelut pertelagahan sesama sendiri dan perpecahan mula menjalari ke setiap ruang masyarakat Islam lantaran perbezaan pendirian atau fahaman politik.
Situasi amat menyedihkan ini sentiasa dinantikan musuh Islam yang tidak pernah berputus asa melancarkan serangan terhadap umatnya supaya lemah dan tersungkur dalam pertarungan sengit itu.

Lihat saja rentetan peristiwa demi peristiwa menyedihkan berlaku kepada umat Islam di Palestin, Afghanistan dan Iraq yang menyaksikan umat Islam begitu mudah ditindas dan dizalimi lantaran kepupusan rasa persaudaraan terjalin, juga longgarnya pegangan agama.

Islam mengajar satu-satunya ikatan penghubung antara umat Islam adalah ukhuwah Islamiah, bukan ikatan kesukuan, kebangsaan atau kepartian. Islam satu-satunya ikatan diwajibkan Allah dan kerana itu, menjadi kewajipan setiap Muslim meyakini mereka adalah bersaudara.

No comments:

Post a Comment