Sunday, January 2, 2011

Tokoh qiraat Syam

DAMSYIK ialah ibu kota negara Syria atau Syam dan merupakan salah satu kota Islam yang masyhur. Ramai para sahabat datang menyebarkan dakwah Islam, antara mereka ialah Abu al-Darda' dan Bilal Ibnu Rabah.

Semasa pemerintahan Uthman Ibn Affan, beliau telah mengarah supaya menyalin al-Quran dalam bentuk mushaf.

Sebaik sempurna dan lengkap salinan mushaf tersebut dihantar ke kota-kota Islam antaranya Damsyik.

Bagi mencapai objektif supaya penduduk Syam mengamal dan membaca mushaf yang dihantar kepada mereka, Uthman telah memilih dan melantik sahabatnya yang alim dalam ilmu al-Quran iaitu al-Mughirah Ibnu Abi Syihab sebagai guru al-Quran kepada penduduk Syam.

Hasil didikannya yang berterusan maka lahirlah ramai ulama al-Quran di Syam.

Antaranya ialah Imam Ibnu 'Amir a-Dimasyqi. Selain Ibnu Syihab, Imam Ibnu 'Amir juga menerima ilmu al-Quran daripada sahabat nabi yang bernama Abi al-Darda'.

Imam Ibnu 'Amir lahir pada tahun 21 Hijrah dan meninggal dunia di Damsyik pada tahun 118 Hijrah.

Nama penuhnya ialah Abdullah Ibnu 'Amir Ibn Yazid Ibnu Tamim Ibnu Rabi'ah Ibnu 'Amir .

Beliau adalah imam dan guru al-Quran kepada penduduk Syam. Segala permasalahan berkaitan bacaan al-Quran dirujuk kepada beliau untuk menyelesaikannya.

Imam Ibnu 'Amir memegang jawatan Imam di Masjid Jamie' Umawi dalam tempoh yang lama. Iaitu semasa pemerintahan Umar Ibnu Abdul Aziz.

Sejarah hidup Imam Ibnu 'Amir yang ditulis oleh ulama, menyebut bahawa semasa beliau memegang jawatan imam di Masjid Umawi, datang khalifah Umar Ibn Abdul Aziz dan bersembahyang sebagai makmum di belakangnya.

Abu Ali al-Ahwazi menyatakan bahawa Ibnu 'Amir adalah seorang imam yang alim, dipercayai, amat banyak menghafaz dan amat teliti dalam memahami sesuatu ilmu.

Beliau adalah di kalangan orang yang mempunyai banyak kelebihan dan seorang tabien yang mulia.

Penaqalannya adalah sahih, perkataan sangatlah fasih, keilmuannya sangatlah masyhur, tidak pernah menyalahi hadis.

Selain jawatannya sebagai guru al-Quran dan Imam di Jamie' Umawi, Ibnu 'Amir juga adalah seorang kadi. Ini menunjuk bahawa Ibnu 'Amir menguasai juga ilmu fikah yang tinggi di samping kepakarannya dalam bidang al-Quran.

Menurut Syeikh Mahmud Khalil, Qiraat Ibnu 'Amir menjadi amalan seluruh penduduk Syam selama 500 tahun lamanya.

Pada masa ini Qiraat Ibnu 'Amir melalui dua perawinya Hisyam dan Ibn Zakuan tidak menjadi bacaan mana-mana negara Islam. Namun ia boleh dipelajari di pusat pengajian al-Quran, sama ada dalam atau luar negara.

No comments:

Post a Comment