Saturday, March 16, 2013

Update blogger...

Dah lama aku xupdate blogger yang lama menyepi....ermmm......sebuk sangat sampai lupa nak update...minggu ni dan minggu depan budak2 peperiksaan pra pertengahan tahun...so dalam seminggu lagi cuti persekolahan selama seminggu...cuti sebuk dengan marking papers yang berlambak.....huhuhu

Thursday, February 10, 2011

Majlis Perkahwinan sahabat lamaku (Ahmad Zaim) pada 5.2.2011



Pelihara tajwid semasa baca al-Quran

AL-QURAN adalah wahyu Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai salah satu tanda kemukjizatan Nabi terakhir dan sebagai panduan hidup kepada manusia sehinggalah ke hari kiamat.

Wahyu memberi maksud bahawa Al-Quran bukanlah kalam atau perkataan atau ciptaan manusia tetapi ia adalah sesuatu yang terus daripada Allah SWT.

Setiap Muslim dikehendaki wajib mengenal serta boleh membaca al-Quran kerana al-Quran ini merupakan sumber ilmu utama dan panduan yang terbaik dalam kehidupan.

Sekiranya mereka tidak boleh membaca maka dituntut untuk mempelajarinya. Seperkara yang harus diambil berat dalam pembacaan al-Quran adalah membacanya secara bertajwid.

Mutakhir, banyak video, cakera padat (CD) dan audio di pasaran yang memapar dan memperdengarkan bacaan al-Quran tanpa menitikberatkan hukum tajwid dan hanya sekadar untuk dikomersialkan.

Walaupun ia adalah satu usaha yang baik tetapi kita seharusnya memelihara keaslian dan ketepatan dalam membacanya. Oleh sebab itu Nabi Muhammad SAW semasa hayatnya amat menitikberatkan pembacaan al-Quran yang tepat dan betul.

Ini dapat dilihat daripada gesaan-gesaan yang disebut dalam al-Quran itu sendiri. Firman Allah yang bermaksud: Dan bacalah al-Quran dengan tartil. (al-Muzammil: 4)

Ayat ini jelas menunjukkan Allah SWT memerintahkan Nabi SAW membaca al-Quran yang diturunkan kepadanya dengan tartil iaitu mengelokkan sebutan akan setiap huruf dan makhrajnya secara bertajwid.

Ini membuktikan bahawa bacaan al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah bacaan bertajwid dan bukan sekadar bacaan biasa sahaja.

Hukum mempelajari ilmu tajwid adalah fardu kifayah manakala mengamalkannya dalam bacaan adalah fardu ain yakni wajib ke atas setiap Muslim lelaki dan perempuan.

Walaupun seseorang itu hanya mahu membaca al-Quran walaupun satu ayat, dia tetap perlu membacanya dengan tajwid yang betul, tidak kira sama ada dia pernah mempelajarinya atau pun tidak.

Perkara seumpama ini boleh dilihat terutamanya dalam lakonan drama atau filem yang melibatkan pembacaan al-Quran di kalangan para pelakon yang memegang watak orang yang baik, sama ada ustaz atau ustazah.

Begitu juga dengan para pendakwah, imam, qari, hafiz atau sesiapa sahaja yang mana perlu diingatkan bahawa al-Quran itu adalah Kalam Allah yang perlu dibaca dengan tajwid dan bukan dibaca seperti surat khabar.

Oleh kerana mengamalkan ilmu tajwid adalah satu kewajipan maka ditegaskan di sini bahawa mempelajarinya juga adalah satu kewajipan demi untuk menyempurnakan tuntutan tersebut.

Kaedah mempelajari tajwid perlulah secara berguru. Ini kerana setiap dalam bacaan akan ditegur oleh guru tersebut. Oleh sebab itu untuk mencari guru perlulah mengambil dan mempelajarinya daripada guru-guru al-Quran yang diakui tentang keahliannya dalam ilmu tajwid.

Guru itu pula mestilah juga seorang yang pernah mempelajarinya daripada guru-guru yang berkeahlian sebelum mereka. Perkara ini penting untuk memastikan agar kesahihan bacaan itu terpelihara.

Dewasa ini banyak guru yang tidak ahli dalam bidang tersebut yang membuka kelas-kelas pengajian dan berani pula untuk mengeluarkan sanad secara terus menerus.

Jika dikeluarkan sijil tamat pengajian ia masih lagi boleh diterima pakai tetapi jika mengeluarkan sanad ia akan menimbulkan banyak persoalan dan prasangka kerana bukan sebarangan orang yang boleh mengeluarkannya. Ini cukup bahaya jika ia terus berkembang dalam masyarakat kita.

Walaupun zaman ini penuh dengan kecanggihan teknologi dan sains tetapi harus diingatkan bahawa tradisi berguru dalam mengamalkan ilmu wahyu masih lagi terikat dengan cara lama. Adalah tidak memadai hanya melalui kaset, cakera padat video (VCD), buku-buku dan audio semata-mata.

Thursday, January 27, 2011

Tafsir Ayat: Prinsip persaudaraan Islam tonggak kecemerlangan ummah

FIRMAN Allah bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu ketika jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu daripada neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah Ali Imran, ayat 103)

Persaudaraan Islam antara tonggak terpenting yang menyumbang ke arah kecemerlangan ummah. Sejarah Islam memahatkan episod gemilang generasi Rasulullah SAW yang mengangkat martabat Islam ke mercu tertinggi pada zaman permulaannya.

Masyarakat Islam berpaksikan pada prinsip persaudaraan dalam menghadapi pelbagai situasi seperti peperangan, perdamaian, penghijrahan dan perniagaan. Islam menganjurkan umat Islam membina persaudaraan sebagai mesej utama hendak disampaikan kepada umat Islam.
Biarpun berlainan bangsa, warna kulit, sempadan tempat dan bahasa, namun ia bukan batu penghalang besar ke arah itu dan Islam tetap menyatukan mereka atas dasar iman dan takwa kepada Allah.

Prof Hamka menegaskan pentingnya berjemaah dalam kehidupan Muslim seperti dalam kesatuan kepemimpinan Rasulullah SAW, tiada lagi kebanggaan kabilah, tiada lagi kemuliaan Arab dengan bukan Arab, atau kulit putih atas kulit hitam, sebaliknya lebih mulia di sisi Allah yang lebih takwanya.

Selain itu, persaudaraan juga adalah satu nikmat dan anugerah Ilahi. Sebelum datangnya ajaran Islam, suku dengan suku kabilah berkelahi, dan akhirnya umat manusia disatukan di bawah naungan Islam.

Meninjau senario umat Islam kini, dapat dilihat jalinan persaudaraan begitu rapuh dan goyah hingga mudah digugah apabila badai krisis menghempas. Akibatnya, berlaku kemelut pertelagahan sesama sendiri dan perpecahan mula menjalari ke setiap ruang masyarakat Islam lantaran perbezaan pendirian atau fahaman politik.
Situasi amat menyedihkan ini sentiasa dinantikan musuh Islam yang tidak pernah berputus asa melancarkan serangan terhadap umatnya supaya lemah dan tersungkur dalam pertarungan sengit itu.

Lihat saja rentetan peristiwa demi peristiwa menyedihkan berlaku kepada umat Islam di Palestin, Afghanistan dan Iraq yang menyaksikan umat Islam begitu mudah ditindas dan dizalimi lantaran kepupusan rasa persaudaraan terjalin, juga longgarnya pegangan agama.

Islam mengajar satu-satunya ikatan penghubung antara umat Islam adalah ukhuwah Islamiah, bukan ikatan kesukuan, kebangsaan atau kepartian. Islam satu-satunya ikatan diwajibkan Allah dan kerana itu, menjadi kewajipan setiap Muslim meyakini mereka adalah bersaudara.

Sunday, January 2, 2011

Abg Iwan kawen





Tokoh qiraat Syam

DAMSYIK ialah ibu kota negara Syria atau Syam dan merupakan salah satu kota Islam yang masyhur. Ramai para sahabat datang menyebarkan dakwah Islam, antara mereka ialah Abu al-Darda' dan Bilal Ibnu Rabah.

Semasa pemerintahan Uthman Ibn Affan, beliau telah mengarah supaya menyalin al-Quran dalam bentuk mushaf.

Sebaik sempurna dan lengkap salinan mushaf tersebut dihantar ke kota-kota Islam antaranya Damsyik.

Bagi mencapai objektif supaya penduduk Syam mengamal dan membaca mushaf yang dihantar kepada mereka, Uthman telah memilih dan melantik sahabatnya yang alim dalam ilmu al-Quran iaitu al-Mughirah Ibnu Abi Syihab sebagai guru al-Quran kepada penduduk Syam.

Hasil didikannya yang berterusan maka lahirlah ramai ulama al-Quran di Syam.

Antaranya ialah Imam Ibnu 'Amir a-Dimasyqi. Selain Ibnu Syihab, Imam Ibnu 'Amir juga menerima ilmu al-Quran daripada sahabat nabi yang bernama Abi al-Darda'.

Imam Ibnu 'Amir lahir pada tahun 21 Hijrah dan meninggal dunia di Damsyik pada tahun 118 Hijrah.

Nama penuhnya ialah Abdullah Ibnu 'Amir Ibn Yazid Ibnu Tamim Ibnu Rabi'ah Ibnu 'Amir .

Beliau adalah imam dan guru al-Quran kepada penduduk Syam. Segala permasalahan berkaitan bacaan al-Quran dirujuk kepada beliau untuk menyelesaikannya.

Imam Ibnu 'Amir memegang jawatan Imam di Masjid Jamie' Umawi dalam tempoh yang lama. Iaitu semasa pemerintahan Umar Ibnu Abdul Aziz.

Sejarah hidup Imam Ibnu 'Amir yang ditulis oleh ulama, menyebut bahawa semasa beliau memegang jawatan imam di Masjid Umawi, datang khalifah Umar Ibn Abdul Aziz dan bersembahyang sebagai makmum di belakangnya.

Abu Ali al-Ahwazi menyatakan bahawa Ibnu 'Amir adalah seorang imam yang alim, dipercayai, amat banyak menghafaz dan amat teliti dalam memahami sesuatu ilmu.

Beliau adalah di kalangan orang yang mempunyai banyak kelebihan dan seorang tabien yang mulia.

Penaqalannya adalah sahih, perkataan sangatlah fasih, keilmuannya sangatlah masyhur, tidak pernah menyalahi hadis.

Selain jawatannya sebagai guru al-Quran dan Imam di Jamie' Umawi, Ibnu 'Amir juga adalah seorang kadi. Ini menunjuk bahawa Ibnu 'Amir menguasai juga ilmu fikah yang tinggi di samping kepakarannya dalam bidang al-Quran.

Menurut Syeikh Mahmud Khalil, Qiraat Ibnu 'Amir menjadi amalan seluruh penduduk Syam selama 500 tahun lamanya.

Pada masa ini Qiraat Ibnu 'Amir melalui dua perawinya Hisyam dan Ibn Zakuan tidak menjadi bacaan mana-mana negara Islam. Namun ia boleh dipelajari di pusat pengajian al-Quran, sama ada dalam atau luar negara.

Friday, December 24, 2010

Lupa diri sendiri jika lupakan Allah

MANUSIA sering lupa. Ia menjadi kelemahan manusia yang menyebabkan hilang fokus terhadap amalan dan pekerjaan yang mereka lakukan.

Lupa juga berlaku kerana isteri ramai, asyik memikirkan cara untuk mengelak daripada dimarahi dan strategi sebagai penyelamat daripada diserang.

Namun, punca lupa yang paling menakutkan ialah apabila banyak lupa kepada Allah. Dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud: "Janganlah kamu menjadi seperti orang yang melupai Allah, nanti Allah akan membuatkan kamu lupa diri kamu sendiri."

Lupa diri sendiri menurut ulama antara maksudnya ialah lupa pada hari akhirat. Ada yang lupa amalan dosa yang dilakukan hingga tidak terasa untuk bertaubat.

Selain itu, mereka lupa tanggungjawab sebagai suami, isteri dan anak, sehinggakan lupa fungsi hidup, lupa sebagai seorang pekerja, lupa tugas, lupa tanggungjawab dan amanah, lupa pada janji dan sebagainya.

Disebabkan terlalu banyak lupa, kita mesti selalu mengingati Allah dengan memberi peringatan serta melakukan analisis (muhasabah) terhadap diri sendiri.

Nasihat Imam al-Ghazali yang sangat mendalam, semoga ia menjadi bahan muhasabah kita. Suatu hari, Imam al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya.

Imam al-Ghazali bertanya (pertama): "Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?" Murid-muridnya ada yang memberikan jawapan orang tua, guru, teman dan kerabatnya.

Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar, tetapi yang paling dekat dengan kita adalah 'mati'. Sebab itu sudah janji Allah setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Lihat Surah Ali-Imran ayat 185).

Lalu Imam al-Ghazali meneruskan pertanyaan kedua: "Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?" Murid-muridnya ada yang menjawab China, bulan, matahari dan bintang.

Imam al-Ghazali menjelaskan semua jawapan yang mereka berikan adalah benar, tetapi yang paling benar adalah 'masa lalu.'

Walau bagaimana hebat sekalipun kita, kita tidak boleh kembali kepada masa lalu. Oleh itu, kita perlu menjaga hari ini dan hari akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama.

Lalu Imam al-Ghazali meneruskan dengan pertanyaan ketiga: "Apa yang paling besar di dunia ini?" Ada muridnya yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar, kata Imam al-Ghazali.

Tetapi, katanya, yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah 'nafsu' (sila rujuk Surah al-A'raaf ayat 179). Oleh itu, kita perlu berhati-hati dengan nafsu, jangan sampai nafsu menjerumuskan diri ke lembah neraka.

Pertanyaan keempat: "Apa yang paling berat di dunia ini?" Ada yang menjawab baja, besi dan tidak kurang yang mengatakan gajah.

Imam al-Ghazali berkata semua jawapan itu namun yang paling berat adalah 'memegang amanah.' (lihat Surah al-Ahzab ayat 72).

Tumbuhan, haiwan, gunung malah malaikat juga semuanya tidak mampu ketika Allah t meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini.

Bagaimanpun, manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah sehingga ramai manusia masuk ke neraka kerana tidak dapat memegang amanahnya.

Pertanyaan yang kelima: "Apa yang paling ringan di dunia ini?" Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan dedaun. Semua itu benar, kata Imam al-Ghazali, tetapi yang paling ringan di dunia ini ialah 'meninggalkan solat.'

Gara-gara keletihan dengan tugasan seharian kita meninggalkan solat. Pertanyaan keenam ialah: "Apakah yang paling tajam di dunia ini?" Murid-muridnya menjawab dengan serentak iaitu pedang.

Benar kata Imam al-Ghazali, tetapi menurutnya yang paling tajam ialah 'lidah manusia.' Ini kerana melalui lidah manusia dengan mudah menyakiti hati dan melukai perasaan rakan sendiri.