Thursday, April 15, 2010

Masalah sosial runtuhkan tamadun manusia

Peningkatan kes buang bayi, zina bukti masyarakat masa kini alami sakit jiwa, rosak rohani

APA dah jadi dengan masyarakat kita kini? Semakin dikutuk perbuatan membuang bayi, semakin menjadi pula perlakuannya. Hari ini dilancarkan kempen kesedaran untuk menyelamatkan bayi yang dikandung atas rasa ihsan dan perikemanusiaan, namun keesokannya lain pula cerita dipaparkan di dada akhbar.

Pelbagai usaha dilakukan untuk mengatasi gejala negatif ini. Namun, apa yang berlaku seolah-olah bukan menjadi kesalahan kepada mereka yang membuang bayi dikandung sendiri. Bayi yang terhasil daripada hubungan haram itu suci dan tidak berdosa. Yang berdosanya mereka yang terjebak dengan gejala tidak bermoral itu.

Moral amat berkait rapat dengan akhlak dan sahsiah seseorang yang melambangkan tahap peradaban. Moral sering dinilai dari sudut agama tanpa mengira masa dan zaman. Apabila manusia melakukan perbuatan tidak bermoral, bermakna mereka menghancurkan tamadun yang dibina.

Seorang penyair Mesir yang terkenal, Shauki Bik pernah berkata: “Suatu bangsa ditentukan kualiti akhlaknya, jika akhlak rosak maka hancurlah bangsa itu.” Moral manusia boleh roboh dan runtuh apabila mereka tidak menjaga keturunan, seperti berlakunya penzinaan secara berleluasa, pergaulan bebas dan hal-hal yang kebiasaannya membabitkan golongan remaja, hubungan songsang, perlakuan lucah dan sumbang, meminum arak sebagai lambang kemegahan dan macam-macam perlakuan yang bertentangan dengan tata moral manusia yang beragama.

Gejala buang anak yang berlaku hari ini adalah bukti paling nyata bahawa masyarakat kita sedang dilanda masalah keruntuhan moral serius. Kebejatan sosial yang sedang berlaku itu menandakan masyarakat kita sedang sakit jiwa dan rohaninya amat parah.

Mental mereka kehilangan radar berfikir untuk bertindak secara rasional. Hukum agama yang menjadi disiplin kehidupan manusia tidak dipedulikan lagi demi kebebasan seperti dipromosikan dunia barat. Hari ini perzinaan berlaku di depan mata dalam keadaan yang mengaibkan, namun dirasakan bangga oleh pelakunya. Ada pula perawan menceritakan kepada orang lain akan kehilangan mahkotanya dengan penuh rasa bangga. Jauh sekali rasa berdosa dan malu.

Memang betul bahawa moral itu sering dicabar oleh faktor perubahan masa dan persekitaran. Namun nilai moral mesti dipertahankan. Jangan sekali-kali digadaikan seperti menjual barang murahan di pasaran terbuka. Kita bukan berkiblatkan Barat dan semua pembawaan perilaku dan moral mereka mesti dipertimbangkan demi memelihara moral kita.

Pastikan ikatan moral tidak berubah walaupun masyarakat mengalami evolusi mental. Caranya dengan mengamalkan tuntutan agama. Maknanya, agama adalah pengikat kepada kebebasan moral dan tingkah laku manusia.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Menurut Muhammad al-Qutb dalam bukunya Jahiliah Abad ke-20, konsep jahiliah bukan berdasarkan masa, tempoh atau zaman tertentu, sebaliknya disebabkan individu atau masyarakat tidak mengakui Islam sebagai syariat hidup yang cukup sempurna.

Perbuatan berjudi, minum arak, berzina dan membunuh anak sendiri adalah perbuatan tidak bermoral yang boleh meruntuhkan ketamadunan bangsa. Sebagai contoh, dengan meminum arak seseorang akan rasa bangga. Mereka anggap sebagai suatu nilai kepuasan sama seperti bangsa Arab zaman jahiliah yang menjadikan arak sebagai minuman terhormat.

Masyarakat Arab jahiliah sebelum kelahiran Nabi membunuh anak perempuan semata-mata kerana malu dan dianggap tidak setanding dengan anak lelaki yang diperlukan untuk persiapan perang. Dunia mereka adalah peperangan dan memerlukan tenaga lelaki untuk kemenangan, sedangkan perempuan itu dianggap lemah yang menyumbang kekalahan.

Hal ini dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang daripada mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi dari orang ramai kerana (berasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (dia beroleh anak perempuan sambil dia berfikir), adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup di dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (Surah al-Nahl, ayat 58-59)

No comments:

Post a Comment