Saturday, April 10, 2010

Wajib Mandi Di Hari Jumaat Bagi Menunaikan Solat Fardhu Jumaat

عن عبدالله بن عمر رضي الله عنهما أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال إذا جاء أحدكم الجمعة فليغتسل

Maksudnya:

Dari ‘Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Jika seseorang dari kamu mendatangi (solat) Jumaat, hendaklah dia mandi.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 877)


عن أبي سعيد الخدر رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال غسل يوم الجمعة واجب على كل محتلم

Dari Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Mandi pada hari Jumaat adalah wajib bagi setiap muslim yang telah deawasa (baligh).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 879)

Sayyid Sabiq rahimahullah menjelaskan:

“Majoriti ulama memilih pendapat wajibnya mandi untuk solat Jumaat.” (Diperakui oleh al-Albani sebagai pendapat yang benar, Tamamul Minnah, m/s. 126, Pustaka Sumayyah)

Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim berkata:

“Diwajibkan mandi bagi sesiapa yang mendatangi solat Jumaat, iaitu orang-orang yang diperintahkan untuk menunaikan solat Jumaat, menurut pendapat yang ulama yang paling sahih, berdasarkan dalil-dalil yang disebutkan.” (Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, jil. 2, m/s. 305, Pustaka at-Tazkia)

Penjelasan:

1 – Wajib mandi pada hari Jumaat sebelum pergi menunaikan solat fardhu Jumaat. Cukup dengan sekali mandi.

2 – Orang yang berhadas (hadas kecil) setelah mandi, maka cukup dengan berwudhu’, tidak perlu mandi semula.

3 – Sesiapa yang berjunub pada hari Jumaat tersebut, cukup baginya mandi sekali sahaja (merangkumi mandi junub dan mandi hari Jumaat).

4 – Boleh mandi sama ada mahu mandi di waktu awal pagi atau lewat pagi sebelum pergi menunaikan solat Jumaat.

Ibnu Qudamah rahimahullah menjelaskan:

“Waktu mandi adalah setelah terbitnya fajar, bila mandi setelah itu maka itu mencukupi, dan bila mandi sebelumnya maka tidak mencukupi.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, jil. 3, m/s. 85, Pustaka Azzam)

Wallahu a’lam.

Rujukan:

1 – Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, Pustaka at-Tazkia.

2 – Ibnu Qudamah, al-Mughni, Pustaka Azzam.

3 – Muhammad Nashiruddin al-Albani, Tamamul Minnah, Pustakla Sumayyah.

4 – Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, Darus Sunnah.

No comments:

Post a Comment