Thursday, May 13, 2010

Piala Thomas: Hafiz bawa Malaysia ke separuh akhir

KUALA LUMPUR: Muhd Hafiz Hashim menjadi wira negara apabila meraih mata kemenangan untuk Malaysia mengatasi Denmark 3-2 dan mara ke peringkat separuh akhir Piala Thomas dalam perlawanan sengit peringkat suku akhir di Stadium Putra malam ini.

Ketika harapan tinggi negara diletak pada bahunya apabila kedudukan terikat 2-2, Hafiz ternyata tidak mengecewakan dan mudah menewaskan Joachim Persson 21-12, 21-10 dalam permainan perseorangan ketiga.Malaysia akan bertemu China pada perlawanan separuh akhir Jumaat ini.

Skuad badminton negara bermula cemerlang apabila Lee Chong Wei memberi mata pertama selepas menewaskan Peter Hoeg Gade 21-17, 21-17 dalam permainan perseorangan pertama.

Pasangan negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong menambah mata kedua selepas mengatasi pasangan Denmark, Carsten Mogensen/Mathias Boe, 21-17, 21-19.

Bagaimanapun, Denmark bangkit merapatkan jurang mata apabila Jan O Jorgensen menewaskan Wong Choong Hann 22-20, 16-21, 21-18 dalam permainan perseorangan kedua.

Kedudukan kemudian terikat 2-2 apabila pasangan bergu kedua negara Zakry Abdul Latif/Hoon Thien How tewas 26-24, 12-21, 18-21 kepada pasangan Denmark Lars Paaske/Jonas Rasmussen.

No comments:

Post a Comment