Sunday, May 30, 2010

RUGIKAH JADI WANITA SOLEHAH?

Asma' binti Yazid al-Ansariyah, seorang sahabiah Ansar, telah mengunjungi Rasulullah (saw) untuk bertanya berhubung hak dan kebebasan kaum wanita dalam Islam.

Katanya: "Ya Rasulullah, tuan hamba lebih ku kasihi daripada ibu bapaku sendiri. Wanita-wanita Islam telah mengutus hamba sebagai wakil mereka untuk berbicara dengan tuan hamba. Sesungguhnya tuan hambalah utusan Allah kepada kaum lelaki dan wanita," ujar Asma’.

"Kami ini dan kaum wanita mukminah lainnya kebanyakan daripada waktu kami hanya tinggal dalam lingkungan rumah tangga sahaja. Kami harus memuaskan keinginan suami-suami kami, melahirkan anak untuk mereka dan menguruskan rumah tangga. Oleh itu, kaum lelaki telah mengatasi kami dalam banyak perkara,” sambungnya lagi.

“Mereka mendapat ganjaran untuk amalan-amalan yang tidak dapat kami lakukan. Mereka mengerjakan solat fardhu yang lima waktu dan solat Jumaat di masjid. Mereka pergi menziarahi orang mati (serta turut mengiringi jenazahnya). Mereka juga dapat menunaikan ibadat haji berkali-kali.

“Dan paling utama sekali mereka juga turut berperang pada jalan Allah. Ketika mereka pergi mengerjakan haji atau berperang sabil, kami menjaga harta benda mereka, melahirkan anak untuk mereka dan menenun kain untuk mereka,” sambung beliau lagi. Apakah kami juga turut mendapat pahala daripada amal-amal mereka itu?" ujar Asma’ untuk mendapat kepastian.

Dengan tenang Rasulullah (saw) bersabda; "Dengarlah oleh mu baik-baik, kemudian pergilah khabarkan kepada wanita-wanita yang telah mengutuskan dikau ke mari. Bahawasanya apabila seseorang wanita itu mencari keredhaan suaminya dan menguruskan kerja-kerja rumahnya dengan puas hati suaminya, maka ia akan mendapat ganjaran yang sama dengan lelaki dalam amal-amal mereka kerana Allah itu."

Sabda Baginda lagi; "Apabila seseorang perempuan itu mencuci pakaian suaminya, maka Allah mencatatkan baginya seribu kebajikan dan mengampunkan baginya seribu kejahatan dan mengangkat baginya darjat dan setiap suatu yang terkena cahaya matahari beristighfar untuknya."

Ummul Mukminin Sayidatina 'Aishah (r.ha) berkata; "Bunyi alat pemintal benang seseorang perempuan itu, adalah seimbang dengan gema takbir jihad pada jalan Allah. Dan mana-mana perempuan yang memakaikan pakaian kepada suaminya daripada benang yang dipintalnya sendiri, maka ia mendapat seratus ribu kebajikan bagi tiap-tiap lanjur benang tenunan kain itu."

Sabda Rasulullah (saw), "Seorang perempuan itu, apabila ia mengerjakan solat lima waktu, dan berpuasa pada bulan Ramadhan, dan memelihara maruahnya dan taat kepada suaminya, masuklah ia ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang ia kehendaki."

No comments:

Post a Comment