Monday, January 25, 2010

KEPIMPINAN SEBAGAI ASAS

AL-QURAN dan hadis menekankan soal kepimpinan bagi menjamin hukum Islam terlaksana dengan baik. Boleh jadi kerana tumpuan yang mendalam menyebabkan soal kepimpinan adalah perkara yang sensitif dalam sejarah pemerintahan Islam.

Rasulullah menegaskan, kepimpinan mesti ditegakkan walau dalam apa keadaan sekalipun. Tidak timbul persoalan sama ada kumpulan berkenaan besar atau kecil dan di mana ia berada. Mereka terikat oleh kepentingan tertentu. Apa yang dapat difahami daripada hadis Rasulullah adalah tanpa kepimpinan seseorang itu mati sebagai jahiliah.

Salah satu konsep yang menjadi asas kepada kepimpinan dalam masyarakat atau pemerintahan adalah pemimpin. Pemimpin adalah tempat bagi rakyat bergantung harap dan berlindung. Ia adalah lambang masyarakat yang bersatu padu di bawah sesebuah pemerintahan. Sehubungan dengan itu, Allah menegaskan supaya umat Islam sentiasa taat kepada pemimpin mereka di samping taat kepada Allah dan rasulnya.

Bagaimanapun, kepimpinan menurut al-Quran dan hadis bukan satu keistimewaan yang dianugerahkan kepada seseorang begitu sahaja. Ia terhasil daripada hubungan masyarakat dalam pelbagai perkara. Oleh kerana itu, kepimpinan dilihat oleh al-Quran dan hadis sebagai satu tanggungjawab seluruh masyarakat. Rasullullah menyifatkan setiap individu dalam masyarakat sebagai pemimpin yang harus berperanna dengan baik dalam tanggungjawab kepimpinan masing-masing.

Al-Quran dan hadis menjelaskan kepimpinan sebagai suatu amanah. Ia tidak boleh menjadi rebutan secara melulu tetapi diterima dengan rasa insaf dan berhati-hati. Pada hari akhirat nanti, ia boleh menjadi salah satu sebab penyesalan bagi setiap manusia. Rasulullah pernah menyifatkan kepimpinan yang direbut itu sukar bagi dilaksanakan dengan baik. Sebaliknya, kepimpinan yang diterima tanpa dirbut lebih mudah dilaksanakan. Menurut al-Quran dan hadis, peralihan kepimpinan dan kuasa perlu berlaku dalam suasana aman.

Antara nilai yang ditekankan oleh al-Quran dan hadis supaya dihayati oleh para pemimpin adalah sikap prihatin kepada masalah rakyat. Tanpa sikap seperti itu, seseorang pemimpin pasti terpinggir daripada perhatian Allah.

Selain itu, pemimpin juga dituntut supaya berlaku adil. Allah mengasihi pimpinan yang berlaku adil. Manakala, Rasulullah pula menegaskan pemimpin seperti itu menjadi tetamu kehormat di sisi Allah pada hari kiamat nanti. Sebaliknya, dijanjikan neraka kepada para pemimpin yang menipu rakyat termasuk dalam bentuk salah guna kuasa dan kedudukan tau mengamalkan rasuah.

No comments:

Post a Comment