Sunday, January 24, 2010

PEMERINTAHAN MENURUT AL-QURAN

TERDAPAT banyak ayat yang memperkatakan tentang pemerintahan yang dinyatakan dalam al-Quran dan Hadis. Bagaimanapun, sebahagian besar daripada ayat-ayat berkenaan bersifat umum dan tidak terperinci. Ini bermakna daripada perspektif al-Quran dan Hadis,pemerintahan Islam itu bersifat mudah suai. Ia perlu berpandukan prinsip al-Quran dan Hadis. Selain itu, ia menggunakan pendekatan semasa dan setempat yang sesuai dengan keadaan.

Perkara utama yang ditekankan oleh al-Quran dan hadis tentang pemerintahan Islam adalah sistem yang dipilih bagi memerintah. Al-Quran dan hadis adalah sumber yang benar. Ia perlu dijadikan asa dalam melaksanakan pemerintahan dan perlaksanaannya perlu terjamin. Manakala,selain daripadanya lahir daripada tuntutan nafsu belaka.

Menurut al-Quran,pemerintahan Islam perlu bersungguh-sungguh melaksanakan hukum-hukum Allah. Sebarang kecuaian pada komitmen itu disifatkan sebagai pecah amanah. Ini bermakna,pemerintahan Islam tidak mempunyai pilihan kecuali melaksanakan hukum Allah. Tiada seorang pun dalam pemerintahan Islam yang berhak mengetepikan hukum itu.

Bagi mengukuhkan ketetapan ini, Islam melabelkan sesiapa yang tidak melaksanakan hukum Allah kerana tidak yakin pada keupayaannya serta memandang rendah kepadanya sebagai kafir, zalim dan fasik. Mereka dianggap sebagai orang yang ketinggalan zaman dan masih hanyut dalam budaya hidup zaman jahilliyah.

Sehubungan dengan itu, al-Quran membahagikan manusia kepada dua kelompok besar. Pertama,orang beriman yang sentiasa bersedia menerima hukum-hukum Allah. Manakala,kelompok kedua adalah golongan yang sentiasa ingkar. Menurut al-Quran, golongan kedua ini bersikap tidak wajar kerana gagal memperolehi faedah daripada kitab Allah yang diturunkan kepada mereka dengan mencari sesuatu yang lain daripadanya.

No comments:

Post a Comment