Wednesday, January 27, 2010

Menghargai Kesihatan dengan Aktiviti Makruf

"Rasulullah S.A.W sering memberi ingatan agar
setiap orang sentiasa mempebaharui surat wasiatnya
dalam tempoh tiga hari"



LANJUTAN daripada hadis Rasulullah S.A.W dalam huraian yang lalu,baginda menyatakan bahawa ada di kalangan umatnya yang tidak melakukan sebarang usaha apabila sakit, meskipun adakalanya sakit yang tidak begitu menjejaskan pergerakan seseorang untuk melakukan sesuatu. Tetapi tidak kurang juga sakit yang membawa ke peringkat "mufsidan" iaitu sakit yang merosakkan seluruh program hidup.

Kesihatan adalah sesuatu yang amat bernilai. Lantaran itu,ia mesti dihargai dengan menjaganya dan mengawasi daripada sebarang anasir yang menjejaskan. Ia sebenarnya adalah nikmat Allah S.W.T yang wajib disyukuri kerana kemungkinan anugerah itu tidak kekal terutamanya apabila usia tua, di mana daya tahan untuk melawan penyakit semakin tidak bermaya dan sendi urat otot semakin lemah.

Wajarlah kesihatan itu dihargai. Penghargaan sebenar terhadap keshatan ialah menggunakan semaksimum mungkin masa sihat bagi melaksanakan tugas sebagai hamba Allah S.W.T, dengan melakukan ibadah dan kegiatan makruf yang lain. Masa sihat terutamanya ketika usia muda perlulah membinasakan diri bertekun dan rajin dalam sebarang amal, umpamanya melakukan solat serta mengikis sifat malas dan bertanggung-tangguh, kerana apabila usia meningkat tua, seluruh sendi sudah terasa lenguh-lenguh. Mungkin sifat rajin dan tekun akan terjejas akhirnya sifat malas yang menjelma.

Bagi sesetengah golongan solihin, adakalanya waktu sakit adalah saat-saat yang paling subur untuk melakukan ibadah kerana mereka merasakan bahawa sakit adalah amaran Allah S.W.T. Lantaran itu, dia bersyukur kerana Allah S.W.T masih sudi memberi pengingatan terhadap dirinya, lalu dia terasa Allah S.W.T amat menyayanginya. Di saat demikian,dia tidak mempedulikan dalam keadaan sakit, tetapi apa yang perlu baginya ialah untuk melakukan ibadah sekhusyuk dan sedaya mungkin menjelang ajal yang dirasakan semakin hampir.

Sebaliknya bagi orang awam, jika dalam keadaan sihat tiada kesungguhan melakukan amal ibadah, apakah yang boleh diharapkan ketika tubuh badan sedang sakit. Yang pasti ialah sifat malas kian menguasai diri dan ibadah yang fardhu banyak tertinggal atas alasan tidak sihat.

Oleh yang demikian, apa yang wajar dilakukan ialah menghargai anugerah Allah S.W.T dalam hal kesihatan itu dengan menggunakan kesempatan sepenuhnya untuk melakukan apa sahaja kegiatan amal ibadah yang boleh memberikan kebaikan buat dirinya sama ada di dunia terutama untuk kepentingan dirinya di hari akhirat.

Ralulullah S.A.W seterusnya memberi amaran terhadap mereka yang tidak melakukan sebarang usaha untuk mengisi waktu sihat, maka tiadalah yang dinanti melainkan hati tua yang penuh keuzuran.

Ramai orang yang berlengah untuk melakukan suruhan ibadah dengan berbagai-bagai alasan, masa muda beribadah tidak khusyuk , kalau sudah tua nanti suasana lebih tenang, ketika itulah kononnya ssat yang sesuai untuk bertekun dalam ibadah. Jesteru alasan itu tidak munasabah, kerana ia masa muda anggota masih kuat dan sihat namun mereka tidak melakukannya, sebaliknya hari tua adalah lebih sukar melaksanakan sesuatu yang dirinya tidak terdidik ke arah tersebut.

Akhirnya datanglah suatu detik yang tidak diduga,iaitu kematian yang datang secara tiba-tiba. Keadaaan demikian memungkinkan berbagai-bagai perkara yang terbengkalai yang tidak mungkin dapat diselesaikan selepas saat kematiannya. mungkin banyak hutang-piutang yang belum dijelaskan., tiada wasiat bertulis yang mencatat segala butir terperinci mengenainya. Dengan demikian adalah mustahil waris dapat mengambil tanggungjawab bagi menjelaskan hutang-hutang itu. Akibatnya selama mana hutang itu tidak tertunai maka selama itu tidak akan peluang untuk masuk syurga.

Oleh itu Rasulullah S.A.W sering memberi ingatan agar setiap orang sentiasa memperbaharui surat wasiatnya dalam tempoh tiga hari. Adalah dianggap cuai jika mereka tidak memperbaharuinya.mungkin mereka tercirir daripada memasukkan fakta-fakta baru ke dalam wasiat,khususnya mengenai hutang,sama ada hutang dengan Allah S.W.T atau hutang sesama manusia.



No comments:

Post a Comment