Tuesday, February 23, 2010

GOLONGAN YANG SENTIASA MENANG

Daripada Mughirah bin Syu'bah r.a. berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda : "Sentiasa di kalangan kamu ada golongan yang berjaya (dalam perjuangan mereka) sehinggalah sampai suatu saat yang dikehendaki oleh Allah S.W.T. Mereka sentiasa berjaya.

H.R. BUKHARI

KETERANGAN

Allah S.W.T telah menjadikan umat islam yang terakhir sekali. Oleh iu Allah S.W.T berjanji akan memelihara al-Quran dan memastikan lahirnya generasi yang akan memikul tugas dakwah hingga wujud golongan mukminin dibumi ini. Kalau kita teliti sejarah umat Islam mulai zaman penyebaran hingga ke hari ini, kita akan mendapati bahawa umat Islam telah diuji dengan ujian yang berat. Ujian itu bermula dari golongan musyrikin di Mekah,Yahudi dab Nashrani di Madinah, seterusnya gerakkan riddah, Majusi yang berselimutkan Islam, Golongan Bathiniyah,pengaruh falsafah dan fikiran Yunani,serangan bangsa Moghol dan bangsa Tatar yang menghancurkan tamaddun Baghdad pada pertengahan abad ketujuh Hijrah.

Begitu pula halnya dengan penyembelihan beramai-ramai terhadap kaum Muslimin ketika kejatuhan kerajaan Islam di Andalus ( Sepanyol) dan seterusnya di sambung dengan pengaruh-pengaruh imperialis Barat terhadap dunia Islam, gerakan Ziaonis Yahudi dan Nashrani yang mempunyai alatan dan kemudahan yang banyak dan seterusnya serangan di segi pemikiran dan kebudayaan dan sebagainya. Walaupun ujian yang sangat dasyat melanda umat Islam di sepanjang sejarah namun mereka masih wujud dan masih lagi mempunyai identiti dan peranan yang hebat di dalam dunia hari ini.

Walaupun di hari ini ada di kalangan umat Islam yang tidak mengambil berat tentang agama mereka tetapi masih ada golongan yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari agama dan memperjuangkannya. Walaupun ramai di kalangan umat Islam yang telah hancur moral dan akhlaknya tetapi masih ada lagi golongan yang berakhlak tinggi dan berpekerti luhur. Walaupun syiar-syiar Islam diinjak-injak di sebahagian tempat tetapi di tempat lain syiar-syiar Islam masih lagi gagah dan teguh. Walaupun aktivis-aktivis Islam di tindas dan di seksa pada suatu tempat tetapi di tempat lain mereka akan disanjung dan dihormati. Begitulah seterusnya umat Islam tidak akan lenyap daripada muka bumi ini, hinggalah sampai pada masa yang dikehendaki oleh Allah S.W.T. Maka pada masa itu Allah S.W.T akan mematikan semua orang-orang Islam dengan tiupan angin. Yang tinggal hanyalah orang-orang yang jahat atau orang kafir,maka pada saat itulah akan berlaku hari kiamat.

Setiap zaman dan juga tempat,
mestilah wujud pembela umta,
penyebar ilmu pembawa rahmat,
tetap berjaya tidak tersekat.

Kepada Allah syukur dipanjat,
memilih kita sebaik umat,
penyebar ilmu pembawa rahmat,
hidup kita membawa berkat.

No comments:

Post a Comment