Wednesday, February 24, 2010

Peranan Tafsir Maudu'i dalam aplikasi Dakwah

Golongan pendakwah yang terdiri daripada kalangan tenokrat dan golongan intelektual diluar pengajian Islam selalunya tidak memandang peripentingnya mereka memahami peranan tafsir dalam materi dakwah mereka. Pengajian tafsir dianggap asing dan terasing daripada keperluan mereka membawa halatuju dakwah dan selalu pula penerangan dakwah digunakan kaedah khulasoh kepada intipati ayat Quran untuk mengelakkan rasa bersalah mereka dalam penggunaan ilmu ini. Pemikiran ini sebenarnya salah dan bercanggah dengan usul dakwah yang sebenarnya. Tafsir dan pemahaman Hadis adalah tunjang kepada segala permulaan dakwah. Adapun method dan marhalah dakwah adalah suatu sikap penekunan pendakwah kepada orientasi madu' mereka sendiri dan semestinya intipati tafsir dan pemahaman Al Quran dan Hadis perlu disajikan dalam bentuk yang pelbagai dan kreatif.

Kita melihat bagaimana ulama' silam mengadakan dakwah yang berkesan hanya menggunakan kuliah-kuliah tafsir mereka. Mengapakah hal ini berlaku secara efektif? Perlu diketahui, pada zaman kegemilangan perkembangan ilmu Al Quran, terlalu ramai manusia yang ingin memnguasai penemuan terkini dalam penafsiran Al Quran sehingga penafsiran bir Rayi' juga mendapat tempat yang agak tinggi kerana berlainan daripada penafsiran ala tradisi yang lebih terkawal dan kurang menepati citarasa pembangunan mereka pada zaman tersebut. Hal ini berbeza kini apabila tafsir sudah dianggap enteng dan remeh. Tafsir Al Quran moden tidak disebarkan kepada masyarakat secara bersepadu dan tersusun apatah lagi kaedah penyampaian masih terkumpul di surau, masjid dan madrasah semata-mata.

Tafisr seperti Tafsir Al Munir yang bercirikan Maudu'I, tafsir-tafsir seperti Tafsir Ustaz Ahmad Sohanji yang bercirikan santai, serta yang paling menarik pada pandangan penulis adalah Tafsir yang dikarang oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang penuh dnegan unsur personafikasi, metafora, analogi menarik dan dialog-dialog perumpamaan yang memahamkan khalayak. Agak menyedihkan kesemua khazanah moden ini tidak keluar daripada kepompong sebaran konvensionalnya. Khayalak yang menerima kesan tafsiran sebegini masih khayalak yang sama dan tidak melibatkan segmen yang lain. Hal inilah yang perlu dijadikan topik perbincangan dikalangan pendakwah berkenaan peri pentingnya, penyebaran tafsir Al Quran dilakukan dalam method yang terkini dan keluar daripada tradisi klasik.



Dakwah melalui medium kontemporari serta medium elektronik.



Masyarakat hari hampir menepati ciri masyarakat elektronik. Hampir kesemua aktiviti melibatkan talian internet, teknologi maklumat serta perhubungan seranta yang cepat. Walaupun tradisi masyarakat Malaysia masih klasik, namun penguasan IT dalam masyarakat menyebabkan mereka lebih gemar mencari maklumat dihujung jari melebihi kaedah lama yang diberkati iaitu meneliti buku, makalah dan kitab lama-lama yang berkat. Mereka ini inginkan maklumat yang segera, tepat dan mudah. Dalam hal ini, persaingan maklumat yang benar dan salah akan berlaku. Peranan pendakwah yang bergelar mahasiswa Islam ialah menguasai niche atau ruang vakum ini. Vakum bagi pengisian yang benar bagi medium elektronik dan IT ini akan sentiasa ada kerana maklumat melalui mediaum ini terlalu mudah dan tidak terhad. Lantaran itu, adalah menjadi satu kesalahan besar bagi kita yang mengabaikan method ini serta meremehkan tugasan mulia ini. Sajian tafsiran Al Quran secara maudu'I ini boleh diselitkan secara;

· Tulisan ilmiah atau separa ilmiah.

· Sketsa, cerita kenangan peribadi, dialog dan sebagainya.

· Berita semasa yang dikaitkan dengan ayat Al Quran.

· Puisi atau lirik lagu.



Kreativiti memasukkan unsur ayat Al Quran memungkinkan masyarakat yang inginkan sajian segera ini akan mendapat bahan yang sewajarnya. Perang cyber perlu dimulakan oleh sesiapa sahaja yang membaca tulisan ini demi bersaing dengan pengisian negetif yang sedia ada. Pendakwah adalah individu yang progresif dan proaktif dalam mencari jalan kerjanya.

Pengertian tafsir maudu'i

Pengertian ini berbentuk hasil daripada jalin dua perkataan iaitu al tafsir dan al maudu'i. Tanpa jalinan ini, al maudu'I tidak akan membawa apa-apa pengertian. Al maudu'I bermaksud topik atau tajuk tertentu. Tafsir secara bertopik adalah suatu bentuk khulasoh (kesimpulan ayat Al Quran). Walaupun dari segi asal maksud tafsir sendiri seperti yang dijelaskan oleh Ibnu A'syur bermaksud " suatu disiplin ilmu yang berfungsi menjelaskan perkataan-perkataan Al Quran sama ada secara umum mahu pun terperinci", hakikatnya tafsir yang cuba dikupas ini adalah berbentuk topik dan kadangkala tidak terlalu meneliti aspek setiap perkataan.

Kaedah tafsir bil ma'thur adalah kaedah tafsir yang sebenarnya menjadi amalan para sahabat dan tabiin yang ulung. Para sahabat dan tabiin adalah golongan yang paling dekat dengan Rasulullah SAW dan amat menitik beratkan sebarang pengertian ayat Al Quran agar menepati saranan dan sunnah nabi itu sendiri. Tafsir normatif ini sebenarnya adalah pasak kepada umat Islam dan sebenarnya ayat Al Quran sewajarnya dikupas melalui tafsiran sebenar atau melalui kajian asbab al nuzul. Namun terdapat juga beberapa ayat Al Quran yang perlu dilihat hikmah dan signifikannya kepada sekeliling secara umum dan bukannya sekadar dengan sebab turunnya ayat tersebut. Secara umumnya ayat Al Quran telah memiliki pelbagai aspek dakwah yang unik dimana setiap susunan ayat, susunan kalimah, unsur retoriknya, diksi perkataan dan sebagainya mempunyai kuasa menarik minat manusia kontemporari.

Namun begitu, tidak juga boleh kita bersetuju dengan sikap sesetengah manusia hari ini yang cuba menafsir ayat Al Quran secara jauh daripada kupasan hadis (sekiranya ayat itu telah ada kupasan daripada para sahabat sendiri). Kita boleh bersetuju jika kupasan topik kontemporari cuba mengaitkan ayat Al Quran dengan teori sains sekiranya jelas tidak bercanggah dengan tafsiran ma'thur yang lebaih sahih. Maka tafsir maudu'I sebenarnya menepati ciri ini dimana penelitian ilmuan daripada pelbagai bidang keilmuan terhadap Al Quran mungkin akan menjumpai keserasiannya, walaupun kita masih perlu berserah kepada Allah akan maknanya yang sebenarnya. Tafsir seumpama ini juga boleh dikaitkan dengan kaedah bil Ar Ra'yi yang terkenal dikalangan ulama' muktazilah, ulama' hanafiyyah serta tokoh-tokoh falsafah Islam terkenal.



Bentuk-bentuk tafsir maudu'i

Bentuk pertama : Penafsiran berasaskan perkataan-perkataan yang mempunyai persamaan.

Proses bentuk pertama berlaku apabila pengarang tafsir menekuni ayat-ayat Al Quran lalu menghimpunkan perkataan-perkataan yang mempunyai persamaan dari segi bentuk atau perkataan-perkataan yang menjadi terbitan daripada ayat-ayat yang sama di dalam satu tajuk. Himpunan perkataan-perkataan ini dikaji satu persatu dari berlbagai sudut. Mereka kemudiannya membuat tafsiran yang menyeluruh terhadapnya. Proses ini diakhiri dengan beberapa kesimpulan kesan daripada penggunaan Al Quran terhadap perkataan-perkataan itu tadi. Ini kerana penggunaan perkataan yang berulang di dalam Al Quran membawa interpretasi yang tersendiri dari perspektif Al Quran.

Antara perkataan berulang yang boleh dilihat maknanya secara berkelompok adalah seperti,

* Al Ummah
* Al Sadaqah
* Al Jihad
* Al Kitab
* Al Khair



Bentuk Kedua : Penafsiran berasaskan tajuk-tajuk yang ditetapkan oleh pengarang tafsir.

Proses ini dilakukan apabila pengarang tafsir menetapkan sesuatu tajuk tertentu dan dihimpunakan pelbagai ayat Al Quran yang menjelaskan tajuk berkenaan. Di sini adalah memerlukan kemahiran pengarang untuk menguasai pelbagai bidang ilmu selain menguasai Al Quran dengan baik. Ia berlaku dengan 2 kaedah. Pertamanya pengarang mencari suatu tajuk dan dikumpulkan pelbagai ayat Al Quran untuk dijadikan tafsiran kepada tajuk itu. Kaedah kedua ialah pengarang tafsir akan menjelujuri ayat-ayat Al Quran dan pengarang akan cuba mengesan satu tajuk yang boleh mengaitkan beberapa ayat Al Quran. Sebenarnya kaedah Al Maudu'I ini lebih menumpukan kepada tajuk dan bukannya berbentuk huraian tafsiran ayat Al Quran secara harfiyyah serta asbab al nuzul yang lebih ketat dan berhati-hati.

Contoh tafsiran klasik dengan kaedah kedua ini ialah:

· I'jaz Al Quran

· Al Amthal fil Quran

· Majaz Al Quran

Contoh tafsiran kontemporari dengan kaedah kedua ini:

* Tafsir tentang uslub dakwah
* Tafsir tentang sains dan Al Quran
* Teori diplomasi di dalam Al Quran.



Sebenarnya kaedah kedua inilah yang banyak digunakan oleh tokoh-tokoh gerakan Islam sedunia dalam menyusun manhaj tarbiah mereka dimana marhalah, sistem usrah, sistem latihan dan sebagainya diijtihad berdasarkan tafsiran melalui kaedah ini. Perlu diingatkan disebabkan kaedah ini bukannya ma'thur melalui tafsiran para sahabat, maka sistem tarbiah, dakwah dan sebagainya bukanlah bersifat qat'ie sehingga menafikan ijtihad gerakan Islam yang berlainan aliran. Inilah pentingnya tafsiran al maudu'I ini.



Bentuk Ketiga: Penafsiran berasaskan objektif surah.

Bentuk ini mudah boleh didapati melalui kitab tafsir seperti Tafsir Al Munir (Dr. Wahbah Az Zuhaili), Tafsir Pimpinan Ar Rahman dan lain-lain. Objektif dan tujuan sesuatu surah itu dilihat dan dinyatakan setiap kali peralihan satu surah ke satu surah yang lain. Hubungkait antara surah juga dilihat untuk melihat hikmah penyusunan Al Quran yang disusun oleh Jibrail AS bersama Rasulullah SAW dahulu. Pengkelasan surah melalui manhaj Aqidah dan Manhaj Syariah dilihat melalui ayat-ayat makiyyah dan madaniyyah. Kaedah ketiga ini diperkenalkan secara jelas oleh Syed Qutb dalam Tafsir Fi Zilal lil Quran dalam surah Al Anfal.



Penutup.



Diantara syarat untuk bergelar pendakwah dan penggerak Islam ialah mengusai semampu mungkin keilmuan berkisar tentang Al Quran serta bahasa Arab selaku kuncinya. Menggunakan tafsir dalam setiap kali pengisian, sebagai sokongan aktiviti dan program akan menarik minat segelintir manusia yang jarang mengetahui rahsia ayat Al Quran yang mungkin tidak merasai nikmat kesyumulan Al Quran. Hal ini jelas kerana tafsiran cara lama yang menekankan unsur normatif dan tafsiran daripada hadis, athar sahabat dan tafsiran tabiin semata-mata tidak akan menarik minat masyarakat akhir zaman yang inginkan suatu sokongan dalam aktiviti harian mereka. Sokongan yang diberikan melalui kupasan ayat Al Quran melalui tajuk kontemporari seperti hak asasi manusia, jaminan hak wanita dalam Islam, tajuk-tajuk tentang perubatan serta lainnya akan menyebabkan mereka memandang Al Quran sebagai agenda ilahi yang relevan, segar serta futuristik. Disinilah peranan pendakwah Islam memartabatkan Al Quran melalui kebijaksanaan mereka sendiri. Walaupun sokongan diberikan melalui kemunculan tafsiran sebegini, namun Al Quran tetap bertindak sebagai agen pengawal yang berkesan dan berwibawa. Tafsiran ini bukan sekadar ingin memberi kepuasan kepada masyarakat bahawa dalam Islam ada kaitan dengan dunia mereka, tetapi mereka perlu tahu, Al Quran adalah petunjuk dan bukan sekadar bahan sokongan semata-mata. Kebangkitan era reformisme Islam asia tengah adalah disebabkan tafsir-tafsir yang mempunyai nilai perjuangan seperti Tafsir Al Manar (Rasyid Redha) dan Tafsir Fi Zilal Lil Quran (Syed Qutb).Teruskan berdakwah.

No comments:

Post a Comment